19 February 2013

Farit Ismeth Emir penyampai berita Dunia Jam 10 (1988)

Dunia Jam 10 (DJ10) ialah sebuah rancangan yang menyampaikan berita-berita dari luar negara. Ia disiarkan oleh saluran TV1 (atau RTM1) dalam tahun-tahun 1980-an hingga 1990-an. Waktu siaran DJ10 seperti mana nama rancangannya ialah pada pukul 10.00 malam. Rancangan yang terkenal pada suatu ketika dahulu itu sudah agak lama dihentikan siarannya dan telah diganti dengan rancangan lain yang berformat serupa iaitu Berita Dunia yang disiarkan pada pukul 11.00 malam di saluran yang sama.

Selain Harjit Singh Hullon, penyampai berita DJ10 yang terkenal sejak 1980-an ialah Farit Ismeth Emir. Sebelum bekerja sebagai penyampai berita, Farit pernah bekerja dalam industri perhotelan selama 13 tahun, di mana tempat kerja pertamanya ialah di Hotel Jaya Puri pada 1970-an. Pengalamannya yang lama dalam industri perhotelan membolehkan Farit memegang jawatan yang tinggi seperti Penolong Pengurus di Hotel Regent, Kuala Lumpur, dan kemudiannya menjadi Infront Office Manager di Hotel Hilton, Petaling Jaya.

Pada 1987, dalam usianya 33 tahun, Farit telah mengambil keputusan yang berisiko tinggi dengan meninggalkan jawatan selesanya dalam industri perhotelan untuk menceburi bidang "suara komersil". Farit mendapat dorongan yang kuat daripada individu yang terkenal dalam bidang tersebut iaitu saudara Ali Abdul Rahman dan Patrick Teo yang menyatakan bahawa dia "ada suara". Selepas menjalani uji suara di stesen penyiaran RTM pada Ogos 1987, dan kemudiannya menghadiri kursus lanjutan, Farit dan seorang lagi calon, Hajah Haslinda Hamzah, akhirnya berjaya terpilih untuk menjadi penyampai berita RTM.

Semasa di awal pembabitannya dalam bidang penyampaian berita, Farit yang terkenal dengan "gaya suaranya yang keInggerisan dan keAraban" turut menyampaikan berita RTM pada waktu tengahari (Sabtu & Ahad) selain daripada menjadi penyampai berita DJ10. Selain daripada itu, Farit turut bekerja memasukkan suara untuk iklan-iklan komersil, dan mungkin tidak ramai yang mengingati bahawa Farit juga pernah berlakon dalam drama radio terbitan RTM yang berjudul Nombor 5 Persiaran 1 dengan membawakan watak doktor. Farit Ismeth Emir kini berusia 59 tahun dan masih dapat dilihat menyampaikan Berita Dunia dalam gayanya yang tersendiri, yang meng-gegarr-kan peti televisyen anda!

18 February 2013

20/20 - lagu KRU yang diharamkan (1992)

20/20 ialah judul salah sebuah lagu yang terdapat dalam album pertama kumpulan rap KRU, Canggih, yang dikeluarkan pada 1992. Seperti yang diketahui umum, senikata lagu rap itu merujuk kepada Wawasan 2020 yang telah dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohamad, pada 1991.

Dalam Buku Skrap Awas! KRU yang dikeluarkan pada 1994, tercatat bahawa 11 buah lagu daripada album Canggih telah diharamkan oleh Kementerian Penerangan Malaysia pada 1992, di mana lagu-lagu terbabit tidak boleh disiarkan oleh semua stesen penyiaran RTM. Salah sebuah lagu yang telah diharamkan ketika itu ialah 20/20.

Walau bagaimanapun, punca pengharaman lagu itu bukanlah kerana ada sesuatu yang tidak kena dengan Wawasan 2020, walaupun sememangnya tindakan itu dirasakan sedikit pelik, seolah-olah stesen penyiaran RTM sendiri menentang lagu yang menyokong Wawasan 2020. Namun begitu, punca sebenar pengharaman lagu 20/20 (dan banyak lagu lain daripada album KRU, Canggih) ialah kerana penggunaan 'bahasa rojak', di mana Bahasa Melayu & Inggeris telah dicampur-adukkan.

