30 December 2013

Filem 18SX pertama - Litar Kasih (1996)

"Filem Litar Kasih terbitan United Movie mencatat sejarah sebagai filem Melayu pertama yang diklasifikasikan", lapor Utusan Malaysia pada 25 Januari 1996.

Sebelum 1996, sistem klasifikasi - atau pengkelasan filem mengikut kategori tertentu - tidak wujud di Malaysia. Filem Litar Kasih arahan Eddie Pak menjadi filem tempatan yang pertama sekali diklasifikasi di Malaysia. Pasti ramai tidak tahu bahawa Litar Kasih pada mulanya diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) dalam kategori Umum (U), iaitu setelah filem itu dipotong sebanyak 7 adegan yang dikatakan "mempunyai unsur kurang sihat untuk tontonan kanak-kanak".

Adegan-adegan yang dipotong daripada Litar Kasih versi U ialah yang berkaitan dengan:
  • "pelacuran"
  • "ciuman"
  • "lumba motosikal haram"
  • "rogol"
  • "suasana dalam kelab"
  • "dialog yang mempunyai mesej lucah"

Pihak penerbit Litar Kasih selepas itu membuat rayuan kepada LPFM agar dapat meluluskan kembali 4 daripada adegan-adegan yang dipotong itu dengan alasan bahawa pemotongan adegan-adegan itu telah menjejaskan kesinambungan jalan cerita filem itu. Pihak LPFM menerima rayuan tersebut dan bersetuju untuk meluluskan Litar Kasih tanpa potongan tetapi dengan syarat filem itu mestilah diklasifikasi untuk tontonan penonton berumur 18 tahun ke atas sahaja.


Semasa sistem klasifikasi filem diperkenalkan pada 1996, terdapat 4 kategori filem '18 tahun ke atas' iaitu 18SG, 18SX, 18PA & 18PL. Litar Kasih termasuk dalam kategori 18SX, yang bermaksud "Filem ini mengandungi unsur-unsur seks yang tidak keterlaluan".

Berikut ialah penjelasan Eddie Pak mengenai beberapa adegan yang pada mulanya dipotong oleh LPFM:
  • "adegan cium yang digambarkan (antara Azhar Sulaiman dan Linda Rafar) adalah menerusi bayang-bayang bukannya adegan cium yang sebetulnya"
  • "adegan nenek (Mek Habsah) dirogol oleh seorang kolonial memaparkan situasi biasa bukannya bersifat perkauman"
  • "adegan Sally (lakonan Aishah Atan) melayan pelanggan juga terpaksa diwujudkan. Hanya melalui adegan itu sahaja menjadikan adik Sally iaitu Mira (Linda Rafar) tahu pekerjaan Sally yang menyara persekolahannya selama ini"

Walau bagaimanapun, versi Litar Kasih yang dikeluarkan dalam format VCD tidak mengandungi "adegan nenek dirogol". Ketiadaan adegan tersebut langsung tidak menjejaskan jalan cerita filem itu kerana ia sekadar adegan sampingan.

VCD Litar Kasih - dikeluarkan semasa permulaan 'zaman VCD' di hujung 1990-an
Adegan-adegan pembukaan Litar Kasih dimulai dengan maklumat klasifikasi filem
Kiri: Adegan cium yang pada mulanya dipotong oleh LPFM
Kanan: Adegan aksi bermotosikal
Kiri: Aishah Atan sebagai Sally yang terlibat dalam kegiatan pelacuran
Kanan: Liza Abd. Latiff (bekas isteri Amy Search) sebagai Madam Ng (ibu ayam)

Nota tambahan 1 - sebelum klasifikasi:
  • Sekitar setahun sebelum LPFM melaksanakan sistem klasifikasi filem, industri hiburan Malaysia dikejutkan dengan pengharaman filem Amok pada 1995. Amok yang berlatarkan kisah kehidupan bebas di era 1970-an akhirnya diluluskan oleh LPFM untuk tayangan pada pertengahan 1995 setelah dipotong adegan-adegan yang provokatif.
  • Turut terlibat dengan isu penapisan pada 1995 ialah rancangan bual bicara, Teleskop, terbitan TV3. Rancangan yang disiarkan secara langsung itu diharamkan oleh Kementerian Penerangan Malaysia setelah salah seorang jemputan dalam salah satu episod, iaitu pengarah filem, Nasir Jani, menyebut perkataan lucah ("four-letter word", kata akhbar) semasa membicarakan tentang isu cetak rompak.
  • Pada 1995 juga, Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, telah membangkitkan isu V.H.S (violence, horror & sex) yang dilihat semakin banyak disiarkan oleh stesen televisyen tempatan. Terdapat pihak yang mencadangkan supaya rancangan atau filem berkaitan V.H.S - yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak - disiarkan pada waktu tertentu umpamanya pada lewat malam. Selepas sistem klasifikasi filem wujud pada 1996, rancangan atau filem '18 tahun ke atas' hanya boleh disiarkan di televisyen selepas pukul 10 malam.

Nota tambahan 2:
  • Filem 18SX kedua ialah Panas (1998) - rujuk entri akan datang.

7 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...