28 December 2010

Poster Connie (1988)

Connie atau nama sebenarnya Norlida Ahmad merupakan antara pelakon wanita paling popular pada 1980-an. Beliau pernah berlakon dalam filem Tujuh Biang Keladi (1984), Bujang Lapok Kembali Daa (1986), Suara Kekasih (1986), Marah-Marah Sayang (1987), Gila-Gila Si Pikoy (1987), Dendang Remaja (1988) dan Guru Badul (1988). Dalam filem Guru Badul, Connie beraksi berani dengan berseluar pendek di tepi kolam renang serta adegannya di atas katil bersama Badul (ditapis daripada versi VCD).

Dalam tahun 1988 nama Connie mencapai tahap yang paling popular. Gambar beliau banyak dijadikan poster dalam akhbar dan majalah. Pada 1989, Connie dipilih oleh peminat hiburan tempatan sebagai Pelakon Filem Popular menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP). Connie terus menjadi rebutan penerbit filem dengan terbitnya 2 buah lagi filem lakonannya pada 1989, iaitu filem Awang Spanar dan Sumpahan Mahsuri. Populariti Connie kekal dengan menerima anugerah Pelakon Pembantu Filem Popular dalam ABP 1990.

Pada awal 1990-an Connie berjaya menambat hati penonton TV pula setelah membawakan watak baik dalam drama bersiri Siti Zubaidah dan Siti Zulaikha hingga melayakkannya dipilih menerima anugerah Pelakon TV Popular dalam ABP 1992. Nama Connie kemudiannya tenggelam setelah munculnya pelakon baru yang lebih popular seperti Sofia Jane dan Erra Fazira. Connie muncul semula pada 2004 dalam filem Bicara Hati dengan melakonkan watak ibu kepada Nur Fazura. Di sebalik kejelitaan asli Connie, status perkahwinan beliau hingga kini masih lagi menjadi tanda tanya.

26 December 2010

Feminin - kumpulan rap wanita yang pertama (1992)

Pada bulan Disember tahun 1992 peminat hiburan tempatan diperkenalkan kepada sekumpulan penyanyi wanita yang digelar Feminin. Wartawan Samsor Junet yang menemubual kumpulan Feminin untuk rencana pengenalan ini memastikan bahawa pembaca tidak tertanya-tanya siapakah di antara anggota kumpulan itu yang gemarkan minuman oren dan siapa pula yang gemarkan nasi goreng ayam. Kumpulan Feminin terdiri daripada 5 orang remaja yang masih bersekolah. Kesemua mereka sebelum itu pernah bergiat sebagai penari bersama syarikat Edrina Collection yang diuruskan oleh Eddriss Razhe yang kemudiannya juga bertindak sebagai pengurus kepada kumpulan Feminin.

Kemunculan kumpulan Feminin pada hujung 1992 ialah ketika demam muzik rap baru hendak bermula di Malaysia, iaitu setelah kumpulan 4U2C dan KRU berjaya mengeluarkan album pertama masing-masing dalam tahun yang sama. Oleh kerana itu, adalah tidak menghairankan apabila kumpulan Feminin yang baru hendak mencuba nasib dalam bidang nyanyian akan serta merta dibentuk untuk menjadi "kumpulan rap wanita tempatan yang pertama". Walau bagaimanapun, genre rap hanyalah merupakan batu loncatan untuk kumpulan Feminin menjadi popular kerana apabila mengeluarkan album pertama mereka dalam tahun 1993, kumpulan Feminin lebih dikenali dengan lagu pop dan lagu yang berentak tarian berbanding dengan lagu-lagu yang mempunyai banyak unsur rap.

25 December 2010

Charmaine Augustin (1988)

Charmaine atau nama penuhnya Charmaine Anne Augustin mula dikenali ramai setelah menjadi pengacara rancangan Muzik-Muzik di TV3 pada 1988. Ketika itu beliau berusia 20 tahun dan merupakan salah seorang pengacara bukan Melayu paling terkenal, terutama sekali di kalangan peminat muzik tempatan. Charmaine mengacara Muzik-Muzik '88 bersama ND Lala. Setahun selepas itu Charmaine digandingkan pula dengan Azwan Ali sebagai pengacara Muzik-Muzik '89. Gandingan Charmaine & Azwan menjadi semakin popular menerusi rancangan Muzik-Muzik '90 yang diingati ramai apabila menampilkan begitu ramai artis dan kumpulan muzik rock. Penampilan terakhir Charmaine di TV3 ialah semasa siaran langsung pertandingan Juara Lagu 1990 di mana pada penghujung siaran langsung tersebut Azwan mengumumkan pengunduran Charmaine sebagai pengacara rancangan Muzik-Muzik.

24 December 2010

Promosi TV3 (1990)



Senarai rancangan popular yang disiarkan oleh "Rangkaian Sukaramai" TV3 pada 1990:
  • 21 Jump Street
  • Buletin Utama
  • Cerekarama
  • Crime Story
  • Dunia Sukan
  • Full House
  • G-Force
  • L.A. Law
  • MacGyver
  • Majalah 3
  • Mid Week Sports
  • Mission Impossible
  • Money Matters
  • Muzik-Muzik 90
  • My Two Dads
  • Panggung Sutera
  • Pi Mai Pi Mai Tang Tu
  • Roseanne
  • Sekapur Sirih

23 December 2010

VCD New Boyz The Telemovie diharamkan (2002)



Bermula pada tahun 2001 begitu banyak telefilem telah dikeluarkan dalam format VCD. Pelbagai penerbit tiba-tiba muncul untuk bersaing dalam pasaran telefilem VCD yang begitu popular ketika itu. Antara pihak penerbit yang muncul secara tiba-tiba itu ialah di kalangan syarikat rakaman muzik seperti FMC (dengan telefilem Helah contohnya), Life Records (Sakinah), Warner Music (Azura 2003), Music Valley (Gosok) dan lain-lain. Boleh dikatakan semua syarikat rakaman tersebut menampilkan artis atau penyanyi mereka sebagai pelakon utama bagi setiap telefilem yang diterbitkan. Puncanya ialah kerana kemerosotan pasaran muzik tempatan ketika itu. Syarikat rakaman tersebut perlu menanti beberapa tahun selepas itu untuk pasaran muzik kembali melonjak dengan popularnya kaedah muat turun lagu dan nada dering.



Syarikat rakaman Suria Records atau SRC juga tidak terkecuali daripada menyertai penerbitan telefilem VCD. Pada 2002, SRC telah menerbitkan New Boyz The Telemovie yang menampilkan lakonan semua anggota kumpulan New Boyz yang diketuai oleh penyanyinya Tomok. Walau bagaimanapun, New Boyz The Telemovie yang diarahkan oleh Azwan Ali itu telah diharamkan oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang tidak membenarkan penampilan watak perempuan yang dilakonkan oleh lelaki. Dalam telefilem komedi tersebut watak pelajar perempuan bernama Siti Payung telah dilakonkan oleh Farouk Hussain. Oleh kerana Siti Payung merupakan salah seorang watak pembantu yang penting, maka cubaan penerbit untuk menyunting semula telefilem tersebut dengan membuang watak Siti Payung telah gagal dan menyebabkan VCD New Boyz The Telemovie tidak dapat dipasarkan.



Nota tambahan:
Penampilan watak perempuan yang dilakonkan oleh lelaki pernah dipopularkan oleh siri komedi 1990-an seperti Baba & Nyonya, Jangan Ketawa dan Senario. Beberapa episod siri komedi Senario pernah diharamkan daripada tayangan apabila peraturan sebegitu mula diperkenalkan oleh LPF. Farouk Hussain ialah antara pelakon yang pernah diundang bagi melakonkan watak perempuan dalam siri komedi Senario.

22 December 2010

Konsert Bon Jovi (1995)

Konsert kumpulan rock terkenal Bon Jovi telah berlangsung pada hari Khamis, 4 Mei 1995 di Stadium Shah Alam, Selangor. Konsert tersebut dianjurkan oleh Mahir Events. Pada ketika itu syarikat pengeluar rokok seperti Salem contohnya telah dilarang daripada menaja pertunjukan hiburan di Malaysia, manakala syarikat telekomunikasi yang sering dilihat menaja konsert pada masa kini pula ketika itu masih belum berkembang pesat, situasi di suatu zaman ketika telefon bimbit masih menjadi antara barangan mewah. Oleh kerana itu Konsert Bon Jovi telah ditaja oleh New Straits Times, penerbit akhbar bahasa Inggeris terkenal.

Kehadiran kumpulan Bon Jovi membuat konsert di Malaysia boleh dikatakan melewati zaman popular mereka pada penghujung 1980-an. Arena muzik di Malaysia pada 1995 sebenarnya sedang rancak dengan muzik rap setelah demam muzik rock mulai reda, manakala Siti Nurhaliza pula masih merupakan nama yang tidak dikenali langsung ketika itu. Walaupun kumpulan Bon Jovi sudah lama tidak mengeluarkan album baru dan hanya muncul dengan album kompilasi Cross Road (1994), tetapi dilaporkan oleh beberapa majalah hiburan bahawa lebih 40,000 penonton membanjiri Stadium Shah Alam bagi menyaksikan kumpulan muzik yang dianggap sebagai salah satu legenda rock antarabangsa.

