27 February 2011

Perkahwinan Edrie Hashim & Patricia (2002)

Edrie Hashim mula dikenali sebagai pemain gitar kumpulan rock Chapters pada 1991. Edrie yang juga seorang pencipta lagu pernah menerbitkan album kumpulan rock Candy pada 1997.

Patricia Robert ialah penyanyi kumpulan Candy yang telah ditubuhkan di Sarawak sejak 1992. Pat mula terkenal apabila sering muncul pada setiap kali stesen TV RTM ingin menamatkan siarannya dengan nyanyian lagu Sejahtera Malaysia. Ketika itu Pat mewakili penyanyi dari Sarawak. Kumpulan Candy berjaya merakamkan album pada 1997 dan popular dengan lagu berjudul Akan Ku Tunggu ciptaan Edrie Hashim.

Pada 2002, Edrie telah melangsungkan perkahwinan dengan Pat yang menukar namanya kepada Nurul Nadhirah.

26 February 2011

Separuh akhir Piala Malaysia - Singapura vs. Selangor (1977)



Pertandingan bolasepak Piala Malaysia 1977 peringkat separuh akhir di antara pasukan Singapura dan Selangor telah berlangsung di Stadium Nasional, Singapura pada hari Jumaat 13 Mei (Friday the 13th!). Pasukan manakah yang menang dan layak ke pertandingan akhir adalah penting dalam sejarah bolasepak Malaysia, tetapi penting juga untuk peminat bolasepak sentiasa mengingati tragedi malang yang berlaku beberapa jam sebelum pertandingan tersebut bermula.

Sebanyak 33,147 keping tiket telah disediakan untuk para penonton, dan ia akan hanya mula dijual mulai jam 8 malam pada hari pertandingan! Terdapat juga sebilangan peminat bolasepak yang berbaris di hadapan kaunter tiket seawal jam 10 pagi lagi. Sebaik sahaja waktu bekerja bagi kebanyakan orang tamat pada jam 5 petang hari tersebut, jumlah orang ramai yang berbaris telah bertambah berkali-kali ganda ramainya. Keadaan orang ramai yang berbaris panjang sememangnya dalam suasana tenang dan sabar menunggu kaunter tiket dibuka seperti yang kelihatan dalam gambar di atas.

Sebaik sahaja kaunter tiket dibuka, kekecohan pun mula terjadi di mana orang ramai di bahagian belakang yang sudah hilang sabar telah menyerbu ke hadapan hingga berlaku kejadian tolak menolak. Orang ramai yang berbaris di hadapan termasuk wanita dan kanak-kanak telah menjadi mangsa rempuhan tersebut hingga ada yang terjatuh malah dipijak. 44 orang cedera dalam kejadian tersebut manakala seorang lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung.

Nota tambahan:
Pasukan Selangor tewas kepada Singapura pada peringkat separuh akhir itu. Singapura kemudiannya menewaskan Pulau Pinang dalam pertandingan akhir Piala Malaysia 1977 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 28 Mei. Selepas 12 tahun tidak memenangi Piala Malaysia, akhirnya Singapura berjaya membawa pulang piala kebanggaan bolasepak tempatan itu menyeberangi Tambak Johor.

25 February 2011

Nike Ardilla mati kemalangan (1995)

Pada 19 Mac 1995, penyanyi terkenal Indonesia, Nike Ardilla telah dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Tragedi itu berlaku di Bandung, Indonesia pada sekitar jam 6.00 pagi apabila kereta Honda Geneo yang dipandu oleh Nike telah terbabas dan melanggar sebuah rumah di tepi jalan. Nike pernah popular di Malaysia pada awal 1990-an dan beliau telah terpilih untuk menyanyikan sebuah lagu bersama kumpulan Wings pada 1994. Lagu tersebut berjudul Pengembara Terasing dan merupakan antara rakaman terakhir beliau tetapi tidak sempat untuk dipromosikan akibat pemergian beliau pada usia 19 tahun.

