31 March 2011

Farouk Hussain berpakaian wanita (2001)

Farouk Hussain adalah seorang pelakon yang sering membawakan watak komedi. Beliau mula terkenal melalui telefilem Anak Mami pada 1994. Entah bagaimana, lama kelamaan watak komedi yang dilakonkannya sering berkehendakkannya melakonkan watak wanita. Farouk semakin dikenali melalui watak sebegitu apabila muncul melakonkan watak wanita tua dalam siri komedi Senario pada hujung 1990-an. Farouk juga tidak segan silu membawakan watak wanita dalam acara hiburan, contohnya pada Malam Glamor Parti Cit Cat di Kuantan, Pahang pada 2001 (lihat gambar). Walau bagaimanapun, penyiaran lakonan lelaki dalam watak wanita tidak lagi dibenarkan. Telefilem New Boyz The Telemovie pernah diharamkan pada 2002 kerana menampilkan watak Farouk sebagai pelajar perempuan.

30 March 2011

Perkahwinan Yantzen & Sharifah Haslinda (1994)

"Penyanyi rock popular dari Singapura, Yantzen Juniwan, 36, semalam melangsungkan akad nikah dengan pelakon dan pengacara Sharifah Noor Haslinda (Lynn), 22, di kediaman pelakon tersebut di Taman Setia, Gombak, Selangor" - muka depan Mingguan Malaysia, 10 Julai 1994

Yantzen ketika itu merupakan penyanyi kumpulan MAY yang popular dengan lagu berjudul Suci. Lynn pula semakin popular sebagai pengacara rancangan hiburan Sinaran di TV3. Majlis perkahwinan mereka berdua menjadi sedikit kecoh apabila wartawan hiburan dikatakan telah dihalang daripada membuat liputan.

Pada 1995 Yantzen merakamkan album terakhir bersama kumpulan MAY. Perpecahan Yantzen dengan MAY dikatakan berpunca daripada perselisihan faham di antara beliau dengan seorang anggota kumpulan itu.

Lynn melahirkan anak mereka Muhammad Aliff Ronan pada 1999. Yantzen dan Lynn akhirnya bercerai pada 2004 setelah lebih kurang 10 tahun hidup bersama.

Nama Yantzen menjadi popular semula pada 2005 apabila beliau menyertai album projek Semangat Zaman. Hubungan Yantzen dengan kumpulan MAY juga terjalin semula pada 2005 apabila beliau diundang membuat persembahan bersama kumpulan itu di Planet Hollywood, Kuala Lumpur.

28 March 2011

P. Ramlee vs. MGR (1972)

Pada 20 Julai 1972, Malaysia dikunjungi oleh pelakon filem legenda India iaitu M.G. Ramachandran atau nama glamournya MGR. Pada ketika itu tiada nama lain yang lebih layak untuk menyambut kedatangan MGR ke Malaysia selain daripada satu-satunya legenda filem Melayu, P. Ramlee. Tiada siapa menyangka bahawa hayat P. Ramlee di dunia hanya tinggal lebih kurang 10 bulan sahaja daripada hari bersejarah itu. P. Ramlee bersama ribuan peminat filem telah menyambut kedatangan MGR di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, iaitu negeri kelahiran P. Ramlee. Pada hari itu, MGR dan P. Ramlee, dua ikon filem tersohor dunia sempat bergambar bersama.

P. Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973 semasa filem terakhirnya Laxmana Do Re Mi masih ditayangkan di pawagam. MGR pula meneruskan kerjaya lakonannya sehingga filem terakhir pada 1978 sebelum bersara dan meninggal dunia pada 1987.

27 March 2011

Kartini Kembali (2006)

ISBN 983-3603-97-1
Terbitan Pertama 2006

Buku kartun Kartini Kembali ini telah diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn Bhd pada 2006. Menurut maklumat dalam buku ini, kartun Kartini Kembali pernah disiarkan secara bersiri dalam majalah Aku Dan Sesuatu terbitan Aie Production. Buku Kartini Kembali karya kartunis Tembakau ini adalah setebal 94 muka surat dan berharga RM14.00

Sebelum itu, buku koleksi Kartini pernah diterbitkan pada 1998. Buku Kartini Kembali ini boleh dikatakan sebuah kesinambungan kepada buku pertama itu, tetapi ia bukanlah sebuah cerita sambungan yang menarik. Mengapa? Kerana watak Kartini boleh dikatakan tidak wujud dalam kisah Kartini Kembali ini yang lebih menumpukan kepada kisah watak Aryon semata-mata. Perkara itu jelas dinyatakan oleh Tembakau dalam tulisan pembukaan buku ini.