21 December 2010

Cintailah Bahasa Kita (2007)





Program Cintailah Bahasa Kita mula diperkenalkan pada 1987. Gambar di atas menunjukkan logo program tersebut yang dipasang pada bahagian bawah bangunan KOMTAR di Pulau Pinang. Bangunan KOMTAR siap dibina pada 1985 dan logo tersebut telah terpasang di situ sejak 1987 hingga 2007 ketika gambar ini diambil.

Walau bagaimanapun, logo Cintailah Bahasa Kita itu kini tidak lagi berada di tempat yang biasa dilihat sejak lebih 20 tahun lepas. Logo tersebut telah diturunkan tidak lama setelah Pulau Pinang mula diperintah oleh parti politik yang baru pada 2008. Kepada para pejuang bahasa yang bersifat politikal mungkin mereka akan merasakan yang tindakan menurunkan logo tersebut mempunyai niat yang tidak baik. Tetapi dari sudut pandangan yang lebih rasional, papan tanda logo tersebut sememangnya kelihatan sudah terlalu usang dan akan membahayakan orang ramai sekiranya ia terjatuh dengan sendiri setelah diabaikan tanpa penyelenggaraan sejak sekian lama oleh pemerintah yang terdahulu.

Program Cintailah Bahasa Kita kini dikenali sebagai program Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita. Namun begitu harapan untuk melihat papan tanda baru program tersebut kembali dipasang di tempat yang sama khasnya, atau di negeri Pulau Pinang umumnya, adalah amat tipis dan kemungkinan besar tidak akan berlaku sama sekali.

Foto: KHYS

06 December 2010

David Copperfield di Malaysia (1988)

Ahli silap mata yang paling terkenal pada 1980-an, David Copperfield telah hadir ke Kuala Lumpur pada 20 Jun 1988 untuk membuat beberapa persembahan. Sebelum itu rakyat Malaysia sudah sering disajikan dengan persembahan ilusi beliau yang begitu menakjubkan melalui beberapa rancangan TV. Persembahan David Copperfield yang paling menjadi topik perbualan ialah apabila beliau berjaya membuat ilusi yang meyakinkan dengan berjalan merentasi Tembok Besar China pada 1986.

Kebanyakan orang pada 1980-an (malah sekarang pun!) yang mempercayai perkara mistik dan khurafat sering mengaitkan persembahan David Copperfield dengan penggunaan ilmu sihir dan bantuan makhluk halus, kerana kepada golongan sebegitu persembahan ilusi yang pelik tidak mampu untuk dijelaskan secara logik akal akibat daripada pemikiran mereka yang cetek. Walau bagaimanapun, ketika di Kuala Lumpur David Copperfield cuma membuat persembahan silap mata yang biasa sahaja dan tiada ilusi luar biasa yang menjadi ingatan.

03 December 2010

Aliph (2007)

Aliph ialah suatu jenama kasut sukan dan kasual buatan Malaysia yang terkenal pada dekad 1980-an. Pengeluar jenama Aliph iaitu Sime Darby Footwear Sdn Bhd pernah menaja kasut Aliph untuk digunakan (sebagai product placement) dalam penggambaran beberapa buah filem tempatan seperti Rozana Cinta '87, Jejaka Perasan & Ragam Pemandu.

Kasut Aliph juga menjadi kegemaran ramai artis rock tempatan sehingga tercetusnya jenama Aliph Search pada sekitar 1987 yang dipercayai merupakan kasut pertama yang meletakkan nama artis tempatan (iaitu kumpulan Search) sebagai sebahagian daripada nama produk. Selepas itu, kumpulan Lefthanded juga pernah bekerjasama dalam memasarkan rekabentuk terbaru kasut Aliph. Gandingan jenama kasut dengan ikon muzik diketahui menjadi antara strategi pemasaran yang popular, contohnya kasut jenama antarabangsa LA Gear pernah bergandingan dengan Michael Jackson & Ella pada penghujung dekad 1980-an, malah di pasaran terkini juga terdapat pelbagai rekabentuk kasut jenama Converse - Metallica & Black Sabbath atau kasut jenama Vans - Iron Maiden & Slayer umpamanya.

Dalam tahun 2007, selepas menerbitkan beberapa keping gambar dan sedikit cerita mengenai kasut Aliph di dalam laman web MuzikRock.com, saya cuba menjejak semula saki baki peninggalan jenama Aliph ini yang sudah tidak lagi dikeluarkan sejak pertengahan dekad 1990-an. Dua pasang kasut Aliph baru (stok lama) akhirnya berjaya dibeli dengan harga di bawah RM100.

Gambar di atas menunjukkan sebahagian daripada barangan jualan di salah sebuah kedai barangan terpakai di Kuala Lumpur pada tahun 2007. Dapat dilihat kasut Aliph berwarna hitam itu ditandakan dengan harga RM220 sepasang, manakala kasut Aliph berwarna putih/biru di sebelah kanan pula berharga RM300 sepasang! Sebagai perbandingan, harga asal sepasang kasut-kasut tersebut ketika dikeluarkan lebih 15 tahun dahulu cuma sekitar RM30 ke RM45 sahaja.

Pada masa kini pula tidak mengejutkan lagi sekiranya terlihat kasut Aliph terpakai diniagakan misalnya dalam pasaran Mudah.my dengan harga sekitar RM500 sepasang. Melalui perkenalan dengan beberapa orang penggemar kasut Aliph, maklumat yang didapati bahawa ada di antara mereka yang membeli kasut Aliph stok lama yang belum digunakan dengan harga hampir RM700 sepasang!

Jenama Aliph kembali popular:
Top Ten Sneaks and Music Collaboration (ShiftyMag issue #4, August 2009)
Gila kasut Aliph (Metro Ahad, 13 Jun 2010)
Mohd Nazari collects shoes of rock stars for the fun of it (The Star, 12 October 2010)

Maklumat tambahan:
Pada pertengahan tahun 2010, Sime Darby telah mengeluarkan minyak masak dengan jenama Alif.

Foto: KHYS

01 December 2010

Amy Mastura sewaktu kecil (1975)



Amy Mastura dilahirkan pada 10 Mei 1971. Beliau mula menunjukkan bakat sebagai penyanyi sejak zaman kanak-kanak lagi. Pada 1993 ketika berusia 22 tahun beliau menjadi penyanyi Malaysia pertama yang memenangi pertandingan nyanyian Asia Bagus di Jepun. Syarikat rakaman yang berasal dari Jepun, Pony Canyon cawangan Malaysia telah menerbitkan album pertama beliau pada 1994. Pada 1995, beliau dipilih sebagai pelakon utama dalam filem pertama lakonannya yang berjudul KLU. Populariti Amy Mastura ketika itu melayakkannya untuk merakamkan sebuah lagu duet berjudul The Best Part bersama penyanyi antarabangsa yang terkenal iaitu Tommy Page pada 1996. Selain itu, filem ke empat lakonannya pada 1997 iaitu Puteri Impian telah melayakkannya memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia. Kini Amy Mastura agak kurang menyerlah dalam bidang nyanyian, tetapi tahun 2010 menyaksikan 3 buah filem lakonannya ditayangkan di pawagam, iaitu Hooperz, Aku Tak Bodoh & Damping Malam.


29 November 2010

Servis Sidek diharamkan (1982)

Pada penghujung dekad 1970-an 'lahir'nya beberapa bintang sukan muda yang dikenali sebagai anak-anak Sidek atau adik beradik Sidek. Misbun Sidek, Razif Sidek dan Jalani Sidek mencipta nama dalam arena sukan badminton Malaysia dalam masa yang begitu cepat. Banyak kejuaraan yang mereka menang di dalam negara ketika itu hingga layak dipilih mewakili negara ke pertandingan badminton peringkat antarabangsa dalam usia yang masih remaja.

Adik beradik Sidek menjadi terkenal serta merta dalam arena badminton antarabangsa setelah mereka memperkenalkan teknik servis (pukulan bulu tangkis) yang luar biasa, yang tidak pernah terfikir boleh dilakukan oleh mana-mana pemain badminton di dunia. Teknik servis tersebut kini dikenali sebagai Servis Sidek.

Cara melakukan Servis Sidek ialah dengan sebelah tangan memegang kepala bulu tangkis ke arah atas, manakala bahagian bulunya pula menghala ke arah permukaan gelanggang. Sebelah tangan lagi yang memegang raket perlu berada dalam kedudukan untuk membuat pukulan backhand (memukul bulu tangkis dengan tolakan pergelangan tangan, dan bukannya dengan hayunan keseluruhan tangan). Setelah berada dalam kedudukan tersebut, servis akan dilakukan dengan tolakan raket ke arah bahagian bulu. Bulu tangkis yang dipukul sebegitu akan berpusing-pusing melayang ke arah gelanggang lawan. Servis Sidek dianggap menyukarkan pihak lawan untuk membalas pukulan kerana pihak lawan perlu betul-betul pasti bilakah kepala bulu tangkis yang berpusing-pusing itu akan menghadap ke arah mereka sebelum ia boleh dipukul kembali, kerana pukulan balas yang salah pada bahagian bulu akan menyebabkan hantaran yang tidak sempurna malah boleh menyebabkan bulu tangkis melekat pada jaringan raket pihak lawan.