24 February 2011

Koleksi Blues Untuk Aku (1999 & 2001)

Kartun bersiri Blues Untuk Aku adalah sebuah karya kartunis Aie yang sebelum itu popular dengan siri kartun Abe (1994-1995). Siri Blues Untuk Aku mula disiarkan dalam Majalah Ujang (generasi baru) keluaran ke-75 pada 1 Ogos 1997. Penggunaan perkataan Blues pada tajuk siri kartun itu mengingatkan pembaca kepada novel bersiri Aku Hidup Dalam Blues yang ditulis oleh Toyon dan dilukis oleh Aie dalam keluaran awal Majalah Ujang pada 1994.

Siri Blues Untuk Aku merupakan satu percubaan berani Aie untuk lari daripada gaya persembahan kartun bersiri yang telah biasa dilihat sebelum itu. Siri Blues Untuk Aku menggabungkan karya penulisan dan lukisan yang dipersembahkan secara tidak konvensional. Contohnya ada bahagian tertentu yang mempunyai banyak tulisan dengan hanya berlatarkan sebuah lukisan yang tidak berdialog. Pada bahagian lain pula misalnya, tersusun beberapa panel (bingkai atau kotak) lukisan yang menggambarkan kronologi pergerakan sesuatu watak atau objek. Kadang-kadang pula lukisannya tidak berdialog langsung, hanya bercerita melalui imej. Begitu juga dengan kedudukan dan saiz panel lukisan yang dibuat secara tidak tetap dan akan berubah-ubah pada setiap muka surat, tetapi ia masih lagi kelihatan tersusun dan kemas. Teknik lukisan Aie dan variasi persembahan sebegitu di sepanjang siri Blues Untuk Aku menjadikannya begitu menarik dan tidak jemu untuk diikuti.

Buku Koleksi Blues Untuk Aku Jilid 1 telah diterbitkan oleh MOY Publications Sdn Bhd pada penghujung 1999. Buku Jilid 1 itu hanya mengandungi siri pertama hingga siri ke-12, dan ia dimulakan dengan tulisan prolog atau mukadimah (yang tiada dalam versi Majalah Ujang) yang menjelaskan lagi mengenai asas cerita itu serta memperkenalkan pembaca kepada watak utamanya iaitu Ishak (Sahak). Dalam ruangan prakata, kartunis Aie menceritakan mengenai kesukarannya untuk meyakinkan pihak penerbit supaya menerima karya Blues Untuk Aku yang bukan hanya tidak bergenre komedi, tetapi gaya persembahannya juga mungkin tidak digemari oleh pembaca yang telah biasa dengan gaya lama. Aie juga menyatakan bahawa beliau telah mengilhamkan karya itu sejak 1991 lagi. Dari segi pemasaran, buku Jilid 1 itu dipakejkan sekali dengan sebuah album (kaset) yang juga berjudul Blues Untuk Aku, dan ia dijual dengan harga RM13.90. Lagu tema berjudul Blues Untuk Aku merupakan ciptaan MOY dan liriknya ditulis oleh Aie sendiri. Dalam tahun 2000, Majalah Ujang melaporkan bahawa pakej buku Jilid 1 berserta kaset itu berjaya terjual sebanyak 60,000 unit.

Di sebalik kerancakan jualan buku Koleksi Blues Untuk Aku Jilid 1 pada awal 2000, kebanyakan peminat siri Blues Untuk Aku merasa begitu kecewa apabila kartun itu dihentikan siarannya dalam Majalah Ujang selama 4 bulan berturut-turut! Majalah Ujang hanya kembali menyiarkan siri Blues Untuk Aku pada bulan Mei 2000, itu pun dengan mengurangkan jumlah muka suratnya, seolah-olah memberi bayangan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Pada 1 Ogos 2000, Blues Untuk Aku siri ke-52 telah disiarkan. Manakala mulai 15 Ogos 2000 nama kartunis Aie secara tiba-tiba telah tiada dalam senarai nama kartunis Majalah Ujang! Apa yang sebenarnya telah terjadi kepada Aie tidak diberitahu dalam Majalah Ujang, malah sambungan siri Blues Untuk Aku yang seterusnya juga tidak lagi disiarkan selepas itu. Begitulah berakhirnya sebuah lagi cerita 'blues' yang tidak sempat ditamatkan, sama seperti nasib novel bersiri Aku Hidup Dalam Blues sebelum itu.

