
Majalah
APO? mempunyai sejarah penerbitan yang agak panjang, lebih kurang sama seperti sejarah penerbitan majalah
Buletin Lubuk. Majalah APO? sepatutnya diterbitkan oleh Kharisma Publications tidak lama selepas mereka berjaya menghidupkan kembali
Majalah Ujang pada bulan Ogos 1997. Kemungkinan besar pihak Kharisma Publications merasakan yang mereka tidak sepatutnya bergantung harapan kepada Majalah Ujang semata-mata berdasarkan masalah yang terjadi sebelum itu, atau sememangnya pihak penerbit itu telah bercadang untuk mengembangkan operasi penerbitan mereka dengan mewujudkan satu lagi
majalah baru.
Nama APO? mula diperkenalkan dalam Majalah Ujang keluaran ke-78 (15 September 1997). "APO"? yang diberi maksud "
Absolutely Pirate Organisation" sebenarnya merupakan
komik bersiri lukisan
kartunis Petai yang mengisahkan tentang pengembaraan para
lanun di zaman silam. Komik APO? disiarkan sebanyak
15 siri dan berakhir dalam Majalah Ujang keluaran ke-92 (15 April 1998). Pada bulan Julai 1998, iklan mengenai penerbitan majalah APO? telah mula disiarkan pada kulit belakang Majalah Ujang.
Setelah menunggu begitu lama, akhirnya pada
1 Disember 1998 majalah APO? keluaran pertama berjaya diterbitkan oleh
MOY Publications dengan harga pengenalan
RM1.00 sahaja! Harga tersebut kekal untuk keluaran ke-2 dan ke-3. Mulai keluaran ke-4 harga sebenar majalah APO? telah ditetapkan sebanyak
RM2.90. Majalah APO? pada mulanya diterbitkan secara bulanan. Setelah 4 keluaran berjaya diterbitkan, barulah majalah ini mula diterbitkan sebanyak dua kali dalam sebulan. Slogan majalah ini juga mengalami beberapa perubahan, di mana pada mulanya ia dikenali sebagai "
Siri Pengembaraan ntah apo-apo ntah!", tetapi mulai keluaran ke-2 slogannya ditukar kepada "
Majalah Komik Antara Benua". Mulai keluaran ke-8 sekali lagi slogannya ditukar kepada "
Majalah Terbest Antara Benua", iaitu dengan menghapuskan perkataan Komik.
Konsep majalah APO? agak berbeza daripada Majalah Ujang, di mana majalah APO? lebih kepada persembahan
komik yang boleh dikatakan hampir semuanya
bersiri. Terdapat juga beberapa
kartun semuka yang dinamakan Lawak APO? & Ntah Apo-Apo Ntah sebagai selingan di antara setiap komik bersiri. Komik utama dalam majalah APO? ini sudah tentulah yang berjudul APO? karya kartunis Petai seperti yang pernah disiarkan dalam Majalah Ujang sebelum itu, cuma siri APO? kali ini telah ditukar jalan ceritanya dengan mengekalkan watak-watak utama. Apa yang menariknya komik APO? ini ialah
gaya lukisan kartunis Petai yang tersendiri, dengan watak manusia yang semuanya bersaiz kecil, serta banyak gambaran permandangan dan latar belakang yang agak terperinci. Sekiranya komik APO? dalam Majalah Ujang tidak berwarna, tetapi dalam majalah APO? ini komiknya
berwarna dan menambahkan lagi daya tarikan terhadap komik APO? yang bergenre aksi komedi ini.
Selain komik APO?, majalah APO? ini juga menyiarkan komik-komik lain seperti
Karma (karya Ah Liow),
Leona & Kage (Ah Tuck),
Kersani (Keladi),
The Fist Element (Blue),
Watcher (Rambai),
Wong Pek Kong (Genesis),
Uma (Adonis),
Cinta Gadis Bunian (Sireh),
Paranormal Joe (Nizam Bachok) dan
Ranjau karya pelukis komik veteran terkenal Zoy. Selain komik, majalah APO? juga menyiarkan beberapa buah cerpen dan novel bersiri.