Merujuk kepada senikata lagu 20/20, didapati 'bahasa rojak'nya tidaklah terlalu banyak mana pun, hanya terdapat pada rangkap korus: "Bersatu kita maju, bersatu. Two zero, two zero". Begitulah tegasnya (walaupun dianggap keterlaluan) stesen penyiaran RTM dalam menapis dan mengharamkan lagu-lagu pada suatu ketika dahulu.

20/20
(pencipta lagu: Edry / penulis senikata: Norman)

Dr. M menyeru kita bersatu
Membangunkan Malaysia menjelang abad dua ribu
Mengatur langkah ku satu per satu
Fikirkan strategi berkesan untuk maju
Untuk mu Malaysia negara yang tercinta
Ku sematkan usaha untuk taburkan jasa
Kita mengejar masa, bukan masa yang kejar kita
Lipat ganda us'ha mu berjuang untuk Malaysia
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh
Tanamkanlah prinsip begitu agar Malaysia kukuh
Biar pun apa 'kan terjadi
Ku tetap anak bangsa mu, Malaysia hanya untuk mu

(korus)
Bersatu kita maju, bersatu
Two zero, two zero
Bersatu kita maju, bersatu
(Two zero, two zero)

Tingkatkan produktiviti mu
Jauhi dari gejala yang merugikan mu
Marilah kita bangunkan negara
Ke tahap kemajuan yang boleh dibangga

Muda-mudi membina Malaysia
Marilah kita seia sekata
Kitalah harapan nusa dan bangsa
Melaksanakan tugas 'tuk generasi kita
Biar hujan, panas, di waktu kerja mu
Janganlah jadi alasan kerja mu terbeku
Semadikanlah semangat cekal mu
Bangunlah bangsa ku, bangunlah negara ku

Utamakanlah perpaduan negara
Bekerjasama tanpa mengira bangsa
Kerana kita semuanya anak Malaysia
Agar tercapai matlamat negara kita

Nota tambahan:
"2020 - 2,507 hari lagi"

31 January 2013

Dungun 12 Syawal 1411 (1991)

Dungun 12 Syawal 1411 ialah judul sebuah lagu yang dirakamkan oleh kumpulan rock yang berasal dari Terengganu, Iklim. Lagu itu terdapat di dalam album kedua mereka yang berjudul Bulan Jatuh Ke Riba, yang dikeluarkan pada 8 Julai 1991. Walaupun Iklim lebih terkenal melalui lagu-lagu mereka yang berentak perlahan atau digelar sebagai slow rock oleh orang Malaysia (soft rock di luar negara), tetapi di dalam album-album mereka turut dimuatkan lagu-lagu rock berat yang sememangnya tidak popular kerana tidak dimainkan di radio mahu pun televisyen tempatan. Dungun 12 Syawal 1411 ialah salah satu lagu rock berat persembahan Iklim yang cukup bertenaga dan menarik susunan muziknya.

Apa yang bertambah menariknya mengenai lagu Dungun 12 Syawal 1411 ciptaan Mohalim (pemain bass Iklim) itu ialah kisah di dalam senikatanya yang ditulis oleh Maulana (nama samaran seorang penyanyi, pencipta lagu & penulis senikata). Senikata lagu itu menceritakan tentang suatu peristiwa yang dilaporkan berlaku di daerah Dungun, Terengganu pada hari Jumaat 12 Syawal 1411 bersamaan 26 April 1991. Peristiwa luar biasa yang pernah mendapat perhatian meluas di seluruh negara sehingga dijadikan senikata lagu rock itu ialah tentang sekumpulan penghuni asrama Yayasan Terengganu di Dungun yang mengakui melihat awan yang berbentuk tulisan jawi yang mengeja nama Allah dan Muhammad, dan juga awan yang berbentuk seperti manusia sedang berdoa, serta beberapa bentuk lain lagi.

Peristiwa Dungun 12 Syawal 1411 kini menjadi legenda, dan akan terus diperkatakan sebagai salah satu petunjuk kepada keagungan Ilahi, walaupun seeloknya 'faktor tokok tambah dalam penceritaan secara lisan' wajar diambil kira dalam mempertimbangkan keterperincian peristiwa tersebut agar tidak terjadinya pemahaman yang melulu.