Dalam tahun 2001, MOY Publications Sdn Bhd mengambil kesempatan untuk menerbitkan buku Koleksi Blues Untuk Aku Jilid 2 yang berharga RM3.50. Buku Jilid 2 itu hanya mengandungi siri ke-13 hingga siri ke-31. Pada ketika itu gaya persembahan unik Blues Untuk Aku telah pun menjadi kegemaran ramai dan ia juga mula menjadi ikutan oleh siri-siri kartun lain. Pada kulit belakang buku Jilid 2 itu terdapat iklan mengenai sebuah siri kartun terbaru yang akan muncul yang diberi judul Aku Tetap Blues oleh kartunis Bacang. Terdahulu daripada itu, Majalah Ujang juga pernah menyiarkan beberapa kartun parodi seperti Blues Untuk Kambing oleh kartunis Manggis, Aku Untuk Blues oleh kartunis Bawang, dan lain-lain lagi.

"Masa create watak Sahak ni, grunge tengah hot. Tu yang timbulnya janggut sebaris tu!" - Aie

Nota tambahan:
  1. Terdapat satu muka surat berwarna dalam siri Blues Untuk Aku versi Majalah Ujang, tetapi dalam buku koleksi ini ia telah dihitam putihkan.
  2. Watak Yon, teman serumah Sahak, adalah watak yang sama dalam cerita Kartini (mula disiarkan dalam majalah Varia Lawak sebulan sebelum siri Blues Untuk Aku bermula). Malah terdapat satu babak Yon dalam Blues Untuk Aku yang mempunyai perkaitan jalan cerita dengan Yon dalam Kartini, iaitu tentang pertemuannya dengan bekas teman sekolah yang telah lama terpisah, cuma dalam siri Blues Untuk Aku nama Kartini tidak disebut.

23 February 2011

Bintang Baru - Wardina (1998)

Wardina memulakan kerjayanya dalam bidang hiburan dan lakonan pada sekitar hujung 1990-an melalui beberapa buah iklan televisyen seperti Oil Of Ulan, Sprite, Telekom Malaysia dan banyak lagi. Ketika itu Wardina baru berusia belasan tahun. Seperti mana gadis remaja seusianya ketika itu (dan juga kini), mendapat peluang untuk sesi fotografi dalam majalah hiburan yang terkenal seperti Mangga, URTV dan Media Hiburan adalah sesuatu yang memang ditunggu-tunggu bagi memberitahu orang ramai akan kehadiran mereka dalam bidang hiburan, dan seterusnya mungkin membuka peluang bagi mendapatkan lebih banyak tawaran kerja.

Pada 1998 Wardina yang berusia 19 tahun telah ditampilkan dalam ruangan Bintang Baru dalam majalah Mangga di mana wartawan majalah itu menggelarkan Wardina sebagai seorang yang mempunyai senyuman yang manis, ramah, pandai bergaya dan "bukan main berani lagi". Wartawan tersebut secara tiba-tiba menjadi keliru dengan pandangan matanya apabila menyatakan bahawa wajah Wardina "bertambah cantik dengan sentuhan mekap Zulfadzli dan pakaian tajaan Man's Collection"

22 February 2011

Pembinaan Mimaland (1971)

Taman rekreasi yang terkenal pada era 1980-an iaitu Mimaland mula dibina dalam tahun 1971. Nama Mimaland yang agak unik itu sebenarnya adalah singkatan daripada gabungan perkataan Malaysia In Miniature Land. Ia dibina di sebuah kawasan berbukit seluas 300 ekar di Ulu Gombak tidak jauh dari Kuala Lumpur. Pembinaan Mimaland dibuat dalam beberapa fasa dan dibuka secara berperingkat.

Fasa pertama Mimaland yang siap dalam tahun 1970-an mengandungi 24 buah motel dan 5 buah chalet serta sebuah kolam renang. Antara tarikan utama Mimaland pada peringkat awalnya ialah 'taman haiwan prasejarah' yang mengandungi binaan model-model dinosaur bersaiz besar yang begitu mengagumkan para pengunjung ketika itu. Beberapa buah filem tempatan pernah membuat penggambaran di situ.

Pada 1984 Mimaland memperkenalkan pula satu lagi tarikan terbarunya iaitu kolam renang yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara, dan semestinya papan luncur air gergasi yang sangat tinggi yang begitu digemari oleh ramai pengunjung. Selain itu Mimaland juga mempunyai beberapa lagi bahagian lain, antaranya ialah sebuah tasik untuk aktiviti bersampan dan memancing, kawasan 'giant maze', serta kawasan untuk merentas rimba.