Penggunaan Servis Sidek mendapat banyak bantahan dalam arena badminton antarabangsa ketika itu, tetapi bukanlah kerana ia memberi kelebihan kepada adik beradik Sidek semata-mata. Servis Sidek sebenarnya boleh digunakan oleh semua pemain badminton di seluruh dunia untuk kelebihan mereka sendiri, malah adik beradik Sidek sendiri juga tidak terlepas daripada menjadi 'mangsa' teknik servis ciptaan mereka itu. Kontroversi teknik pukulan bulu tangkis yang luar biasa itu memaksa Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) mengambil keputusan untuk mengharamkan penggunaan Servis Sidek pada 1980. Oleh kerana terdapat perbezaan pendapat di mana beberapa buah negara selain Malaysia telah menyokong penggunaan Servis Sidek, maka pengharaman itu dibatalkan setahun kemudian.

Pada 29 Mac 1982, pasangan beregu Razif (19 tahun) dan Jalani (18 tahun) mencipta sejarah dengan memenangi pertandingan badminton berprestij All England yang sudah lama tidak dimenangi oleh Malaysia. Sejurus selepas itu IBF mengambil keputusan untuk mengharamkan terus Servis Sidek daripada digunakan dalam semua pertandingan badminton di seluruh dunia dengan alasan bahawa bulu tangkis dicipta untuk dipukul pada bahagian kepalanya dan bukan bulunya. Walaupun begitu, kejayaan adik beradik Sidek menjuarai satu demi satu pertandingan badminton antarabangsa selepas itu membuktikan kehandalan semulajadi mereka dalam sukan ini. Sekiranya Servis Sidek tidak diharamkan dulu, mungkinkah telah tercipta pula teknik pukulan balas yang tidak kurang hebatnya?

26 November 2010

Ulang Tahun ke-19 Siti Nurhaliza (1998)

Majalah Keluaran Khas sempena Ulang Tahun ke-19 Siti Nurhaliza ini diterbitkan oleh Mohd Khairune Sdn Bhd yang merupakan penerbit untuk beberapa buah majalah hiburan pada 1998. Majalah yang berkonsepkan biografi bergambar ini menggunakan slogan "Dari Buaian Ke Dunia Glamor", dan ia berharga RM9.00 dengan ketebalan 102 muka surat termasuk satu poster bersaiz 3 muka surat. Kulit depan majalah ini memaparkan gambar terkini Siti Nurhaliza serta gambarnya semasa zaman bayi, zaman tadika dan zaman sekolah menengah.

Kandungan majalah ini dimulakan dengan biodata dan sedikit cerita ketika zaman kanak-kanak Siti Nurhaliza. Selain itu majalah ini juga menyiarkan beberapa buah lirik lagu. Terdapat juga komen penggiat seni seperti Salwa Abdul Rahman, Zizie Ezette, Hairie Othman, Arni Nazira & Jeffrydin, yang meluahkan pandangan masing-masing terhadap Siti Nurhaliza. Ruangan lain ialah seperti Keratan Akhbar Dan Majalah (antaranya terdapat gambar Siti Nurhaliza bersama Azwan Ali), dan ruangan Surat Dari Peminat (imbasan beberapa pucuk surat dan sampul surat, semuanya bertulisan tangan, ada juga yang bersetem Indonesia dan Brunei, di mana surat-surat dari Indonesia itu kelihatan ditujukan kepada Siti Nurhalizah)

Kejayaan pertama Siti Nurhaliza yang memperkenalkannya kepada peminat hiburan di Malaysia ialah ketika menjuarai pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini pada 1995. Majalah ini turut menyiarkan komen komposer terkenal Adnan Abu Hassan yang membimbing Siti Nurhaliza sebelum pertandingan tersebut. Selain itu terdapat juga komen oleh pengarah urusan Suria Record, Encik Tan yang membuka peluang kepada Siti Nurhaliza untuk merakamkan album pertamanya dan seterusnya memenangi pertandingan Juara Lagu pada 1996.

Majalah ini mengandungi ratusan gambar Siti Nurhaliza yang diserikan dengan petikan kata-kata beliau. Mungkin tidak banyak perkara menarik yang dapat ditulis sebagai biografi Siti Nurhaliza ketika itu kerana usia beliau yang masih muda dalam kehidupan dan dalam dunia hiburan. Majalah ini diakhiri dengan gambar-gambar Siti Nurhaliza memotong kek harijadi yang ke-19 tahun beliau.


24 November 2010

Rancangan TV paling popular (1988)

Pada 1988, penonton di Malaysia mempunyai tiga pilihan siaran TV. Selain RTM1 & RTM2 yang telah wujud sejak dekad 1960-an, terdapat siaran TV3 yang boleh dikatakan masih baru ketika itu. TV3 mula bersiaran sejak 1984, tetapi tidak meliputi ke seluruh negara pada mulanya.

Satu kajian rambang yang dijalankan pada penghujung 1988 terhadap lebih 9 juta penonton TV di Malaysia mendapati bahawa TV3 telah berjaya menjadi siaran TV nombor satu pilihan para penonton, walaupun peratusan jumlah penonton TV3 tidak jauh berbeza daripada RTM1 yang menduduki tempat kedua. Sementara RTM2 pula menduduki tempat ketiga.

Menurut kajian tersebut, rancangan TV waktu perdana (malam) yang paling popular ketika itu ialah seperti siri Drama Swasta - Hatiku Hati Jua (RTM1), siri Drama Jepun - Rin Hane Koma (RTM1), telefilem Layar Mutiara - Sesuci Embun Pagi (RTM1), cereka pendek Drama Minggu Ini - Jejak Berduri (RTM1), Berita Nasional (RTM1), telefilem Cerekarama - Novel Oleh Atika (TV3) dan satu-satunya cereka bahasa Inggeris paling popular, Mac Gyver (TV3). Manakala rancangan di luar waktu perdana (iaitu waktu petang) yang popular ketika itu ialah cereka bahasa Cina seperti Filem Kantonis - Crazy Nuts (RTM2) dan Panggung Sutera - Walking Beside Me (TV3)

22 November 2010

Sahara Yaakob tak buas seks (1989)

Sahara Yaakob telah muncul semula pada 1988 dengan sebuah album baru berjudul Jawapan yang bergenre rock & blues. Sahara yang menyepikan diri daripada dunia hiburan beberapa lama sebelum itu mengambil keputusan untuk kembali menyanyi setelah bercerai buat sekian kalinya. Dalam satu temubual bersama wartawan hiburan BAM (Bahyah Mahmood), Sahara menepis tanggapan orang ramai mengenai kegagalan beberapa perkahwinannya sebelum itu yang dikatakan berpunca daripada seks. Dengan berterus terang Sahara berkata, "orang melihat saya ni lain sikit, seolah-olah saya ni buas nafsu, gila seks! Sebenarnya saya tak kisah dengan seks. Yang saya lebih utamakan ialah kasih sayang dari seorang lelaki - suami yang bertanggungjawab, dapat melindungi isterinya dari apa saja pancaroba yang datang melanda. Itu yang tidak saya temui selama hidup saya". Sahara juga memberitahu bahawa dia pernah dikurung dalam rumah selama 8 bulan oleh suaminya. Ketika temubual itu, Sahara berusia 32 tahun.

20 November 2010

Buku skrap Awas! KRU (1994)

Buku skrap Awas! diterbitkan oleh Kharisma Publications pada sekitar bulan September 1994. Kharisma Publications yang sebelum itu telah berjaya menerbitkan Majalah Ujang sejak awal tahun yang sama telah mengambil peluang untuk menerbitkan sebuah buku biografi mengenai kumpulan penyanyi KRU. Buku skrap Awas! diterbitkan di bawah label "Siri Produksi Ujang". Pada majlis pelancaran buku skrap Awas!, kartunis Ujang selaku editor memberitahu bahawa penerbitan buku skrap ini "merupakan pengenalan kepada orang ramai bahawa Kharisma Publications boleh menerbitkan buku seumpama ini". Kartunis Ujang juga memberitahu bahawa kos penerbitan buku skrap ini ialah sebanyak RM30,000 dan dicetak sebanyak 25,000 naskah. Buku skrap Awas! setebal 32 muka surat ini dijual dengan harga RM8.80 senaskah.