DUNGUN 12 SYAWAL 1411
(pencipta lagu: Mohalim Iklim / penulis senikata: Maulana)

Bercahaya di langit
Pantulan sinar purnama gemilang
Kau memanggilku

Tanpa pena dan tinta
Terpancarlah keagungan di langit
Kalimat itu

(korus)
Dengan awan terbentuklah kesempurnaan
Dan gementarlah oh jiwaku

Terpaku bola mata yang memerhati
Dan mengalirlah penyesalan

Kalimat Mu bukanlah hiasan di dinding
Terpaku, berdebu dan kaku

Sesungguhnya Engkau lah segala-galanya
Di sini, di sana.

30 January 2013

Susan Goh - pencipta lagu Toto (1987)

"Mungkin tidak ada yang menyedari, lagu I'll Be Over You nyanyian kumpulan pop bertaraf antarabangsa yang terkenal, Toto menerusi album mereka yang diberi judul (Fahrenheit) keluaran (1986) adalah ciptaan pencipta wanita dari Malaysia, Susan Goh" (Berita Minggu, 15 November 1987)


Fakta yang dilaporkan oleh akhbar tempatan lebih 25 tahun yang lalu itu sememangnya sesuatu yang agak mengejutkan kerana fakta itu sangat jarang diperkatakan oleh sesiapa pun, dan oleh kerana tidak ramai orang yang mengetahuinya, ia seolah-olah suatu rahsia dalam industri muzik antarabangsa. Namun dengan terbitnya laporan tersebut membuktikan bahawa fakta itu bukanlah suatu rahsia, cuma ia sengaja tidak digembar-gemburkan atas sebab yang tertentu. Walau bagaimanapun, sejarah telah tercipta, dan ia perlu diarkibkan. Lagu I'll Be Over You yang pernah dipopularkan oleh kumpulan dari Amerika, Toto, sesungguhnya adalah ciptaan warga Malaysia, Susan Goh, yang juga dikenali sebagai komposer lagu untuk penyanyi-penyanyi tempatan seperti Jay Jay, Rafeah Buang, Ibnor Riza, Azman Abu Hassan, Atai, DJ Dave & Syed Sobrie.


Susan Goh telah mencipta lagu I'll Be Over You yang berentak balada semasa beliau sedang menuntut ilmu di Berklee College Of Music, di Amerika pada 1980-an. Lagu tersebut kemudiannya telah dijual kepada persatuan pemuzik di sana dan ia telah dipilih oleh kumpulan Toto bagi dirakamkan ke dalam album keenam mereka yang berjudul Fahrenheit. Mungkin disebabkan oleh undang-undang penjualan lagu di sana, lagu asal ciptaan Susan Goh itu telah ditukar hakcipta keseluruhannya kepada pemiliknya yang baru. Dalam album Fahrenheit yang dikeluarkan pada Ogos 1986 itu, pencipta lagu I'll Be Over You dikreditkan kepada Steve Lukather (penyanyi lagu tersebut merangkap pemain gitar Toto) & Randy Goodrum (pencipta lagu). Lagu tersebut menjadi popular dan pernah menduduki tempat ke-11 dalam carta Billboard Hot 100 di Amerika.



Nota tambahan:
Kumpulan Toto yang masih aktif pernah membuat konsert di Malaysia pada 2008.

29 January 2013

Salonmay - alat khas untuk wanita (1991 & 1992)

Pada masa kini terdapat pelbagai bentuk iklan yang menawarkan pelbagai kaedah untuk mencantikkan diri terutamanya untuk para wanita. Boleh dikatakan semua iklan sebegitu mengesyorkan bahawa bentuk badan yang menarik ialah antara ciri penting yang dapat menjadikan seseorang itu kelihatan cantik atau kacak. Seperti yang banyak diiklankan, definisi utama bagi menggambarkan 'bentuk badan menarik' ialah seseorang itu mestilah 'tidak gemuk'. Manakala untuk seseorang yang sememangnya 'tidak gemuk', definisi lain pula dipakai untuk menggambarkan 'bentuk badan menarik', di mana antara definisi yang paling popular khususnya kepada kaum wanita ialah mereka mestilah mempunyai bentuk payudara yang menarik.


