19 April 2014

Biodata Benjy (1998)

Khaeryll Benjamin atau Benjy atau anak Azean Irdawaty, mula dikenali sebagai pelakon sejak zaman kanak-kanak lagi iaitu melalui filem Perempuan (1988). Benjy dilahirkan pada 17 September 1978. Gambar di bawah ketika dia berusia 20 tahun.


Petikan biodata Benjy pada 1998:

Warna kegemaran: Hitam, putih, biru & peach
Makanan kegemaran: Nasi daging masak merah & escargot
Minuman kegemaran: Teh O ais limau
Pelakon diminati: Al Pacino & Daniel Day-Lewis
Buku kegemaran: Godfather & Malcolm X
Pil yang ditelan:
- 8 biji pil vitamin C
- 4 biji pil B complex
- 3 biji pil Lestine E
- 3 biji pil kalsium
- 1 biji pil garlic
- 1 biji pil beta cartin
- 3 biji pil fiber
- 1 biji pil daily multivitamin
- 1 scoop profin

Untuk biodata penuh, rujuk gambar di atas.

14 April 2014

Perkahwinan Noreen Noor (1990)

Pelakon terkenal Noreen Noor berkahwin buat kali ke-2 pada 27 Disember 1990. Perkahwinan tersebut dibuat secara sederhana tanpa mendapat publisiti pihak media. Hanya pada pertengahan Januari 1991 barulah majalah URTV dapat menyiarkan kisah perkahwinan itu - yang bertajuk "Noreen Noor kahwin senyap-senyap" - dengan gambar-gambar eksklusif yang disumbangkan oleh pihak luar.


Noreen Noor (31 tahun) berkahwin dengan Baharuddin Ngah (40 tahun), seorang pegawai tinggi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang berasal dari Terengganu. Percintaan mereka berlangsung tidak sampai setahun iaitu bermula dengan perkenalan pada awal 1990 sehinggalah perkahwinan pada hujung tahun yang sama. Tahun berikutnya, Noreen Noor telah melahirkan anak kandung tunggalnya, Danial Baharuddin.



Nota tambahan:
Noreen Noor berkahwin kali pertama pada 11 Ogos 1984, ketika berusia 25 tahun. Suami pertamanya ialah kerabat Diraja Pahang, Tengku Kamaruzzaman Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, seorang pegawai tentera. Mereka tidak dikurniakan anak. Pada 1987, Noreen Noor telah berpisah dengan Tengku Kamaruzzaman, dan mereka bercerai secara sah tidak lama kemudian. Hujung 1989, Noreen Noor membuat pengakuan tentang perceraiannya itu, dan majalah URTV telah menyiarkan kembali gambar lama Noreen Noor bersama bekas suami pertamanya seperti di bawah.

Noreen Noor bersama bekas suami pertama

13 April 2014

Chef Wan berpakaian wanita (2000)

Sempena "perhimpunan artis-artis" yang dinamakan Parti Cit Cat pada Julai 2000, diadakan beberapa acara seperti persembahan pentas dan sukaneka. Parti Cit Cit 2000 anjuran Azwan Ali Production berlangsung selama 3 hari di Desaru Impian Resort, Johor, dan melibatkan seramai 17 orang "artis ternama". Antara mereka yang terlibat ialah penyanyi Shawn Baharin dan "tukang masak profesional", Chef Wan.


Dalam satu persembahan pentas di Parti Cit Cit 2000, Chef Wan telah tampil sebagai penari dengan berpakaian "ala wanita Hindustan" bagi mengiringi nyanyian Shawn Baharin.


Selebriti lelaki berpakaian wanita lazimnya dianggap sebagai suatu bentuk 'hiburan' dan sering dijadikan selingan dalam banyak persembahan pentas sejak sekian lama.

12 April 2014

Lagu Ada-Ada diharamkan di Singapura (1970)

Penyanyi & kumpulan pop yeh yeh dari Singapura, A. Romzi & The Hooks, pernah mengeluarkan sebuah album mini (4 lagu) yang menggunakan judul "A. Romzi & The Hooks" (EMI Records / EGEP 651). Salah sebuah lagu dalam album keluaran 1968 itu berjudul "Ada-Ada". Lagu tersebut agak popular tapi tidaklah setanding dengan lagu-lagu mereka yang lebih awal, iaitu Dendang Remaja & Zunika (1967), yang popular sehingga kini.

Setelah 2 tahun dikeluarkan, lagu "Ada-Ada" tiba-tiba saja menimbulkan kegemparan apabila ia diharamkan daripada siaran Radio Singapura pada 1970. Pengharaman siaran lagu "Ada-Ada" dilaporkan oleh akhbar sebagai kes pertama seumpamanya yang melibatkan lagu berbahasa Melayu. Pengharaman itu berpunca daripada pelancaran "Kempen Anti Nakotik (ganja)" oleh Kementerian Kebudayaan Singapura.