Walaupun isi kandungan buku ini dalam kategori biografi atau riwayat kehidupan anggota kumpulan KRU (Norman, Yusry & Edry), tetapi konsep persembahannya tidak sama seperti buku biografi lain yang biasanya memberi penekanan kepada penulisan serta sedikit gambar. Penerbitan biografi KRU ini dibuat dalam konsep buku skrap, yang menggabungkan tulisan, gambar, lukisan dan grafik yang disusun atur secara menarik, hampir menyerupai sebuah majalah. Penulis buku skrap Awas! ialah Norman KRU dan Lutfi Ismail, manakala kulit depan dan sedikit kartun di dalam adalah hasil lukisan kartunis Aie. Tajuk buku skrap ini (Awas!) adalah sempena tajuk album ketiga KRU yang telah dipasarkan dalam tahun yang sama.

Isi kandungan dan bab yang terdapat dalam buku skrap Awas! adalah seperti berikut. Disertakan juga beberapa petikan tulisan dan fakta yang dirasakan menarik:
  • Ruangan autograf (tanda tangan) KRU
  • Maklumat album Awas! & reKRUed
  • Maklumat album Canggih ("kesemua lagu melainkan Sekali Lagi telah diharamkan di radio. Sebabnya adalah penggunaan bahasa street seperti sempoi, gua, lu dan sebagainya. Satu lagi sebabnya adalah penggunaan dua bahasa dalam satu lagu iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia")
  • Penglibatan KRU dengan artis-artis lain (Ella, Seha, Feminin & Man Kidal)
  • Surat peminat (yang dihantar oleh Saliza Mohd Salleh, Ronisa Zaini & Azura Hj Ahmad)
  • Apa korang tau tentang muzik Rap ("Muzik Rap di Malaysia kini menghadapi dilema akibat pengharamannya oleh pihak kementerian. Maka banyak le kumpulan Rap yang terpaksa ubah sikit haluan demi masa depan sebagai artis rakaman. Macam tu jugalah kami dari KRU ini. Kita orang terpaksa banyak-banyakkan unsur R&B dan Soul pada lagu-lagu kami supaya mendapat tempat di radio dan TV")
  • Konsert! ("Konsert pertama - Persembahan bersama Eka dan Pak Pandir di Pesta Lumut, 29hb Ogos 1992", "Konsert solo pertama - Alor Setar, Kedah; 15hb Februari 1993", "Konsert terbaik - Life Centre, Kuala Lumpur; 23hb April 1994")
  • KRU sebagai usahawan (penubuhan KRU Productions pada 1 Oktober 1993, dan KRU Publishing pada 1 Januari 1994)
  • Dance KRU (kumpulan penari khas KRU yang dianggotai oleh Dino Azman bin Ramli, Hamzah bin Khalid, Suhaili bin Haron & Nurul Yakin bin Zakaria)
  • Lirik lagu Awas! ("Cerita di sebalik lagu ini mula tercipta apabila sering membaca kisah-kisah artis wanita bercinta dan mempunyai hubungan intim dengan golongan orang ternama dan berharta sedangkan perbezaan umur memang ketara sekali. Sesetengah itu, kurang pasti sama ada artis wanita itu benar-benar menyintai orang ternama itu atau hartanya", "Idea untuk menjudulkan lagu ini Awas! tercipta apabila sedang dalam kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur dan melihat papan tanda Awas! di sepanjang jalan raya")
  • Lirik lagu Di Dalam Dilema ("Lagu ini tercipta apabila seorang penyanyi wanita terkenal meminta kami menulis sebuah lagu berkonsepkan dance ala Sepanyol". Setelah mendengar pendapat orang lain, KRU merakamkan lagu ini untuk album mereka sendiri dan memberi lagu lain kepada penyanyi wanita tersebut)
  • Lirik lagu KRU Is Wild ("Lagu ini tercipta setelah mendengar banyak kritikan dan kata-kata yang meruntuhkan semangat yang dilemparkan kepada kumpulan-kumpulan Rap di Malaysia. Ada yang mengatakan rappers di Malaysia tidak setanding rappers barat atau lebih teruk lagi rappers Malaysia tidak berkualiti")
  • Lirik lagu I.R.A ("muzik Rap dan Rock yang dimainkan oleh artis-artis Malaysia adalah selamat dan tidak bertentangan dengan moral orang timur. Untuk menjelaskan inilah, terciptanya I.R.A". Pemain gitar terkenal Man Kidal terlibat dalam rakaman muzik lagu I.R.A yang bermaksud Intelligent Rappers/Rockers Association)
  • Poster muka tengah (bersaiz 4 muka surat, terdapat beberapa gambar KRU di rumah & studio, serta gambar Norman sedang makan nasi bungkus dan menghidang air Coca Cola)
  • Lirik lagu Cherrina ("mengisahkan kisah benar yang terjadi kepada teman Norman di kolej semasa menuntut di Kuala Lumpur. Intro lagu ini membayangkan seolah-olah penyanyi itu bersendirian di tepi pantai mengingati pemergian kekasihnya ke rahmatullah. Kisahnya mengisahkan penyanyi itulah yang bertanggungjawab ke atas kematian kekasihnya disebabkan kecuaiannya di jalan raya")
  • Lirik lagu Mengerti ("dicipta pada penghujung tahun 1992, sebelum pelancaran album pertama kami Canggih. Melodi dan lirik lagu ini pulak diilhamkan ketika sedang main keyboard, dan ketika itu kami baru saja beli keyboard baru, KORG 01/W", "Kami serahkan kaset demo ini kepada EMI dengan harapan boleh diselitkan dalam album Canggih tapi mereka kata sudah terlambat", "Jadi terpaksalah lagu tu disimpan untuk album kedua kami")
  • Lirik lagu 20/20 ("Kami masih mengingati cara kami merakamkan demo lagu ini. Ketika itu, tidak mempunyai studio sendiri dan kami merakamkan lagu ini dengan hanya menggunakan hi-fi set dan satu microphone. Rakaman dilakukan secara serentak dan kami bersila mengelilingi microphone itu")
  • Lirik lagu Untukmu '94 ("Lagu ini telah dicipta pada tahun 1988 tetapi telah diberikan susunan muzik dan rentak baru pada tahun 1993 untuk kumpulan Feminin", "di atas permintaan ramai, kami membuat keputusan untuk menyanyikan lagu ini semula dengan cara penyampaian harmoni", "Norman menulis lagu asal ini pada tahun 1988 adalah untuk girlfriendnya ketika beliau terpaksa ke luar negara mengikut keluarga")
  • TV Recording & Video Shoot ("Video klip kita orang yang termahal sekali ialah untuk lagu Awas!. EMI syarikat rakaman kami keluar belanja sampai RM15,000. Termasuk le untuk sewa prop seperti Mercedes Limousine", "Untuk video klip Mengerti lagi best. Buat satu hari aje. Lepas habis show petang tu, kita orang terus pergi shooting kat parking kereta di KL. Pukul 2.00 pagi, lari ke Genting pulak, rehat kejap sampai pukul 7.00 pagi. Lepas tu sambung balik dan siap pada pukul 12.00 tengahari")
  • Sejarah KRU ("kita orang ni kaki bola jugak. Bukan main, tapi kaki tengok. Pantang je Selangor ada lawan, kita orang mesti turun punya", "Kita orang ni boleh kata penyokong setia Selangor le. Jadi dari situ, tergeraklah hati nak buat lagu untuk pasukan kesayangan kita orang", "Edry telah menulis lagu Viva Selangor dan dinyanyikan dalam rentak Rap oleh Norman dengan harapan lagu tu akan dimainkan pada setiap kali perlawanan Selangor turun ke Stadium Merdeka. Siap je lagu tu kita orang pun pergi la hantar ke Selangor F.A. Ntah macam mana dia orang kat Selangor F.A. tu suka lak dan setuju nak mainkan lagu tu. Punyalah suka hati kita orang. Dia orang mintak pulak kita buat satu lagu lagi. Kita orang pun buat le lagu Merah Kuning. Kemudian lagu-lagu tu telah dimainkan untuk lebih 40,000 penyokong Selangor di Stadium Merdeka. Tapi masa tu mutu rakamannya takde la best sangat, maklum le baru lagi kan. Jadi takde le sesiapa mengenali kita orang atau tau kumpulan KRU le yang buat lagu tu")
  • KRU sebagai production team
  • Famili (gambar keluarga KRU termasuk ibu bapa dan adik perempuan mereka, serta biodata ringkas ahli keluarga)
  • Nostalgia (koleksi gambar Norman, Yusry & Edry dari zaman bayi hingga ke zaman remaja)
  • Kata ibu tentang Norman, Yusry & Edry (Norman "pernah melompat dari beranda rumah ke bawah halaman konon nak jadi Superman". Bahagian ini turut menampilkan sedikit kartun lukisan kartunis Aie)
  • Rancangan masa depan ("kita orang nak berlakon dalam sebuah filem tempatan yang bercorak muzikal", "kemudian kita orang nak buat album soundtrack untuk lagu-lagu dari filem tu", "nak ambik artis baru dan bimbing di bawah syarikat KRU Productions", "cita-cita ingin meneroka industri dan pasaran antarabangsa", "nak rakam sebuah album Inggeris untuk dipasarkan sampai ke luar negara")
  • Tentang diri Norman ("Teenage idol: Simon Le Bon - Duran Duran", "Penyanyi kegemaran: Bobby Brown", "Kaset pertama yang anda beli: Prince")
  • Tentang diri Edry ("Teenage idol: The Beatles", "Penyanyi kegemaran: John Lennon, Morissey dan Depeche Mode", "Kaset pertama yang anda beli: Duran Duran")
  • Tentang diri Yusry ("Teenage idol: John Lennon / Paul Mc Cartney", "Penyanyi kegemaran: The Beatles", "Kaset pertama yang anda beli: Wham!", "Sekiranya anda boleh memutarkan masa dan pergi ke zaman silam, bila, ke mana, kenapa dan siapakah ingin anda ketemui: Ke Liverpool ketika The Beatles baru nak ditubuhkan untuk cuba memujuk dan bodek dia orang untuk dimasukkan dalam kumpulan mereka")
  • Press Release (koleksi keratan akhbar berkaitan KRU)
  • KRU Posse & Merchandise ("KRU Posse maknanya geng setia KRU", "KRU Posse ini adalah kelab peminat yang kami tubuhkan pada 1hb April 1993")

