07 May 2011

Majalah Al Mukminah (1986)

Majalah Al Mukminah adalah salah satu daripada pelbagai bahan penerbitan yang pernah diterbitkan oleh Bahagian Penerangan pergerakan Al Arqam yang diasaskan pada 1968. Menjelang pertengahan 1980-an, Al Arqam yang memperjuangkan dakwah Islam telah berjaya mempunyai beribu-ribu ahli dan pengikut setia.

Majalah bulanan Al Mukminah mula diterbitkan pada Februari 1986 dan dipasarkan secara jualan langsung dengan harga $1.00. Kebiasaannya penjual majalah itu yang terdiri daripada ahli Al Arqam sendiri akan kelihatan berlegar di tempat tumpuan umum seperti stesen bas misalnya bagi memasarkan pelbagai bahan penerbitan Al Arqam.

Seperti mana slogannya iaitu "Penyuluh Peranan Wanita Islam Sebenar", majalah Al Mukminah disasarkan kepada golongan pembaca wanita. Ketua Pengarang majalah Al Mukminah ialah Ustazah Khadijah Aam, dan majalah itu kebiasaannya memaparkan lukisan atau ilustrasi pada kulit hadapannya. Berdasarkan keluaran ke-9 (Oktober 1986) seperti dalam gambar di atas, antara isi kandungan yang disiarkan dalam majalah yang hanya setebal 28 muka surat itu ialah seperti ruangan rencana, temubual, surat dari kampus, novel bersiri, soal jawab, mari berzikir dan berdoa, mari bertutur bahasa syurga, sajak, cerpen dan sebagainya. Kulit belakang keluaran tersebut dihiasi dengan sajak nukilan Ustaz Ashaari Muhammad, pengasas Al Arqam.

Pergerakan Al Arqam akhirnya telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada 1994 setelah ia dianggap menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Ustaz Ashaari meninggal dunia pada 2010.

***





Sebahagian daripada gambar hiasan dalam majalah wanita Al Mukminah yang menggambarkan suasana pergerakan Al Arqam pada 1980-an.

06 May 2011

Perkahwinan Fandi Ahmad (1996)



Pemain bolasepak terkenal dari Singapura, Fandi Ahmad, telah melangsungkan perkahwinan dengan Wendy Jacobs pada 5 Disember 1996. Wendy atau nama Islamnya Nur Sarah Abdullah yang berusia 22 tahun merupakan seorang peragawati dari Afrika Selatan. Majlis perkahwinan mereka digelar sebagai "celebrity wedding of the year" oleh akhbar Singapura. Manakala sebuah majlis persandingan terbuka turut diadakan tiga hari kemudian bertempat di sebuah padang bolasepak di Yishun, Singapura. Majlis untuk orang awam itu pada mulanya dijadualkan berlangsung selama dua jam. Bagaimanapun pasangan pengantin popular itu dikejutkan dengan kehadiran lebih 13,000 para peminat Fandi dan orang ramai yang membanjiri padang tersebut. Sebahagian daripada pentas persandingan mereka turut pecah apabila diserbu oleh orang ramai yang ingin melihat mereka daripada dekat. Malangnya 10 orang pengawal yang bertugas serta dibantu oleh 40 ahli keluarga pengantin tidak mampu untuk mengawal suasana ketika itu. Akibatnya majlis tersebut terpaksa dipendekkan kepada cuma 15 minit sahaja.

05 May 2011

Disket artis bogel (1994)

Pada 1994, apabila akhbar Harian Metro memaparkan tajuk besar "Disket Artis Bogel" pada muka hadapannya, hanya satu nama artis yang boleh dikaitkan dengan berita tersebut iaitu Zarina Zainuddin walaupun nama beliau tidak dinyatakan. Walaupun kes gambar bogel Zarina mula terbongkar pada 1991 tetapi tiga tahun kemudian pun masyarakat terutamanya peminat hiburan tempatan masih memperkatakan mengenainya, mungkin kerana kes sebegitu amat jarang berlaku dan ia telah diberi publisiti yang agak meluas oleh wartawan hiburan. Apabila lebih ramai orang yang tahu mengenai gambar bogel tersebut, maka permintaan untuk melihatnya telah dijadikan suatu perniagaan oleh pihak tertentu.