Setelah bertahun-tahun Mimaland menceriakan hidup ramai orang, sesuatu yang tidak diingini berlaku juga. Satu kemalangan telah terjadi di kawasan papan luncur air gergasi Mimaland pada Januari 1993 yang menyebabkan kematian seorang warganegara Singapura berusia 27 tahun. Kejadian malang itu mengejutkan orang ramai hingga memaksa pihak Mimaland menutup sementara kawasan yang terlibat iaitu kolam renang dan papan luncurnya bagi dilakukan kerja-kerja penambahbaikan. Pada Mei 1994 pula, berlaku kerosakan pada dinding kolam renang yang sama yang berpunca daripada kejadian kecil tanah runtuh hingga menyebabkan air lumpur memasuki kolam renang tersebut. Sekali lagi, kawasan tersebut ditutup kepada orang ramai.

Pihak pengurusan Mimaland kemudiannya telah diseret ke mahkamah oleh beberapa pihak termasuk agensi kerajaan di atas beberapa dakwaan kesalahan, antaranya ialah kelemahan dalam kawalan keselamatan, serta menjadi punca kepada beberapa masalah alam sekitar. Sepanjang pendakwaan kes tersebut pihak mahkamah telah menghalang Mimaland daripada meneruskan operasinya. Akibat tidak dapat lagi bertahan tanpa beroperasi, Mimaland akhirnya terpaksa menutup terus pintunya buat selama-lamanya pada 1994. Kesan peninggalan Mimaland masih wujud hingga kini.


Kiri: Papan luncur air gergasi pada 1984
Kanan: Pintu gerbang Mimaland pada 2008

Nota tambahan:


1980 - Filem Tuan Besar, antara filem tempatan terawal yang membuat penggambaran di Mimaland. Kelihatan pintu gerbang Mimaland dengan logo Bunga Raya, dan adegan pelakon Rahim Jailani dan Fauziah Ahmad Daud sedang melawat taman haiwan prasejarah. Juga kelihatan tasik tempat Azroy dan Suzana bersampan dalam filem Gila-Gila Remaja lima tahun kemudian.


1983 - Filem Mekanik, dimulakan dengan ucapan terima kasih kepada Mimaland. Taman haiwan prasejarah sekali lagi menjadi lokasi pilihan, kali ini untuk menggambarkan babak fantasi zaman batu lakonan Azmil Mustapha dan Julie Faridah (yang kelihatan di situ sedang membasuh buah betiknya sambil ditemani oleh dinosaur yang jinak)


1985 - Filem Gila-Gila Remaja mempunyai banyak dialog kegemaran ramai, antaranya ialah: "Esok jangan lupa, Mimaland!" yang diucapkan oleh pelakon Faizal Hussein. Lokasi tasik menjadi pilihan untuk babak lagu selingan, dan selepas itu Azroy dan Suzana singgah minum di restoran tepi tasik. Kelihatan pekerja di tempat sewa sampan itu memakai t-shirt seragam yang bertulis Mimaland.


1987 - Filem Tempo '88 memilih lokasi penting di Mimaland iaitu kawasan kolam renang terbesar di Asia Tenggara dan papan luncur air gergasi yang menjadi punca berakhirnya era Mimaland enam tahun kemudian. Dua orang pelakon tidak terkenal berlegar-legar di situ dalam sebuah babak mengarut yang diakhiri dengan aksi tipikal, iaitu seseorang perlu jatuh ke dalam kolam renang, dan semestinya orang yang ingin menolongnya juga akan terjatuh sama. Sangat filem Melayu 80-an.

21 February 2011

VCD Wanita Melayu Tercantik (1999)

VCD berjudul Wanita Melayu Tercantik ini diterbitkan oleh syarikat Ambang Klasik pada 1999. Isi kandungan VCD ini adalah seperti mana tajuk sampingannya iaitu 'Rahsia Kejelitaan Normala Samsudin'. Tajuk VCD ini sememangnya begitu menarik perhatian umum ketika itu di mana penyertaan wanita Melayu dalam mana-mana pertandingan ratu cantik telah diharamkan sejak pertengahan 1990-an. Tanpa penyertaan wanita Melayu dalam pertandingan sebegitu, masyarakat umum hanya mampu tertanya-tanya dan meneka sesama sendiri tentang siapakah wanita Melayu tercantik pada pandangan masing-masing. VCD ini tanpa ragu-ragu memberikan jawapannya kepada persoalan tersebut apabila dengan jelasnya menggelarkan Normala Samsudin yang ketika itu berusia 35 tahun sebagai Wanita Melayu Tercantik.