18 November 2010

Majalah APO? (1998)

Majalah APO? mempunyai sejarah penerbitan yang agak panjang, lebih kurang sama seperti sejarah penerbitan majalah Buletin Lubuk. Majalah APO? sepatutnya diterbitkan oleh Kharisma Publications tidak lama selepas mereka berjaya menghidupkan kembali Majalah Ujang pada bulan Ogos 1997. Kemungkinan besar pihak Kharisma Publications merasakan yang mereka tidak sepatutnya bergantung harapan kepada Majalah Ujang semata-mata berdasarkan masalah yang terjadi sebelum itu, atau sememangnya pihak penerbit itu telah bercadang untuk mengembangkan operasi penerbitan mereka dengan mewujudkan satu lagi majalah baru.

Nama APO? mula diperkenalkan dalam Majalah Ujang keluaran ke-78 (15 September 1997). "APO"? yang diberi maksud "Absolutely Pirate Organisation" sebenarnya merupakan komik bersiri lukisan kartunis Petai yang mengisahkan tentang pengembaraan para lanun di zaman silam. Komik APO? disiarkan sebanyak 15 siri dan berakhir dalam Majalah Ujang keluaran ke-92 (15 April 1998). Pada bulan Julai 1998, iklan mengenai penerbitan majalah APO? telah mula disiarkan pada kulit belakang Majalah Ujang.

Setelah menunggu begitu lama, akhirnya pada 1 Disember 1998 majalah APO? keluaran pertama berjaya diterbitkan oleh MOY Publications dengan harga pengenalan RM1.00 sahaja! Harga tersebut kekal untuk keluaran ke-2 dan ke-3. Mulai keluaran ke-4 harga sebenar majalah APO? telah ditetapkan sebanyak RM2.90. Majalah APO? pada mulanya diterbitkan secara bulanan. Setelah 4 keluaran berjaya diterbitkan, barulah majalah ini mula diterbitkan sebanyak dua kali dalam sebulan. Slogan majalah ini juga mengalami beberapa perubahan, di mana pada mulanya ia dikenali sebagai "Siri Pengembaraan ntah apo-apo ntah!", tetapi mulai keluaran ke-2 slogannya ditukar kepada "Majalah Komik Antara Benua". Mulai keluaran ke-8 sekali lagi slogannya ditukar kepada "Majalah Terbest Antara Benua", iaitu dengan menghapuskan perkataan Komik.

Konsep majalah APO? agak berbeza daripada Majalah Ujang, di mana majalah APO? lebih kepada persembahan komik yang boleh dikatakan hampir semuanya bersiri. Terdapat juga beberapa kartun semuka yang dinamakan Lawak APO? & Ntah Apo-Apo Ntah sebagai selingan di antara setiap komik bersiri. Komik utama dalam majalah APO? ini sudah tentulah yang berjudul APO? karya kartunis Petai seperti yang pernah disiarkan dalam Majalah Ujang sebelum itu, cuma siri APO? kali ini telah ditukar jalan ceritanya dengan mengekalkan watak-watak utama. Apa yang menariknya komik APO? ini ialah gaya lukisan kartunis Petai yang tersendiri, dengan watak manusia yang semuanya bersaiz kecil, serta banyak gambaran permandangan dan latar belakang yang agak terperinci. Sekiranya komik APO? dalam Majalah Ujang tidak berwarna, tetapi dalam majalah APO? ini komiknya berwarna dan menambahkan lagi daya tarikan terhadap komik APO? yang bergenre aksi komedi ini.

Selain komik APO?, majalah APO? ini juga menyiarkan komik-komik lain seperti Karma (karya Ah Liow), Leona & Kage (Ah Tuck), Kersani (Keladi), The Fist Element (Blue), Watcher (Rambai), Wong Pek Kong (Genesis), Uma (Adonis), Cinta Gadis Bunian (Sireh), Paranormal Joe (Nizam Bachok) dan Ranjau karya pelukis komik veteran terkenal Zoy. Selain komik, majalah APO? juga menyiarkan beberapa buah cerpen dan novel bersiri.


15 November 2010

Kompleks Campbell di Kuala Lumpur terbakar (1976)

Pada lewat malam 9 April 1976, satu kejadian litar pintas telah berlaku dalam Kompleks Campbell di Kuala Lumpur hingga menyebabkan terjadinya satu tragedi kebakaran yang dianggap terbesar sekali pernah berlaku pada bangunan tinggi di Malaysia. Namun begitu tiada kematian dilaporkan kerana kejadian berlaku ketika semua pekerja telah pulang. Kebakaran tersebut tidak hanya berlaku pada bangunan kompleks perniagaan di tingkat-tingkat bawah, tetapi turut memusnahkan menara pejabat setinggi 20 tingkat di atasnya. Pihak bomba mengambil masa hampir 24 jam untuk memadamkan keseluruhan kebakaran! Asap tebal yang terperangkap dalam banyak kedai di kompleks itu serta angin yang kuat pada bahagian bangunan yang lebih tinggi telah menyukarkan lagi kerja mereka.

Nota tambahan:
Pada 1983, bangunan KOMTAR di Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan ketika itu telah mengalami kebakaran besar di puncak menaranya yang ketika itu telah mencapai tingkat ke-47 (setelah siap dibina dua tahun kemudian, KOMTAR mempunyai 65 tingkat)

12 November 2010

Majalah Buletin Lubuk (1998)

Majalah Buletin Lubuk mula diterbitkan sebagai majalah tumpangan di dalam majalah Lanun keluaran ke-12 (1 Oktober 1997). Dengan kewujudan Buletin Lubuk secara sedemikian, telah menjadikan ketebalan majalah Lanun ketika itu bertambah sebanyak 48 muka surat lagi dan harganya juga bertambah sebanyak RM1.00 daripada harga asal RM3.90. Penerbitan Buletin Lubuk ketika itu tidak begitu konsisten kerana ada juga keluaran majalah Lanun yang tidak mengandungi Buletin Lubuk. Setelah lebih 10 keluaran Buletin Lubuk berjaya diterbitkan di dalam majalah Lanun, akhirnya pada 1 September 1998 (hampir setahun kemudian) Buletin Lubuk mula diterbitkan secara berasingan.

Majalah Buletin Lubuk yang diterbitkan setiap bulan ini menampilkan slogan "Menggeledah Khazanah Alam". Keluaran pertama majalah ini berharga RM4.50 dengan menggunakan kertas yang agak bermutu tinggi sebanyak 80 muka surat. Keistimewaan persembahan Buletin Lubuk dapat dilihat pada kulit depannya yang menampilkan lukisan yang begitu cantik pada setiap keluaran. Maskot majalah ini pula menampilkan gambar kartunis Ujang yang bertopi merah jenama Marlboro sedang memegang joran dan seekor ikan yang besarr punya. Seperti mana majalah Lanun, Buletin Lubuk juga diterbitkan oleh Multi Triple Vision Sdn Bhd yang diterajui oleh kartunis Ujang sebagai Pengarah Urusan. Setelah 8 keluaran berjaya diterbitkan, Buletin Lubuk tiba-tiba hilang daripada pasaran selama sebulan. Keluaran ke-9 Buletin Lubuk dan seterusnya diterbitkan oleh syarikat penerbitan lain iaitu Giant-Add Publishers Sdn Bhd.

Isi kandungan Buletin Lubuk adalah berteraskan kartun dan komik serta ruangan tulisan dan gambar yang kesemuanya mempunyai tema yang khusus berkaitan dengan aktiviti memancing. Terdapat banyak kartun semuka yang dinamakan Lawak Lubuk selain daripada beberapa kartun bersiri. Salah satu karya penarik dalam majalah ini ialah Siri Komik Lubuk yang ditulis ceritanya oleh kartunis Ujang dan dilukis dengan menarik oleh Hulubalang Lubuk. Siri Komik Lubuk menampilkan cerita yang berbeza dalam setiap keluaran tetapi semuanya berkaitan dengan pengalaman unik & misteri yang dialami oleh watak-watak kaki pancing. Ruangan tulisan pula menampikan rencana seperti berita aktiviti memancing, tips berguna serta ulasan lokasi pelancongan yang menarik.