Kisah Kartini Kembali ini terbahagi kepada 2 segmen. Pembaca pada awalnya dihidangkan dengan kisah Aryon yang 'jiwa kacau' selepas 'kehilangan' Kartini dalam penutup cerita asalnya. Selepas itu pembaca dibawa untuk mengimbas kembali kisah Aryon semasa zaman persekolahannya dalam tingkatan 2 (iaitu zaman sebelum Aryon bertemu dengan Kartini) dan tingkatan 3. Pembaca hanya akan diperlihatkan dengan lukisan watak Kartini pada beberapa muka surat dalam babak-babak akhir, itu pun bukan watak Kartini yang hidup dan berkomunikasi, cuma sekadar imej yang diceritakan oleh Aryon kepada rakannya. Nama Kartini juga langsung tidak ditulis di sepanjang kisah Kartini Kembali ini, dan hanya dirujuk oleh Aryon sebagai "dia" sahaja.

Kemungkinan untuk pembaca baru yang tidak mengikuti cerita asal Kartini untuk dapat mengikuti kisah Kartini Kembali ini dengan mudah adalah tipis sekali. Pembaca cerita asal Kartini juga mungkin kecewa apabila tajuk Kartini Kembali ini tidak menggambarkan maksudnya. Daripada segi lukisan Tembakau pula, entah kenapa terasa seperti ada sesuatu yang kurang, gaya persembahannya agak tidak seragam, malah ada beberapa bahagian di mana lukisannya kelihatan kurang menarik dan seakan tidak siap (mungkin disengajakan?)

26 March 2011

Michelle Yeoh dalam Miss Malaysia-World (1983)

Pertandingan Miss Malaysia-World 1983 telah dimenangi oleh Cik Yeoh Choo Kheng atau kini lebih dikenali dengan nama Datuk Michelle Yeoh. Beliau yang berusia 21 tahun ketika itu turut memenangi gelaran Miss Kodak Photogenic. Michelle berkata bahawa ibu beliau yang menyuruhnya memasuki pertandingan itu sebaik sahaja beliau pulang ke Malaysia setelah menerima ijazah di England dalam tahun yang sama. Michelle adalah mahasiswa lulusan Universiti Crewe And Alsager dalam jurusan Sastera (drama, tarian dan seni kreatif).

Dalam pertandingan yang diadakan di Dewan Perbandaran Ipoh, Perak itu, Michelle yang mempunyai ukuran badan 35-25-35in, tinggi 164cm dan berat 47kg telah berjaya mengalahkan seramai 16 orang peserta. Tempat kedua dimenangi oleh pelajar sekolah berusia 18 tahun (tingkatan 6) iaitu Cik Dotty Kamaluddin Yusof (berdiri kiri dalam gambar) manakala tempat ketiga dimenangi oleh Cik Jennifer Yong yang berusia 22 tahun. Dengan kemenangan itu Michelle membawa pulang hadiah wang tunai $5000, baucer tunai $4000 dari pusat membeli belah Super Kinta, tiket penerbangan dari Air Lanka, penginapan 2 minggu di London, sebentuk cincin berlian, sebuah piano, satu set video dan lain-lain. Kayu yang dipegang oleh Michelle di atas takhta itu bukan sebahagian daripada hadiah. Selain itu Michelle juga layak untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss World 1983 yang diadakan di London, England pada November tahun itu.

Pada Disember 1984 filem pertama lakonan Michelle di Hong Kong berjudul The Owl Vs Bombo mula ditayangkan. Tetapi Michelle lebih dikenali di Malaysia apabila filem lakonannya bersama Jackie Chan berjudul Police Story 3 yang dibuat sebahagian penggambarannya di Kuala Lumpur mula ditayangkan pada 1992. Nama Michelle semakin popular apabila beliau muncul dalam filem James Bond, Tomorrow Never Dies pada 1997. Anehnya sehingga hari ini Michelle belum pernah muncul dalam sebuah filem buatan Malaysia, mungkinkah beliau tidak pernah ditawarkan berlakon oleh penerbit filem tempatan, atau mungkinkah beliau sendiri yang menolak semua tawaran berlakon yang pernah diberikan?