Lebih 20 tahun yang lalu, pada awal 1990-an, iklan "jenama antarabangsa" Salonmay sering kelihatan di dalam akhbar dan majalah tempatan. Salonmay diiklankan sebagai "Alat khas untuk wanita yang menghadapi masalah buah dada". Alat khas yang dikatakan "mudah dan selamat digunakan" itu sebenarnya lebih dikenali oleh orang ramai ketika itu sebagai erm... 'pam tetek'. Iklan Salonmay, alat khas yang dipasarkan dalam saiz M dan L pada 1991 turut - dengan selambanya - menggambarkan tatacara penggunaannya dalam bentuk ilustrasi.

1991
Apa yang menariknya, iklan Salonmay yang seterusnya tidak lama kemudian telah ditapis! Tiada lagi ilustrasi tatacara penggunaannya, malah perkataan "buah dada" juga sudah tidak kelihatan lagi dan digantikan dengan "tubuh badan". Yang lebih menarik, iklan Salonmay versi baru itu turut menyiarkan gambar trofi Golden Brain Award 1977 dan The First Top Ten Outstanding Inventors bagi membuktikan keberkesanan alat itu, malah - mungkin atas permintaan besar pasaran tempatan - saiz S juga sudah mula dijual. Dapatkannya di Pertama Kompleks, Kuala Lumpur!

1992

27 January 2013

Bakat RTM (1985)

Selain daripada Bintang RTM, iaitu pertandingan menguji bakat penyanyi, stesen penyiaran RTM juga turut pernah menganjurkan sebuah lagi pertandingan menguji bakat yang - tanpa perlu bersusah payah fikir - dinamakan sebagai Bakat RTM. Sementara Bintang RTM mengkhususkan kepada kategori nyanyian semata-mata, Bakat RTM pula dijadikan medan untuk mencari bakat-bakat baru dalam cabang hiburan yang berbeza iaitu muzik dan komedi.

Pertandingan akhir Bakat RTM 1985 telah diadakan pada penghujung tahun tersebut, dan ia diacarakan oleh penyampai radio terkenal, Ainol Jamal Zainal. Terdapat 3 kategori yang dipertandingkan iaitu Pemuzik Instrumental Solo, Pemuzik Pancaragam dan Lawak Jenaka.


Dalam kategori Pemuzik Instrumental Solo, peserta yang berjaya memenangi tempat pertama ialah Junenita Mohd Nor, gadis remaja berusia 15 tahun yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Junenita yang dilaporkan "berpakaian rugged" telah menunjukkan bakatnya dalam bermain organ Electone dengan mempersembahkan 2 buah lagu instrumental berentak jazz yang dikatakan agak mencabar untuk dimainkan. Pemenang tempat kedua kategori Pemuzik Instrumental Solo pula ialah seorang peniup flute, Jaafar Abdul Rahman yang berasal dari Johor. Manakala tempat ketiga kategori tersebut dimenangi oleh pemain piano dan organ, Isabella Pek, gadis remaja berusia 15 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur.


Kategori Pemuzik Pancaragam menyaksikan sebuah kumpulan pemuzik yang berpengalaman luas iaitu Band Family Group berjaya memenangi tempat pertama. Kumpulan pemuzik tersebut yang berasal dari Ipoh, Perak, telah ditubuhkan pada 1967. Pemenang tempat kedua kategori Pemuzik Pancaragam pula ialah Band De RAMD yang berasal dari Sungai Besi, Kuala Lumpur. Manakala tempat ketiga kategori tersebut dimenangi oleh Kombo K.C. Lim (gambar E) yang berasal dari Klang, Selangor.


Untuk kategori Lawak Jenaka, kumpulan Mahmood & Zakaria Musa (gambar F) yang berasal dari Kelantan telah dipilih untuk memenangi tempat pertama. Manakala tempat kedua kategori tersebut dimenangi oleh kumpulan Yusuf Din Kicap (gambar G), dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Mohd Hatta (gambar H).

Kesemua pemenang pertandingan Bakat RTM 1985 menerima hadiah masing-masing yang disampaikan oleh tetamu pertandingan, Datin Masnah (isteri Datuk Rais Yatim, yang - selepas 26 tahun berlalu - tidak jemu-jemu membuat kemunculan istimewa dalam segmen penyampaian hadiah acara-acara hiburan, hairan). Pertandingan itu turut diserikan dengan persembahan artis jemputan iaitu kumpulan Blues Gang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...