10 November 2010

FHM 100 Sexiest Women (2006)



Majalah FHM Malaysia meneruskan keluaran khas tahunan siri 100 Sexiest Women In The World yang telah dipilih oleh para pembacanya. Berikut adalah senarai selebriti wanita tempatan (Malaysia, Singapura, Brunei & Indonesia) dan nombor kedudukan mereka dalam siri pemilihan 100 wanita paling seksi di dunia bagi tahun 2006.

4. Hannah Tan
9. Amber Chia
10. Denise Keller (Singapore)
14. Daphne Iking
18. Jojo Struys
20. Sarah Tan (Singapore)
25. Maya Karin
35. Marion Caunter
43. Gloria Ting (Miss Malaysia World 2004)
49. Yasmin Hani
54. Emmeline Ng (Miss Malaysia World 2005)
58. Dhanya Nambiar (TV host)
59. Teh Choy Wan & May Wan (TV host & model)
61. Sazzy Falak
66. Nita (Malaysian Idol finalist)
72. Dawn Yeo (Singapore)
77. Chermaine Poo (2nd runner up Miss Malaysia Universe 2005)
95. Elaine Daly (Miss Malaysia Universe 2003)
99. Nasha Aziz

* nama bold = pertama kali masuk senarai

Selebriti wanita nombor 1 paling seksi 2006 ialah Scarlett Johansson.


Amber Chia, Yasmin Hani & Elaine Daly

Nota tambahan:
Pada tahun 2007, majalah FHM Malaysia telah menukar nama keluaran khas tahunan 100 Sexiest Women In The World kepada 100 Most Wanted Women In The World. Tidak dapat dipastikan sama ada penukaran nama tersebut adalah atas kehendak mereka sendiri atau atas arahan pihak berkuasa. Sekiranya melihat kepada aspek pemasaran, tentulah perkataan Sexiest akan lebih menarik perhatian ramai pembaca berbanding perkataan Most Wanted. Jadi kemungkinan besar perkataan Sexiest tidak lagi dibenarkan untuk keluaran khas FHM Malaysia ini selepas tahun 2006. Selaras dengan penukaran nama tersebut, keluaran khas 100 Most Wanted Women In The World 2007 dan seterusnya tidak lagi diterbitkan dalam buku yang berasingan tetapi telah dijadikan sebahagian daripada isi kandungan majalah yang biasa.

Berikut adalah nombor kedudukan paling atas bagi selebriti wanita tempatan dalam pemilihan 100 Most Wanted Women In The World 2007 hingga 2010:

2007 - Yasmin Hani (no. 9)
2008 - Sarah Mui Lian (no. 3)
2009 - Pamela & Vanessa Chong (no. 1)
2010 - Hannah Tan (no. 1)

08 November 2010

Kumpulan Aku Kaya (2002)

Kumpulan pelawak Aku Kaya dianggotai oleh 3 orang bekas anggota Kumpulan Senario iaitu Hamdan, Yassin & Illya. Kumpulan Aku Kaya ditubuhkan secara tak sengaja setelah mereka bertiga terlibat sebagai pelakon dalam telefilem berjudul Aku Kaya pada 2002. Telefilem tersebut yang diedarkan dalam format VCD telah mendapat perhatian yang sangat menggalakkan ("jualan melebihi 100,000 unit") daripada para peminat komedi yang mungkin mulai bosan dengan Kumpulan Senario ketika itu. Hasil populariti Aku Kaya dalam masa yang singkat itu telah diteruskan pula dengan penerbitan filem Aku Kaya The Movie pada 2003. Pada 2004, sebuah lagi telefilem telah diterbitkan dalam format VCD yang berjudul Aku Kaya Giler.

Gambar - gimik Kumpulan Aku Kaya semasa di awal kemunculan mereka dulu. Lawak yang mengerikan.

05 November 2010

RUHIL.COM (1997)



Ruhil Amani merupakan seorang penyanyi yang mula popular pada penghujung dekad 1980-an dengan lagu Kawan dan Anak Dunia. Ketika itu beliau masih dalam usia remaja. Selepas itu Ruhil telah merakamkan sebuah album bersama kumpulan rock Metal Child pada tahun 1990. Setelah musim muzik rock berlalu, Ruhil muncul kembali dengan album Percaya pada 1997. Ruhil Amani adalah salah seorang penyanyi terawal di Malaysia yang mempunyai laman web sendiri dengan nama domainnya iaitu www.ruhil.com seperti yang dicetak pada kulit depan album Percaya ini.

03 November 2010

Koleksi Kartini (1998)

ISBN 983-2013-01-1
Cetakan Pertama 1998

Koleksi Kartini diterbitkan oleh Multi Triple Vision Sdn Bhd, iaitu penerbit majalah Varia Lawak & Lanun. Kartun bersiri Kartini mula disiarkan dalam majalah Varia Lawak keluaran ke-5 (15 Jun 1997) dan seterusnya bersambung ke dalam majalah Lanun. Kartun dalam genre drama komedi ini adalah berdasarkan kisah benar pengalaman hidup kartunis Tembakau, dan ia disiarkan sebanyak 16 siri dan berakhir dalam majalah Lanun keluaran ke-20 (15 Februari 1998)

Penerbitan buku Koleksi Kartini ini membuktikan kuatnya pengaruh dan populariti kartun ini, malah nama Kartini mampu menjadi ikon kepada watak kartun gadis bertudung yang sebelum itu tidak pernah diketengahkan secara meluas. Populariti watak Kartini tidak berhenti selepas terbitnya buku koleksi ini tetapi diteruskan dengan penerbitan kartun animasi Kartini (2004) dan kemudiannya buku komik Kartini Kembali (2006)

Dalam buku Koleksi Kartini ini, kartunis Tembakau telah menceritakan sedikit sejarah panjang kartun ini yang sebenarnya mula diilhamkan oleh beliau pada 1988! Kata Tembakau: "10 tahun dulu, aku berangan nak buat satu cerita tentang catatan sepanjang tempoh aku berkawan dengan Kartini. Aku dah kumpul cerita tu sampai 80 muka (lebih kurang). Tahun 1990, aku tunjuk artwork aku tu kat kartunis Aman. Dia kata cerita aku tu terlalu jujur (kena rejek le tu). Aku give-up nak buat kartun lagi"

Selain itu, kartunis Tembakau juga menunjukkan sedikit lukisan kartun Kartini versi asal yang telah disiapkannya pada 27 Oktober 1988, di mana terdapat tulisan tangan asal Kartini yang tercatat pada bahagian bawah lukisan tersebut, membuktikan bahawa watak Kartini sememangnya benar-benar wujud.

Secara ringkasnya, cerita Kartini adalah mengenai zaman remaja watak Yon (tingkatan 3) di sebuah sekolah asrama di negeri Perak pada tahun 1988 di mana dia berkenalan dengan seorang pelajar junior (tingkatan 1) bernama Kartini. Hubungan mereka terputus setelah Yon tamat peperiksaan SPM, dan 4 tahun kemudian Kartini muncul semula dalam hidup Yon, tetapi semuanya telah berubah termasuk penampilan Kartini yang begitu jauh berbeza.

Satu lagi kandungan eksklusif dalam buku Koleksi Kartini yang tidak ditunjukkan semasa terbitan dalam majalah Lanun ialah gambar sebenar Kartini ketika zaman persekolahan yang disiarkan pada muka surat akhir buku ini.

01 November 2010

Kad Pengenalan Negeri2 Tanah Melayu, Malaysia (1987)

Kad Pengenalan ini dibikin ketika saya berusia 12 tahun iaitu ketika berada dalam darjah 6. Adakah saya masih menyimpan Kad Pengenalan ini? Sudah tentu tidak. Kad Pengenalan ini telah dikembalikan kepada Jabatan Pendaftaran Negara pada awal tahun 1998 apabila hendak mengambil Kad Pengenalan rekabentuk baru yang diperkenalkan tidak lama sebelum itu.

Kad Pengenalan rekabentuk lama ini mungkin kelihatan kurang menarik, dengan hanya mempunyai warna biru dan putih, menggunakan tulisan tangan, saiz yang agak besar, serta tiada gambar Bendera Malaysia. Apa yang menariknya pada Kad Pengenalan lama ini ialah 'tajuk' sampingannya iaitu "Negeri2 Tanah Melayu, Malaysia". Selain itu plastik yang membaluti kad ini juga daripada jenis kasar (tidak licin) dan lembut (boleh lipat dan tidak patah). Manakala latar belakang biru/putih di sekeliling gambar berukuran pasport dan cap ibu jari itu sebenarnya ialah perkataan Malaysia yang berulang-ulang.