Nota tambahan 1:
Pemilihan tajuk VCD ini mungkin merujuk kepada tajuk filem Perempuan Melayu Terakhir yang mula ditayangkan pada Januari 1999. Dalam filem itu Vanida Imran digambarkan sebagai 'perempuan melayu terakhir'. Apa yang menariknya ialah apabila filem itu turut memasukkan sedikit petikan siaran berita di televisyen yang memaparkan Normala Samsudin yang ketika itu bertugas sebagai pembaca berita di TV3.

Nota tambahan 2:
Filem pertama lakonan Normala Samsudin ialah Gerak Khas The Movie pada 2001. Normala turut merakamkan sebuah lagu berjudul Sambaria untuk album soundtrack filem itu.

Nota tambahan 3:
Normala Samsudin mendapat tempat ke-97 dalam senarai 100 Sexiest Women In The World yang dipilih oleh pembaca majalah FHM pada 2002.

20 February 2011

Miss Malaysia-World (1980)

Pertandingan Miss Malaysia-World 1980 telah dimenangi oleh Callie Liew Tan Chee yang berusia 22 tahun ketika itu. Callie memasuki pertandingan itu setelah menamatkan pengajiannya selama 4 tahun di England dalam kursus kecantikan dan mendandan rambut. Callie yang dilaporkan mempunyai ketinggian 5 kaki 7 inci dan berukuran badan 33" 24" 35" telah berjaya menewaskan saingan terdekatnya iaitu Christina Leong (pemenang tempat kedua) dan Za Merican (tempat ketiga). Rancangan Callie untuk membuka sebuah kedai mendandan rambut terpaksa ditangguhkan apabila beliau terpilih untuk menyertai pertandingan Miss World 1980 di Royal Albert Hall, London pada bulan November tahun yang sama.

10 February 2011

Azmi Mahmud (1991)

Azmi Mahmud ialah penjaga gol pasukan bolasepak negeri Kedah yang terkenal pada awal 1990-an. Beliau menjadi tumpuan peminat sukan tanahair setelah pasukan Kedah berjaya menumpaskan pasukan Singapura dalam pertandingan akhir Piala Malaysia pada 15 Disember 1990. Selepas Radhi Mat Din ditemubual oleh Juwie untuk ruangan Sehari Dalam Hidup, kini giliran Azmi pula.

Mohd Azmi Mahmud lahir pada 6 Mei 1967 di Parit Buntar, Perak. Ya, beliau bukan anak jati Kedah, tetapi ketika di tingkatan empat beliau telah melanjutkan pelajaran ke Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) di Alor Setar, Kedah. Semasa di KSAH, Azmi terpilih untuk mewakili pasukan Sekolah-Sekolah Kedah dalam pertandingan Piala Rahman semasa acara Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Ketika di tingkatan lima pula, Azmi yang sememangnya dari awal telah bermain dalam posisi penjaga gol, telah terpilih untuk mewakili pasukan Pelajar Malaysia dalam Pertandingan Bolasepak Sekolah-Sekolah Asia yang diadakan di Jakarta, Indonesia. Pasukan Pelajar Malaysia mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.

Sebaik sahaja tamat persekolahan, Azmi mula bermain untuk pasukan Kedah dalam pertandingan Piala Presiden pada 1986 hingga 1988. Dalam usia 20 tahun, Azmi Mahmud akhirnya terpilih untuk menyertai Pasukan Malaysia di samping khidmat tetap beliau dalam pasukan Kedah. Pada 1990 Azmi menerima Pingat Jaksa Kebaktian yang dikurniakan oleh Sultan Kedah. Hobi Azmi ialah bermain video game di kompleks City Point dan menonton filem Hindustan di TV2. Azmi Mahmud memandu kereta Proton Knight!

