17 April 2011

Singapura menang Piala Malaysia (1994)

Dalam perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia pada 17 Disember 1994, pasukan Singapura berjaya menewaskan pasukan Pahang dengan jaringan besar 4-0! Perlawanan hebat itu berlangsung buat pertama kalinya di Stadium Shah Alam, Selangor, yang baru dirasmikan pada Julai 1994. Sejak Malaysia merdeka pada 1957, perlawanan akhir Piala Malaysia berlangsung secara tradisi di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, yang hanya mampu memuatkan lebih 40,000 penonton. Sebaliknya pada hari itu, Stadium Shah Alam dibanjiri seramai 81,000 penonton, hampir 50,000 daripadanya merupakan penyokong Singapura!

Penyerang Singapura, Abbas Saad berjaya menyumbat sebanyak 3 gol dan melayakkannya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir, manakala kapten Singapura, Fandi Ahmad menjaringkan gol ke-4 pada minit ke-66. Semasa Fandi Ahmad menjulang piala berprestij itu, beberapa penyokong Singapura yang begitu teruja dengan kejayaan itu berjaya meloloskan diri masuk ke padang tetapi telah dihalang oleh pihak polis. Tahap kegembiraan penyokong dan pasukan Singapura sememangnya sangat tinggi kerana kali terakhir Singapura memenangi Piala Malaysia sebelum itu ialah pada 1980.

Hanya beberapa bulan kemudian, iaitu pada Februari 1995, pasukan Singapura yang diwakili oleh persatuan bolasepak Singapura (FAS - Football Association of Singapore) telah mengumumkan untuk menarik diri daripada pertandingan Piala Malaysia musim seterusnya dengan alasan untuk membangunkan pertandingan liga bolasepak mereka sendiri iaitu S-League yang kemudiannya berjaya dianjurkan bermula pada April 1996. Sebagai rekod, pasukan bolasepak Singapura merupakan juara pertama Piala Malaya pada 1921, dan sehingga 1994 mereka telah berjaya menjulang piala itu sebanyak 24 kali.

16 April 2011

Leina Hangat & Wann dedah saiz bra (1998)



"Leina Hangat & Wann dedah saiz bra" - itulah tajuk yang tertera pada muka depan majalah Media Hiburan (MH) pada Julai 1998. Pendedahan berani mati itu berlaku tepat 2 tahun sebelum kontroversi Ning Baizura yang tampil menceritakan tentang kecenderungannya memakai seluar dalam g-string dalam majalah FHM keluaran Julai 2000. Dalam soal selidik yang dilakukan oleh majalah MH itu, Leina Hangat dan Wann yang sering dilabelkan sebagai penyanyi seksi 1990-an, telah menjawab beberapa soalan yang luar dari kebiasaan. Tiada lagi soalan-soalan membosankan mengenai makanan dan warna kegemaran mereka mahupun tokoh negara yang mereka hormati, sebaliknya mereka berdua dengan relanya menjawab soalan mengenai jenama dan saiz pakaian dalam masing-masing. Hebat!

Leina Hangat:
Berat - 55kg
Tinggi - 5' 6"
Ukuran badan - 34-27-36
Saiz anak baju - 36A
Saiz seluar dalam - M
Jenama anak baju - Wacoal
Bahagian badan yang dirasakan seksi - Punggung
Artis seksi barat idola - Pamela Anderson

Wann:
Berat - 48kg
Tinggi - 4' 8"
Ukuran badan - 36-28-36
Saiz anak baju - 36B
Saiz seluar dalam - M
Jenama anak baju - Triumph
Bahagian tubuh yang dirasakan seksi - Punggung
Artis seksi barat idola - Mariah Carey

31 March 2011

Farouk Hussain berpakaian wanita (2001)

Farouk Hussain adalah seorang pelakon yang sering membawakan watak komedi. Beliau mula terkenal melalui telefilem Anak Mami pada 1994. Entah bagaimana, lama kelamaan watak komedi yang dilakonkannya sering berkehendakkannya melakonkan watak wanita. Farouk semakin dikenali melalui watak sebegitu apabila muncul melakonkan watak wanita tua dalam siri komedi Senario pada hujung 1990-an. Farouk juga tidak segan silu membawakan watak wanita dalam acara hiburan, contohnya pada Malam Glamor Parti Cit Cat di Kuantan, Pahang pada 2001 (lihat gambar). Walau bagaimanapun, penyiaran lakonan lelaki dalam watak wanita tidak lagi dibenarkan. Telefilem New Boyz The Telemovie pernah diharamkan pada 2002 kerana menampilkan watak Farouk sebagai pelajar perempuan.