Senikata lagu "Ada-Ada" dikatakan "mengandongi unsor2 yang memuja ganja" (Berita Harian Singapura, 19 Mac 1970)

ADA-ADA
(pencipta lagu: T. Hashim / penulis senikata: A. Romzi)

Ku berjalan-jalan di taman bunga
Tapi tiada tujuan yang utama
Ku mencari barang yang tiada
Entah kan tersandung batu di sana

Kata kawan-kawan sungguh istimewa
Tapi tiada berkesan dan tiada juga ku rasa

Kini... ada-ada
Tapi... tak guna


  • Maksud senikata lagu "Ada-Ada" yang ringkas itu agak kabur dan tidak jelas langsung apa yang dikatakan sebagai "memuja ganja" yang menjadi penyebab kepada pengharamannya pada 1970.
  • Lagu "Ada-Ada" dalam video di atas kurang berkualiti dan kedengaran rosak pada beberapa bahagian. Untuk mendengar versi yang lebih baik, boleh dapatkan MP3 di muziknusantara.com

Nota tambahan:
Lagu-lagu luar negara yang turut diharamkan siarannya daripada Radio Singapura pada 1970 ialah: The Pusher (kumpulan Steppenwolf, 1968); Happiness Is A Warm Gun (kumpulan The Beatles, 1968); Puff, The Magic Dragon (trio Peter, Paul & Mary; 1963). Semua lagu itu dikatakan "memuja ganja" (Berita Harian Singapura, 5 Mac 1970)

08 April 2014

Biodata Sofia Jane (1994)

Pelakon terkenal Sofia Jane menggunakan nama sebenarnya sebagai nama pentas. Sofia dilahirkan pada 14 Februari 1972. Gambar di bawah ketika dia berusia 22 tahun. Filem-filem popular lakonannya ialah Harry Boy (1991); Kekasih Awal & Akhir (1993); Perempuan, Isteri & ...? (1993); Cinta Kita (1995).


Petikan biodata Sofia Jane pada 1994:

Warna kegemaran: Biru & hitam
Makanan kegemaran: Makanan India
Filem kegemaran: Much Ado About Nothing & The Piano
Pelakon pujaan:
Meryl Streep
Penyanyi pujaan: Barbra Streisand
Tokoh negara yang diminati: Dato' Sri Dr. Mahathir Mohamad & Dato' Sri Anwar Ibrahim

Untuk biodata penuh, rujuk gambar di atas.

06 April 2014

Perkahwinan Amy Search (1990, 1995 & 2003)

Penyanyi kumpulan rock Search, Amy (Suhaimi Abdul Rahman), berkahwin kali pertama pada 1983. Ketika itu Search telah pun wujud tetapi belum merakamkan sebarang album. Jadi, perkahwinan Amy yang tidak dikenali ramai ketika itu tidaklah mendapat sebarang publisiti. Amy (25 tahun) berkahwin dengan Faridah Fadzil (18 tahun) pada 1983. Mereka dikurniakan cahaya mata, Nabila Huda (lahir pada 1984). Perkahwinan Amy & Faridah tidak bertahan lama. Mereka bercerai pada 1985, tahun yang sama Search mengeluarkan album pertama, Cinta Buatan Malaysia, yang popular dengan lagu Kejora.

Tercatat dalam sejarah industri muzik bahawa tempoh Amy bergelar duda buat kali pertama (1985-1990) ialah zaman gemilangnya bersama Search. Lagu-lagu Search paling popular seperti Rozana, Fantasia Bulan Madu, Gadisku & Isabella dikeluarkan dalam tempoh tersebut. Terlalu banyak kejayaan Search yang dicapai dalam tempoh tersebut kalau ingin diceritakan kesemuanya. Nama Amy menjadi sebutan ramai peminat muzik di Malaysia, Indonesia, Singapura & Brunei. Secara peribadi, Amy menambah satu lagi kejayaan buat dirinya apabila dia akhirnya menamatkan zaman duda dengan berkahwin buat kali kedua.

1990

Amy (32 tahun) berkahwin dengan pramugari MAS, Noorliza Abdul Latiff (22 tahun), pada September 1990. Perkahwinan mereka bertahan sehingga Oktober 1994 tanpa mendapat sebarang cahaya mata. Selepas bercerai, Noorliza mendapat tawaran berlakon dan pernah muncul sebagai watak tambahan dalam filem Litar Kasih (1996).

Tempoh duda Amy buat kali kedua tidak lama. Hanya lebih kurang 8 bulan selepas bercerai, Amy (36 tahun) berkahwin pula dengan Roslisa Ahmad (24 tahun) pada Jun 1995. Roslisa dilaporkan pernah bergelar Miss Singapore 1990. Amy & Roslisa dikurniakan cahaya mata, Irisha Myra (lahir pada 1997), dan mereka bercerai pada 2000.

1995


Setelah beberapa tahun bergelar duda buat kali ketiga, Amy (45 tahun) akhirnya bertemu jodoh dengan Norish (Norhasniza Hassan, 22 tahun), dan mereka berkahwin pada Oktober 2003. Perkahwinan kali keempat Amy terbukti utuh dan bertahan sehingga kini. Amy & Norish telah dikurniakan 3 orang cahaya mata: Alexander Zulkarnain (lahir pada 2004), Sania Samara (2005) dan Qaqa At-Tameemi (2009).

2003

Rujukan tambahan:
Gambar Nabila Huda & ibunya, Faridah Fadzil (28 Mac 2006)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...