Maklumat yang terdapat pada Kad Pengenalan lama ini yang dihapuskan daripada dicetak pada Kad Pengenalan generasi selepasnya ialah: Jantina, Tempat Lahir, Nombor Sijil Kelahiran & Tempat Daftar Kelahiran. Manakala ciri tambahan pada rekabentuk Kad Pengenalan generasi selepasnya ialah: gambar Bendera Malaysia, Bunga Raya, Keris & kod bar (nombor Kad Pengenalan baru yang mengandungi tarikh lahir)

Kad Pengenalan baru saya yang bertarikh 15.01.98 itu sempat digunakan selama beberapa tahun sebelum diarahkan tukar sekali lagi kepada MyKad yang lebih canggih, sebab ada cip komputer dan gambar berukuran pasport yang dicetak terus ke atas kad. Gambar berwarna pulak tu! MyKad juga 'mengembalikan' status Jantina dengan tambahan status Agama. Selain daripada cip komputer yang menggantikan kod bar dan cap ibu jari, rekabentuk MyKad juga telah membuang gambar Keris dan digantikan dengan Tengkolok, Menara Berkembar Petronas, lambang Kerajaan Malaysia dan logo Multimedia Super Corridor (MSC). Terdapat juga simbol ATM dan MEPS Cash pada belakang MyKad, tapi macam tak berguna saja.

29 October 2010

Majalah Varia Lawak & Lanun (1997)

Majalah Varia Lawak pertama kali dikeluarkan pada 15 April 1997. Majalah ini adalah kesinambungan daripada Majalah Ujang yang dihentikan penerbitannya setelah keluaran ke-74 (1 Mac 1997). Penantian para pembaca dan peminat Majalah Ujang yang menunggu keluaran seterusnya pada 15 Mac & 1 April akhirnya terjawab pada 15 April 1997, tetapi bukan dengan kegembiraan sebaliknya dengan seribu pertanyaan pula, apabila yang hadir di pasaran bukanlah Majalah Ujang sebaliknya majalah Varia Lawak yang kelihatan begitu mirip sekali dengan Majalah Ujang, hinggakan bentuk dan warna perkataan Lawak pada muka depan majalah ini juga kelihatan sama seperti perkataan (atau jenama) UJANG sebelum itu. Apa yang pasti, majalah Varia Lawak menampilkan kartunis Ujang.

Setelah membelek-belek muka depan majalah Varia Lawak, senarai kartunis dan warga kerja, serta isi kandungan di dalamnya, ternyata majalah ini adalah kelahiran semula Majalah Ujang, tetapi dengan menggunakan nama lain sahaja, iaitu nama ruangan hiburan (Varia Lawak) dalam muka tengah Majalah Ujang dahulu. Hampir semua kartun dan ruangan yang sebelum ini disiarkan dalam Majalah Ujang terdapat dalam keluaran pertama majalah Varia Lawak, kecuali dengan sedikit perubahan. Antara perubahannya ialah tiada lagi kartun semuka bernama Lawak Antarabangsa, ruangan Hoi Din Beramboi pula dinamakan sebagai Assalamualaikum Pak Din, manakala ruangan Editorial pula menjadi Tazkirah. Agak menarik juga apabila melihat iklan buku cerita Usop Sontorian yang sebelum ini pernah disiarkan dalam Majalah Ujang, tetapi dalam majalah Varia Lawak ini buku tersebut ditukar nama menjadi Usop Mersing! Daripada situ, pandangan awal pembaca dapat menduga bahawa kartunis Ujang ketika itu sedang berhadapan dengan masalah hakcipta.

Dalam ruangan Buletin Beramboi (nama yang sama seperti dalam Majalah Ujang), disiarkan berita pendek yang bertajuk "Ujang berpisah dengan Kharisma", disertai dengan gambar kartunis Ujang sedang merenung nasibnya di hadapan setimbun Majalah Ujang keluaran terakhir. Berita tersebut cuma menyatakan bahawa kartunis Ujang telah "menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri iaitu Multi-Triple Vision Sdn Bhd", dan Varia Lawak adalah "majalah lama yang diberi nafas baru". Tiada penjelasan lanjut mengenai apa yang sebenarnya terjadi dengan Majalah Ujang.

Dalam keluaran ke-2 majalah Varia Lawak, ruangan Buletin Beramboi menyatakan: "Segala unsur-unsur syirik, takbur dan riak akan cuba disingkirkan dari majalah ini", "Diharapkan cita-cita murni ini dapat dilaksanakan demi menguatkan lagi kecintaan masyarakat kepada Islam". Selain itu terdapat poster kecil dengan lukisan gambar kumpulan nasyid Raihan yang bertajuk "Bersama Bangkitkan Syiar Islam". Ketika itu ramai pembaca sudah mula menyedari arah tuju majalah Varia Lawak yang banyak menyiarkan kartun dan isi kandungan yang berteraskan ajaran Islam dan pada masa yang sama mengurangkan unsur-unsur yang tidak baik dalam penyampaian humor.

Dalam keluaran ke-4 majalah Varia Lawak, terdapat kartun 6 muka surat yang bertajuk "Haaa? Ujang Dah Resign?!" lukisan kartunis Duku. Kartun tersebut menceritakan suasana di pejabat urusan Majalah Ujang ketika kartunis Ujang menghilangkan diri dan sudah beberapa hari tidak hadir ke pejabat. Khabar angin di kalangan kartunis dalam cerita itu mengatakan bahawa kartunis Ujang sudah meletakkan jawatan. Oleh kerana ketiadaan ketua yang boleh meluluskan bayaran claim mereka, ditunjukkan beberapa kartunis pergi untuk menjual kartun mereka kepada sebuah syarikat penerbitan di mana mereka semua terkejut apabila mendapati kartunis Ujang adalah pemilik syarikat baru tersebut. Di hujung kartun tersebut, kartunis Duku menulis: "Hidup Ujang! Eh, hidup Ibrahim Anon!!"

Selepas keluaran ke-4 majalah Varia Lawak, perubahan besar terjadi pada barisan kartunis yang menerajui majalah ini, di mana nama-nama seperti Gayour, Nik, Petai, Bawang, Ubi, Kobis Bunga, Keladi, Bacang, Padi & Manggis telah hilang daripada senarai nama kartunis, lantas menambahkan lagi misteri kepada kewujudan majalah Varia Lawak ini ketika itu.

Kartun bersiri paling popular dalam majalah Varia Lawak bertajuk Kartini, yang mula disiarkan dalam keluaran ke-5. Kartun drama komedi berdasarkan kisah benar karya kartunis Tembakau itu terus mencipta sejarahnya yang tersendiri dalam masa beberapa tahun selepas itu. Majalah Varia Lawak keluaran ke-7 (15 Julai 1997) merupakan keluaran terakhir, di mana pada muka belakangnya terdapat iklan majalah Lanun yang dikatakan "Akan Terbit!"

Setelah berakhirnya terbitan majalah Varia Lawak, muncul pula majalah Lanun pada 1 Ogos 1997 yang menggunakan slogan "Rekreasi Minda Anda!". Melihatkan nombor keluaran ke-8 yang tercetak pada muka depan majalah ini, dapatlah difahami bahawa Lanun bukanlah sebuah lagi majalah baru tetapi sekadar menukar nama dengan mengekalkan isi kandungan seperti keluaran majalah Varia Lawak sebelum itu, malah bentuk dan warna perkataan LANUN juga sama seperti Varia LAWAK. Satu perbezaan yang dapat dilihat ialah perubahan nama ruangan Assalamualaikum Pak Din yang ditukar menjadi Assalamulaikum Ujang.

Kehadiran majalah Lanun ini bersamaan tarikh dengan kemunculan semula Majalah Ujang keluaran ke-75, iaitu keluaran yang telah tergendala selama 5 bulan.

Pada keluaran ke-12 (1 Oktober 1997), majalah Lanun diterbitkan dalam edisi khas, iaitu berkembar sekali dengan majalah Buletin Lubuk. Sebelum itu, Buletin Lubuk merupakan ruangan berita aktiviti memancing yang disiarkan sejak daripada keluaran majalah Varia Lawak lagi. Uniknya majalah Buletin Lubuk ialah kerana semua kartun yang disiarkan mempunyai tema yang sama iaitu berkaitan dengan aktiviti memancing. Majalah tumpangan Buletin Lubuk akhirnya diterbitkan sebagai sebuah majalah yang berasingan pada 1 September 1998.

Pada keluaran ke-25 (1 Mei 1998), majalah Lanun telah menghentikan terus penggunaan maskot dan nama Din Beramboi atau Pak Din, satu tindakan yang dipercayai ada kaitannya dengan masalah hakcipta juga.

27 October 2010

FHM 100 Sexiest Women (2005)



Majalah FHM Malaysia meneruskan keluaran khas tahunan siri 100 Sexiest Women In The World yang telah dipilih oleh para pembacanya. Berikut adalah senarai selebriti wanita tempatan (Malaysia, Singapura, Brunei & Indonesia) dan nombor kedudukan mereka dalam siri pemilihan 100 wanita paling seksi di dunia bagi tahun 2005.