09 February 2011

Miss Malaysia - Yasmin Yusuf (1979)

Di sebelah ialah gambar Yasmin Yusuf dalam tahun 1979. Beliau pernah memenangi pertandingan Miss Malaysia-Universe pada 1978 ketika berusia 22 tahun. Yasmin yang merupakan seorang mahasiswa di sebuah universiti di England dalam jurusan kemanusiaan telah menyertai pertandingan tersebut "hanya untuk suka-suka" semasa pulang bercuti di Malaysia. Mungkin kerana kecantikan Yasmin, seorang anak kacukan Malaysia-Jerman (ibunya bernama Brigitte @ Zaleha), serta kepintarannya dalam pelajaran telah melayakkannya memenangi pertandingan tersebut walaupun ada pihak tertentu ketika itu yang merasakan bahawa Yasmin tidak layak menjadi Ratu Malaysia kerana beliau berdarah kacukan.

Selepas itu Yasmin telah berpeluang mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Universe yang diadakan di Acapulco, Mexico pada 24 Julai 1978. Malaysia akhirnya memenangi tempat ketiga kategori Pakaian Kebangsaan Terbaik, tewas kepada India dan Korea yang masing-masing memenangi tempat pertama dan kedua. Di samping meneruskan pengajiannya di universiti, gelaran ratu cantik yang diterima Yasmin juga telah membuka peluang kepadanya untuk menjadi penyanyi rakaman. Syarikat WEA Records telah menerbitkan album (piring hitam) pertama berjudul Yasmin pada 1979 manakala album keduanya berjudul Harapan telah diterbitkan pada 1981. Pada 1983 Yasmin muncul dengan filem pertama lakonannya berjudul Mekanik di mana beliau melakonkan watak tambahan sebagai setiausaha yang seksi. Selain dikenali melalui lakonan dalam drama bersiri Opah pada 1980-an, Yasmin juga terkenal sebagai penyampai radio berbahasa Inggeris.


Adegan filem Mekanik

07 February 2011

Pakaian seksi Wann yang menggemparkan (1991)

Wann muncul dengan album pertamanya pada 1988 ketika dia berusia 18 tahun. Kebanyakan penyanyi wanita ketika itu boleh dikatakan mempunyai identiti suara yang tersendiri, begitu juga dengan Wann. Dalam tahun 1990, Wann sudah pun mempunyai 4 buah album dengan banyak lagu popular. Dia juga semakin dikenali ramai dengan imej seksi atau lebih tepat lagi suka berpakaian yang mendedahkan bentuk tubuh badan.

Pada 3 Ogos 1991, Wann yang hampir berusia 21 tahun ketika itu dengan beraninya telah berpakaian mendedahkan dada dalam satu persembahan makan malam yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Dan Wanita UMNO cawangan Pasir Salak, Perak. Wartawan hiburan telah memberi publisiti yang hebat dengan menulis, "Orang Perak gempar pasal cerita Wann pakai baju maxi hijau yang seksi hingga terjojol paras dadanya yang mengghairahkan sewaktu menyanyi di majlis makan malam Semalam Di Pasir Salak di Majlis Bandaran Teluk Intan".

Antara penonton yang "terperanjat dan kesal" dengan penampilan Wann malam itu ialah "kira-kira seribu pemimpin UMNO termasuk tokoh wanita dari 104 cawangan UMNO bahagian Pasir Salak", tetapi mungkin juga ramai di antara penonton tersebut terutamanya lelaki yang hanya terperanjat tetapi tidak kesal, malah mungkin juga merasa bertuah seperti pengirim gambar ini iaitu saudara Abu Bakar Al-Sidek yang sempat mengambil gambar Wann di majlis tersebut yang tentunya tidak dihadiri oleh jurugambar hiburan.

Wann sempat menyanyikan 3 lagu (daripada 8 lagu yang dijanjikan) sebelum diarahkan turun daripada pentas akibat bantahan daripada segolongan penonton yang "terperanjat dan kesal". Majlis seterusnya berlangsung dengan aman apabila Dato' M. Daud Kilau mengambil alih pentas persembahan, malah tiada sesiapa pun yang terperanjat dengan penampilan beliau.