Disket, yang disifatkan oleh Harian Metro ketika itu sebagai "peralatan canggih", telah dijadikan medium baru untuk penyebaran bahan lucah dalam zaman I.T. ketika itu. Harian Metro melaporkan bahawa terdapat "lebih 30 gambar artis berkenaan", dan "hanya beberapa keping menunjukkan artis berkenaan berbogel manakala selebihnya adalah gambar separuh bogel dan berpakaian seksi", di mana "gambar artis berkenaan berpakaian seksi itu dipercayai disalin daripada majalah hiburan tempatan". Disket artis bogel tersebut dilaporkan dijual di beberapa kedai pengedar perisian komputer di Kuala Lumpur dan telah tersebar ke "seluruh negara", di mana Harian Metro tidak lupa untuk menegaskan bahawa "seluruh negara" itu adalah "termasuk di Pantai Timur" (Nota: Laporan berita itu ditulis seolah-olah ia berlaku di Kuala Terengganu)

Nota tambahan:
Pada muka surat belakang berita di atas, terdapat laporan mengenai kes video lucah Made In Keratong.

28 April 2011

Konsert Kitaro di Singapura (1995)

Peminat hiburan di Malaysia pastinya mengingati larangan berambut panjang terhadap artis lelaki yang dikenakan oleh Kementerian Penerangan yang diterajui oleh Tok Mat sekitar tahun 1987 hingga 1999. Namun mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kerajaan Singapura sebenarnya telah lebih awal lagi memperkenalkan peraturan sebegitu. Selepas berlangsungnya festival muzik rock terbesar, Woodstock pada 1969 di Amerika, Singapura mula melarang kemasukan pelancong lelaki berambut panjang atas alasan untuk menyekat kemasukan pengaruh hipi. Malah pada 1970 terjadi suatu kes melibatkan 3 orang lelaki rakyat Malaysia yang rambut panjang mereka telah dipotong oleh polis Singapura!

Pada 1984, pemuzik instrumental terkenal Jepun iaitu Kitaro yang berimej rambut panjang telah hadir untuk mengadakan konsert di Singapura. Malangnya beliau tidak dibenarkan memasuki Singapura oleh para pegawai di Lapangan Terbang Changi kecuali beliau akur untuk memotong rambutnya di situ dan pada ketika itu. Kitaro tidak memotong rambutnya, konsertnya dibatalkan serta merta, dan beliau pulang ke Jepun dengan penerbangan seterusnya. Hanya pada hujung 1980-an Singapura melonggarkan peraturan tersebut, contohnya sebuah kumpulan heavy metal (tentunya berambut panjang), Loudness (juga dari Jepun) berjaya membuat konsert di Singapura pada 1989. Manakala di Malaysia pada ketika itulah larangan terhadap artis lelaki berambut panjang mula diperketatkan oleh Tok Mat.

Selepas 11 tahun berlalu, cubaan kedua Kitaro untuk mengadakan konsert di Singapura akhirnya berjaya pada 1995.

24 April 2011

KRU bertemu MC Hammer (1992)

Pada 1990, muzik hip hop atau disebut juga rap mula meningkat popular di Malaysia melalui artis barat seperti Vanilla Ice dengan lagu Ice Ice Baby, dan MC Hammer dengan lagu U Can't Touch This. Kedua-dua artis tersebut banyak mempengaruhi remaja tempatan untuk meminati muzik sedemikian yang langsung tidak popular sebelum itu, dan dalam tempoh hanya 2 tahun kemudian, Malaysia sudah pun mempunyai artis rap tempatan yang sangat popular seperti kumpulan 4U2C dan KRU. Pada hujung 1991, MC Hammer telah mengeluarkan album seterusnya yang popular dengan lagu Too Legit To Quit, dan beliau sempat berkunjung ke Kuala Lumpur pada 1992 untuk mempromosikan album itu. Akhbar tempatan ketika itu menggelar MC Hammer sebagai Raja Rap. Bertuahnya KRU apabila berpeluang mendekati Raja Hammer kerana mereka semua sememangnya di bawah syarikat rakaman yang sama iaitu EMI yo!

22 April 2011

Kumpulan 3 Gees (1997)

3 Gees ialah nama sekumpulan penyanyi wanita atau girl group yang dianggotai oleh Adik, Atie dan Yanti. 3 Gees bermaksud Three Girls (Gs). Album pertama mereka berjudul 3 Gees diterbitkan oleh syarikat rakaman EMI Malaysia pada 1997. Berdasarkan imej dan gaya mereka pada kulit album dan iklan yang disiarkan, mungkin ramai yang menyangka bahawa 3 Gees membawakan lagu-lagu pop atau pun rap. Salah, 3 Gees sebenarnya adalah kumpulan dangdut! Ya, hujung 1990-an adalah zaman muzik dangdut kembali popular di Malaysia. Mungkin juga EMI tidak mahu menonjolkan 3 Gees dengan imej dangdut yang tipikal, maka jadilah imej mereka seperti yang dapat dilihat ini. Walau bagaimanapun terdapat satu tanda yang begitu jelas mengenai kedangdutan 3 Gees, iaitu dengan melihat kepada tajuk lagu popular mereka... Bang Pilih Bang! Begitu terserlah kedangdutannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...