Nota tambahan:
Pada 2001, dalam usianya 39 tahun, Michelle Yeoh masih dianggap seksi apabila terpilih dalam senarai 100 Sexiest Women In The World hingga mengalahkan Tan Su Wei (Miss Malaysia-World 2000).

25 March 2011

Pesawat MAS dirampas dan terhempas di Johor (1977)

Pada 4 Disember 1977 lebih kurang jam 8.15 malam dilaporkan bahawa sebuah pesawat MAS (Malaysian Airlines) telah meletup dan terhempas semasa dalam penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan Singapura. Dua puluh minit sebelum kemalangan ngeri itu, juruterbang terbabit dikatakan telah memberi amaran kepada menara kawalan di lapangan terbang Subang (Kuala Lumpur) bahawa pesawat jenis Boeing 737 yang sedang dipandunya itu telah dirampas oleh kumpulan pengganas Japanese Red Army yang membawa bahan letupan. Pesawat yang membawa seramai 100 orang penumpang itu juga terpaksa membatalkan pendaratan di Subang dan meneruskan penerbangan ke Singapura. Bangkai pesawat yang terhempas itu dijumpai di Tanjung Kupang, Johor. Laporan akhbar 2 hari kemudian memberitahu bahawa perampas pesawat itu hanya terdiri daripada seorang sahaja, dan nama serta kewarganegaraannya tidak dapat dipastikan.

Dalam satu laporan lain diberitahu bahawa kesemua 93 penumpang dan 7 krew penerbangan telah terkorban dalam tragedi udara yang dikatakan terburuk di Malaysia itu. Salah seorang mangsa yang terkorban ialah Menteri Pertanian, Dato' Seri Ali Haji Ahmad. Oleh kerana tiada saksi yang terselamat, maka kaitan kejadian itu dengan kumpulan Japanese Red Army tidak dapat dipastikan, dan penyiasat hanya berharap kepada kotak hitam (perakam suara dan maklumat penerbangan) yang hanya dijumpai beberapa minggu kemudian. Selain itu timbul juga masalah untuk mengebumikan semua mangsa kerana identiti mereka yang sangat sukar untuk dikenal pasti akibat daripada kemalangan yang terlalu dahsyat di mana tiada satu pun mayat dalam keadaan sempurna. Beberapa orang ketua pelbagai agama telah berbincang dan mencapai kata sepakat bahawa kesemua 100 mangsa (yang terdiri daripada pelbagai agama) akan dikebumikan secara serentak di sebuah tapak perkuburan khas yang terletak di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru. Pengebumian besar-besaran itu dilakukan 5 hari selepas kejadian.

Hasil siasatan ke atas kotak hitam pesawat terbabit telah didedahkan dalam satu laporan rasmi 9 bulan selepas kejadian. Laporan itu menyatakan bahawa juruterbang dan seorang pegawai penerbangan telah ditembak oleh perampas (tidak diketahui berapa orang) beberapa minit sebelum pesawat itu menjunam jatuh ke negeri Johor. Rakaman suara itu memperdengarkan bunyi tembakan sebanyak 3 kali, dan juruterbang bernama G.K. Ganjoor sempat merayu "No, please, don't" sebelum dia ditembak. Data lain menunjukkan bahawa kejadian itu berlaku semasa pesawat berada pada ketinggian 4,000 kaki di mana pesawat itu sedang dalam keadaan menurun untuk mendarat di lapangan terbang Paya Lebar, Singapura. Sebelum bunyi tembakan itu, terdapat juga suara seseorang yang tidak dikenali berkata "You bluff us". Terdengar juga percakapan dalam bahasa asing dalam rakaman itu tetapi laporan rasmi menyatakan bahawa kewarganegaraan perampas itu tidak dapat dikenal pasti. Kotak hitam itu juga mendedahkan bahawa seseorang cuba memandu atau mengawal pesawat itu selepas juruterbang ditembak. Sebaik sahaja tembakan berlaku, pesawat itu mula menjunam dan terhempas ke bumi pada kelajuan 450 knots. Laporan rasmi itu juga menyatakan bahawa tiada kejadian letupan yang berlaku di atas pesawat terbabit.