04 February 2011

Lukisan dicuri dari National Art Gallery, Kuala Lumpur (1994)

Jika ada sebuah lukisan yang sepatutnya paling dikenali di Malaysia, inilah salah satu daripada calonnya. Lukisan ini berjudul Gadis Melayu, yang secara jelasnya menggambarkan wajah seorang gadis berbangsa Melayu yang mungkin benar-benar wujud atau mungkin juga khayalan. Lukisan ini menjadi semakin terkenal bukan kerana hasil seninya sahaja, tetapi kerana ia telah dicuri pada 15 September 1994 daripada tempat pamerannya di National Art Gallery, Kuala Lumpur. Pastinya ada sesuatu yang begitu istimewa mengenai lukisan Gadis Melayu ini sehingga ia menjadi mangsa jenayah. Apakah nasib lukisan ini sekarang? Mungkinkah ia sedang tergantung dengan megahnya di tempat pemiliknya yang baru?

03 February 2011

Radhi Mat Din (1989)

Radhi Mat Din adalah salah seorang daripada pemain bolasepak pasukan negeri Kedah yang popular pada hujung 1980-an. Sesiapa sahaja yang terpilih untuk ditemubual oleh wartawan hiburan Juwie dalam ruangan Sehari Dalam Hidup ini boleh dikatakan seorang yang popular. Tambahan pula tidak ramai ahli sukan yang mendapat perhatian dalam ruangan hiburan.

Radhi Mat Din atau Di lahir pada 17 Julai 1965 di Pokok Sena, Alor Setar, Kedah. Ketika itu beliau bermain bolasepak untuk pasukan Kedah di bahagian midfield, di samping kerja tetap beliau sebagai kerani di pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah.

Tidak lengkap sebuah temubual dengan wartawan hiburan tempatan sekiranya tidak menyentuh soal makan dan minum. Peminat hiburan terutamanya di Malaysia berasa amat bertuah apabila mengetahui seorang selebriti sukan seperti Radhi bersarapan cucur kodok pisang dengan air kopi, tidak jauh bezanya daripada mereka semua. Apalah gunanya bercerita mengenai sarapan sekiranya tidak bercerita mengenai makan tengahari. "Wow! Best tau!" komen Juwie apabila Radhi memberitahu bahawa dia "suka makan nasi lauk sambal tumis ikan bilis campur petai". Makan malam? "Sekarang ni tengah musim durian, jadi Di suka makan pulut sama durian", "Sambil tu kami makan garam-belacan dengan nenas atau mangga". Maka begitulah temubual ini mendapat tajuknya: "Suka makan garam-belacan"!

02 February 2011

Miss Malaysia - Christina Lim (1980)

Di sebelah ialah gambar Christina Lim pada 1980. Beliau pernah memenangi pertandingan Miss Malaysia-World pada 1977, iaitu selepas Cik Putih Naziauddin. Kemenangan tersebut melayakkan Christina menerima hadiah berupa sebuah kereta berjenama Datsun yang ditaja oleh syarikat Tan Chong & Sons. Hadiah lain yang diterimanya ialah wang tunai sebanyak $1000, barangan elektrik, barangan mekap dan beberapa helai pakaian. Selepas itu Christina telah menyertai pertandingan Miss World 1977 di Royal Albert Hall, London, tetapi nasibnya sama seperti Cik Putih yang diarahkan menarik diri daripada pertandingan itu sebagai tanda protes terhadap dasar aparteid (diskriminasi bangsa) oleh negara Afrika Selatan yang menghantar peserta berkulit putih. Hasil boikot banyak negara termasuk Malaysia pada 1976 & 1977 telah menyebabkan penganjur Miss World tahun seterusnya tidak lagi menerima peserta Afrika Selatan sehinggalah tamatnya era aparteid pada 1991.

Christina telah menjual kereta Datsun yang diterimanya tidak lama kemudian kerana sudah mempunyai kereta lain milik keluarganya. Beliau kemudiannya terus menjadi peragawati sambilan, dan pada 1979 telah menyertai kursus bermain organ di England selama 6 bulan atas cadangan keluarganya yang melihat kerjaya peragawati tidak menjanjikan pendapatan tetap. Dengan kelulusan yang diperolehinya, Christina meninggalkan bidang peragawati dan mula bekerja secara tetap sebagai guru organ dengan syarikat Yamaha.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...