30 March 2011

Perkahwinan Yantzen & Sharifah Haslinda (1994)

"Penyanyi rock popular dari Singapura, Yantzen Juniwan, 36, semalam melangsungkan akad nikah dengan pelakon dan pengacara Sharifah Noor Haslinda (Lynn), 22, di kediaman pelakon tersebut di Taman Setia, Gombak, Selangor" - muka depan Mingguan Malaysia, 10 Julai 1994

Yantzen ketika itu merupakan penyanyi kumpulan MAY yang popular dengan lagu berjudul Suci. Lynn pula semakin popular sebagai pengacara rancangan hiburan Sinaran di TV3. Majlis perkahwinan mereka berdua menjadi sedikit kecoh apabila wartawan hiburan dikatakan telah dihalang daripada membuat liputan.

Pada 1995 Yantzen merakamkan album terakhir bersama kumpulan MAY. Perpecahan Yantzen dengan MAY dikatakan berpunca daripada perselisihan faham di antara beliau dengan seorang anggota kumpulan itu.

Lynn melahirkan anak mereka Muhammad Aliff Ronan pada 1999. Yantzen dan Lynn akhirnya bercerai pada 2004 setelah lebih kurang 10 tahun hidup bersama.

Nama Yantzen menjadi popular semula pada 2005 apabila beliau menyertai album projek Semangat Zaman. Hubungan Yantzen dengan kumpulan MAY juga terjalin semula pada 2005 apabila beliau diundang membuat persembahan bersama kumpulan itu di Planet Hollywood, Kuala Lumpur.

28 March 2011

P. Ramlee vs. MGR (1972)

Pada 20 Julai 1972, Malaysia dikunjungi oleh pelakon filem legenda India iaitu M.G. Ramachandran atau nama glamournya MGR. Pada ketika itu tiada nama lain yang lebih layak untuk menyambut kedatangan MGR ke Malaysia selain daripada satu-satunya legenda filem Melayu, P. Ramlee. Tiada siapa menyangka bahawa hayat P. Ramlee di dunia hanya tinggal lebih kurang 10 bulan sahaja daripada hari bersejarah itu. P. Ramlee bersama ribuan peminat filem telah menyambut kedatangan MGR di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, iaitu negeri kelahiran P. Ramlee. Pada hari itu, MGR dan P. Ramlee, dua ikon filem tersohor dunia sempat bergambar bersama.

P. Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973 semasa filem terakhirnya Laxmana Do Re Mi masih ditayangkan di pawagam. MGR pula meneruskan kerjaya lakonannya sehingga filem terakhir pada 1978 sebelum bersara dan meninggal dunia pada 1987.

27 March 2011

Kartini Kembali (2006)

ISBN 983-3603-97-1
Terbitan Pertama 2006

Buku kartun Kartini Kembali ini telah diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn Bhd pada 2006. Menurut maklumat dalam buku ini, kartun Kartini Kembali pernah disiarkan secara bersiri dalam majalah Aku Dan Sesuatu terbitan Aie Production. Buku Kartini Kembali karya kartunis Tembakau ini adalah setebal 94 muka surat dan berharga RM14.00

Sebelum itu, buku koleksi Kartini pernah diterbitkan pada 1998. Buku Kartini Kembali ini boleh dikatakan sebuah kesinambungan kepada buku pertama itu, tetapi ia bukanlah sebuah cerita sambungan yang menarik. Mengapa? Kerana watak Kartini boleh dikatakan tidak wujud dalam kisah Kartini Kembali ini yang lebih menumpukan kepada kisah watak Aryon semata-mata. Perkara itu jelas dinyatakan oleh Tembakau dalam tulisan pembukaan buku ini.

Kisah Kartini Kembali ini terbahagi kepada 2 segmen. Pembaca pada awalnya dihidangkan dengan kisah Aryon yang 'jiwa kacau' selepas 'kehilangan' Kartini dalam penutup cerita asalnya. Selepas itu pembaca dibawa untuk mengimbas kembali kisah Aryon semasa zaman persekolahannya dalam tingkatan 2 (iaitu zaman sebelum Aryon bertemu dengan Kartini) dan tingkatan 3. Pembaca hanya akan diperlihatkan dengan lukisan watak Kartini pada beberapa muka surat dalam babak-babak akhir, itu pun bukan watak Kartini yang hidup dan berkomunikasi, cuma sekadar imej yang diceritakan oleh Aryon kepada rakannya. Nama Kartini juga langsung tidak ditulis di sepanjang kisah Kartini Kembali ini, dan hanya dirujuk oleh Aryon sebagai "dia" sahaja.

Kemungkinan untuk pembaca baru yang tidak mengikuti cerita asal Kartini untuk dapat mengikuti kisah Kartini Kembali ini dengan mudah adalah tipis sekali. Pembaca cerita asal Kartini juga mungkin kecewa apabila tajuk Kartini Kembali ini tidak menggambarkan maksudnya. Daripada segi lukisan Tembakau pula, entah kenapa terasa seperti ada sesuatu yang kurang, gaya persembahannya agak tidak seragam, malah ada beberapa bahagian di mana lukisannya kelihatan kurang menarik dan seakan tidak siap (mungkin disengajakan?)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...