24 March 2011

Minuman RAP 4U2C (1994)



Kumpulan 4U2C pernah memenangi anugerah Penyanyi Berkumpulan Popular (Anugerah Bintang Popular) pada 1993. Keputusan itu tidak mengejutkan kerana mereka sememangnya sangat popular ketika itu. Tahun itu menyaksikan berakhirnya penguasaan kumpulan rock dalam kategori tersebut sejak pertandingan itu dimulakan pada 1987 yang ketika itu dimenangi oleh kumpulan Search. Untuk pengetahuan, tahun 1988 dimenangi oleh Gersang, 1989 Search, 1990 & 1991 Iklim, 1992 Fotograf.

Pada 1994 4U2C telah mengeluarkan album ketiga mereka berjudul 2BD#1 (To Be The Number One) dan mereka bersaing hebat dengan kumpulan KRU yang mengeluarkan album mini Awas!. Sementara KRU disambar oleh syarikat filem untuk menjadi pelakon, 4U2C pula disambar oleh syarikat pengeluar minuman SBM Trading Sdn Bhd untuk mewakili jenama baru minuman dalam tin yang bernama RAP.

Generasi pertama 4U2C hanya sempat bertahan setahun saja lagi pada 1995 di mana tahun itu mereka dibayangi oleh populariti KRU yang hadir dengan filem dan album soundtrack Awas!. Empat anggota asal 4U2C telah menarik diri termasuk Joe yang kemudiannya berjaya mengeluarkan album solo berjudul Bang! pada 1996. Anggota yang tinggal termasuk AC terpaksa mencari barisan anggota yang baru dan membentuk 4U2C generasi kedua yang sempat mengeluarkan album terakhir berjudul Kembalilah Fiona pada 1996 sebelum arena muzik Malaysia mula dilanda demam muzik alternatif pula.

23 March 2011

Filem Melayu klasik diharamkan (2003)

Pada 12 April 2003, dilaporkan bahawa pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia telah mengharamkan 4 buah filem Melayu klasik iaitu filem Anak Buluh Betung (1966), Gergasi (1958), Sumpah Wanita (1960) dan Semusim Di Neraka (1971). Punca pengharaman itu dikatakan kerana kandungan filem-filem itu yang menyimpang daripada ajaran agama. Secara kebetulan keempat-empat filem itu melibatkan lakonan Aziz Jaafar (meninggal dunia pada 2005). Walau bagaimanapun kesemua filem itu sempat diedarkan dalam format VCD.



Trivia:
Ini ialah entri yang ke-100.

22 March 2011

Kumpulan Indigo (1997)

Indigo ialah sebuah kumpulan penyanyi yang dianggotai oleh 4 orang lelaki atau lebih ringkas dipanggil boyband. Indigo merupakan artis kedua (selepas kumpulan Elite pada 1996) di bawah naungan KRU Records dan telah mengeluarkan album pertama berjudul Intro pada 1997. Indigo agak kurang bernasib baik apabila terpaksa menumpang populariti lagu Suraya (rakaman asal oleh kumpulan Headwind) yang dirakamkan semula untuk album pertama mereka itu.

21 March 2011

Botak Chin dihukum gantung (1981)

Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin ialah seorang penjenayah yang paling terkenal di Malaysia pada 1970-an. Dia mula terjebak dalam kes rompakan pada 1969 di Jinjang, Selangor ketika berusia 18 tahun! Setelah melakukan rompakan demi rompakan selama lebih 30 kali dalam tempoh 7 tahun tanpa terkantoi sekalipun, akhirnya Botak Chin tewas juga apabila berjaya diperangkap hidup-hidup oleh pihak polis pada 1976.

Kes jenayah kumpulan Botak Chin yang berprofil tinggi ialah semasa rompakan di Overseas Union Bank (OUB) di Jalan Imbi, Kuala Lumpur dan satu lagi rompakan di Selangor Turf Club yang melibatkan kecurian wang sebanyak $218,000 (nilai yang besar ketika itu). Pada 1980, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman mati kepada Botak Chin.

Pada 2 Januari 1981, akibat terdesak untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, Botak Chin telah menikam 3 warden yang bertugas di Penjara Pudu, Kuala Lumpur tetapi situasi mencemaskan itu berjaya dikawal oleh pekerja penjara yang lain. Akhirnya pada 12 Jun 1981, Botak Chin telah digantung sampai mati di Penjara Pudu dalam usianya 30 tahun. Semasa pertemuan terakhirnya dengan ahli keluarga sebelum hukuman dijalankan, Botak Chin meminta supaya mayatnya dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai. Walaupun Botak Chin telah mati, tetapi dia tetap tidak berkubur.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...