2. Amber Chia
3. Sarah Tan (Singapore)
15. Denise Keller (Singapore)
16. Maya Karin
19. Paula Malai Ali (Brunei)
22. Yasmin Hani
29. Teh Choy Wan & May Wan (TV host & model)
37. Deanna Yusoff
42. Janet Khoo
57. Marion Caunter
60. Jojo Struys
64. Camelia
73. Elaine Daly (Miss Malaysia Universe 2003)
76. Daphne Iking
78. Nasha Aziz
80. Hannah Tan
90. Natasha Hudson
93. Erra Fazira
99. Sazzy Falak

* nama bold = pertama kali masuk senarai

Selebriti wanita nombor 1 paling seksi 2005 ialah Angelina Jolie.


Amber Chia, Hannah Tan & Natasha Hudson

25 October 2010

Iklan Maya Karin (2006)



Maya Karin pertama kali muncul sebagai pelakon filem dalam Seri Dewi Malam (2001), diikuti dengan filem No Problem (2001) dan Mr. Cinderella 2 (2003). Nama beliau melonjak naik selepas membintangi filem Pontianak Harum Sundal Malam (2004) di mana beliau mencipta sejarah dengan memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) di Jepun, yang belum pernah dimenangi oleh mana-mana pelakon wanita Malaysia sebelum itu. Maya berusia 25 tahun ketika itu. Sebagai perbandingan, P. Ramlee melalui filem Anak-ku Sazali pertama kali memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik FFAP pada 1957 ketika berusia 28 tahun.

Setelah berlakon dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam II (2005), Maya terpilih sebagai model untuk iklan sebuah syarikat telekomunikasi terkenal. Papan iklan gergasi dipasang di bangunan tertentu sekitar Kuala Lumpur, menampilkan gambar Maya Karin dalam gaya yang begitu menawan. Dua tahun kemudian, Maya terus "berkuasa" apabila memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia 2008 melalui filem Anak Halal.





Foto: KHYS

22 October 2010

Majalah Boom! (1995)

Majalah Boom! pertama kali dikeluarkan pada 1 Julai 1995. Majalah bulanan bersaiz komik antarabangsa ini berharga RM2.80, dan ia dipercayai muncul setelah melihat kejayaan Majalah Ujang pada 1994. Pada muka depan Boom! keluaran pertama, terdapat logo bulat yang tertera nama Ahadiat Akashah, yang merupakan penerbit majalah ini. Ahadiah Akashah yang merupakan seorang novelis terkenal juga pernah muncul sebagai penulis undangan dalam beberapa keluaran awal Majalah Ujang.

Majalah Boom! menampilkan beberapa orang kartunis baru yang tidak terkenal. Boleh dikatakan persembahan majalah ini tidaklah begitu menarik dengan ruangan yang bercampur aduk dan tidak tersusun rapi. Selain mengandungi kartun humor biasa yang semuanya kelihatan sangat amatur, terdapat juga ruangan penulisan yang turut menampilkan Ahadiat Akashah dengan cerpen Balak Cun dan Streets Kid. Aznil Nawawi yang bertindak sebagai Co-Editor juga disenaraikan sebagai salah seorang penulis.

Seorang lagi penulis yang terlibat dalam majalah ini ialah Mior Ahmad, atau lebih dikenali hari ini sebagai Din Beramboi. Dalam majalah ini Mior menulis untuk watak yang bernama Che' Din The Original. Dalam ruangan Panas! Panas! Panas!, Che' Din telah menceritakan serba sedikit tentang perebutan nama dan watak Din Beramboi yang sebenarnya telah dicipta oleh Mior Ahmad sendiri sebelum ia diciplak oleh Majalah Ujang. Che' Din menulis dalam loghat daerah, kata beliau:

"Satu ketiko dulu, kalau ado yang ingek, pornah tak dongar kaset tentang kisah seorang tuo: Ha... pak cik dulu tinggal Kedah. Lepas tu pak cik beli bas mini duo, pak cik niagokan. Pak cik niago, niago, niago, lepas tu entah macam mano, pak cik kayo tau! Kayo sangat pak cik!!"

(Nota: kaset tersebut telah tersebar di kalangan orang ramai sebelum kewujudan Majalah Ujang)

Meneruskan ceritanya, Che' Din memberitahu, "Sobonar eh, tak do siapo yang gilo. Tak do lah pak cik sampai pakai selipor kek botis. Populariti kaset tu kalau nak diikuitkan, tersebar ke seluruh Malaysia. Lopeh tu, adolah berbagai-bagai pihak yang mengaku dio punya. Yang paling sodih, watak pak cik dijadikan watak utamo dalam sebuah majalah humur. Kalau iyo pun nak pakai watak tu, berbincanglah caro elok. Macam R.A.P (Roslan Aziz Production) tu, sanggup cari pak cik mintak kebonaran nak potik sebahagian isi kaset untuk lagu Zainal Abidin. Takkan lah ponorbit majalah tu tak bolu buat macam tu. Abih segalo idea, caro pak cik borcakap dalam kaset tu diciplak dan digunakan sewenang-wenangnyo"

Perjuangan Mior Ahmad (Din Beramboi / Che' Din The Original) untuk menuntut hakcipta sepenuhnya ke atas nama watak rekaannya itu akhirnya berjaya, dan Majalah Ujang telah tidak lagi menggunakan nama Din Beramboi mulai penghujung 1997, manakala majalah Lanun pula menghentikan penggunaan nama Din Beramboi mulai pertengahan 1998. Namun begitu nasib majalah Boom! sama seperti banyak lagi majalah kartun lain yang kurang identiti tersendiri, di mana majalah ini juga tidak dapat bertahan lama dalam pasaran.

20 October 2010

FHM 100 Sexiest Women (2004)



Senarai 100 Sexiest Women In The World pilihan para pembaca majalah FHM Malaysia untuk tahun 2003 tidak dapat dikesan. Berikut adalah senarai selebriti wanita tempatan (Malaysia, Singapura, Brunei & Indonesia) dan nombor kedudukan mereka dalam siri pemilihan 100 wanita paling seksi di dunia bagi tahun 2004.

3. Sarah Tan (Singapore)
14. Denise Keller (Singapore)
17. Paula Malai Ali (Brunei)
20. Soong Ai Ling (TV host & model)
25. Maya Karin
26. Deanna Yusoff
28. Bernie Chan (TV host & model)
32. Janet Khoo
40. Jenny Malai Ali (Brunei)
48. Camelia
69. Yasmin Hani
73. Nasha Aziz
77. Kavita Sidhu
87. Elaine Daly (Miss Malaysia Universe 2003)
89. Misha Omar
90. Marion Caunter
91. Ezlynn
92. Ng Chelsia
95. Rachel Tan (Miss Chinese International 2002)
96. Dynas
98. Wong Sze Zen (Miss Malaysia World 2003)
100. Daphne Iking

* nama bold = pertama kali masuk senarai

Selebriti wanita nombor 1 paling seksi 2004 ialah Britney Spears.

Yasmin Hani, Nasha Aziz, Dynas & Daphne Iking

18 October 2010

Pengakuan Ifa Raziah (2002)

10 Ogos 2002, temubual eksklusif bertajuk "Ifa Raziah bedah payudara". Mungkin tidak ada atau tidak ramai artis tempatan yang sanggup mengaku membuat pembedahan mencantikkan anggota badan, terutama sekali ketika mereka baru saja melakukannya. Ifa Raziah, penyanyi yang terkenal dengan irama dangdut, ketika temubual ini dia berusia 27 tahun, telah mengaku pernah membuat pembedahan membesarkan payudara ketika berusia 19 tahun! (mengikut perkiraan, sekitar tahun 1994)

Dalam temubual ini, Ifa mengaku membuat pembedahan memasukkan silikon murah jenis Jelly di sebuah hospital di Thailand dengan kos RM5000 akibat terpengaruh dengan rakan-rakannya yang pernah melakukan pembedahan yang serupa sebelum itu. Penjelasan terperinci Ifa menyatakan bahawa dia telah dibedah pada bahagian bawah ketiak bagi memasukkan silikon tersebut yang menjadikan ukuran payudaranya bersaiz 34B.

Walau bagaimanapun, 6 bulan selepas itu, akibat kesakitan dan bengkak, doktor telah menasihatkan Ifa untuk membuang silikon tersebut sebelum ia melarat menjadi kanser payudara. Ifa mengikut nasihat doktor dan kembali ke Thailand bagi membuang silikon tersebut secara percuma, kerana pembedahan sebelum itu telah diberikan jaminan selama 1 tahun. Oleh itu semua gambar terbaru Ifa Raziah selepas 1994 (atau gambar lama sebelum 1994) dipercayai memaparkan 'barang tulen'. Kata Ifa, "Dulu saya pakai bra saiz 34, sekarang dah pakai saiz 32"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...