08 April 2014

Biodata Sofia Jane (1994)

Pelakon terkenal Sofia Jane menggunakan nama sebenarnya sebagai nama pentas. Sofia dilahirkan pada 14 Februari 1972. Gambar di bawah ketika dia berusia 22 tahun. Filem-filem popular lakonannya ialah Harry Boy (1991); Kekasih Awal & Akhir (1993); Perempuan, Isteri & ...? (1993); Cinta Kita (1995).


Petikan biodata Sofia Jane pada 1994:

Warna kegemaran: Biru & hitam
Makanan kegemaran: Makanan India
Filem kegemaran: Much Ado About Nothing & The Piano
Pelakon pujaan:
Meryl Streep
Penyanyi pujaan: Barbra Streisand
Tokoh negara yang diminati: Dato' Sri Dr. Mahathir Mohamad & Dato' Sri Anwar Ibrahim

Untuk biodata penuh, rujuk gambar di atas.

06 April 2014

Perkahwinan Amy Search (1990, 1995 & 2003)

Penyanyi kumpulan rock Search, Amy (Suhaimi Abdul Rahman), berkahwin kali pertama pada 1983. Ketika itu Search telah pun wujud tetapi belum merakamkan sebarang album. Jadi, perkahwinan Amy yang tidak dikenali ramai ketika itu tidaklah mendapat sebarang publisiti. Amy (25 tahun) berkahwin dengan Faridah Fadzil (18 tahun) pada 1983. Mereka dikurniakan cahaya mata, Nabila Huda (lahir pada 1984). Perkahwinan Amy & Faridah tidak bertahan lama. Mereka bercerai pada 1985, tahun yang sama Search mengeluarkan album pertama, Cinta Buatan Malaysia, yang popular dengan lagu Kejora.

Tercatat dalam sejarah industri muzik bahawa tempoh Amy bergelar duda buat kali pertama (1985-1990) ialah zaman gemilangnya bersama Search. Lagu-lagu Search paling popular seperti Rozana, Fantasia Bulan Madu, Gadisku & Isabella dikeluarkan dalam tempoh tersebut. Terlalu banyak kejayaan Search yang dicapai dalam tempoh tersebut kalau ingin diceritakan kesemuanya. Nama Amy menjadi sebutan ramai peminat muzik di Malaysia, Indonesia, Singapura & Brunei. Secara peribadi, Amy menambah satu lagi kejayaan buat dirinya apabila dia akhirnya menamatkan zaman duda dengan berkahwin buat kali kedua.

1990

Amy (32 tahun) berkahwin dengan pramugari MAS, Noorliza Abdul Latiff (22 tahun), pada September 1990. Perkahwinan mereka bertahan sehingga Oktober 1994 tanpa mendapat sebarang cahaya mata. Selepas bercerai, Noorliza mendapat tawaran berlakon dan pernah muncul sebagai watak tambahan dalam filem Litar Kasih (1996).

Tempoh duda Amy buat kali kedua tidak lama. Hanya lebih kurang 8 bulan selepas bercerai, Amy (36 tahun) berkahwin pula dengan Roslisa Ahmad (24 tahun) pada Jun 1995. Roslisa dilaporkan pernah bergelar Miss Singapore 1990. Amy & Roslisa dikurniakan cahaya mata, Irisha Myra (lahir pada 1997), dan mereka bercerai pada 2000.

1995


Setelah beberapa tahun bergelar duda buat kali ketiga, Amy (45 tahun) akhirnya bertemu jodoh dengan Norish (Norhasniza Hassan, 22 tahun), dan mereka berkahwin pada Oktober 2003. Perkahwinan kali keempat Amy terbukti utuh dan bertahan sehingga kini. Amy & Norish telah dikurniakan 3 orang cahaya mata: Alexander Zulkarnain (lahir pada 2004), Sania Samara (2005) dan Qaqa At-Tameemi (2009).

2003

Rujukan tambahan:
Gambar Nabila Huda & ibunya, Faridah Fadzil (28 Mac 2006)

04 April 2014

Miss Malaysia - Puspa Mohd Salleh (1987)

Puspa Mohd Salleh ialah pemenang pertandingan ratu cantik Miss Malaysia-Universe pada 1983. Di bawah ini ialah gambarnya pada 1987. Ketika itu Puspa bekerja di sebuah firma guaman (jawatannya tidak dinyatakan), dan sebelum itu dia pernah muncul seketika dalam arena hiburan tempatan dengan berlakon dalam siri televisyen popular, Opah.


Puspa mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Universe yang diadakan di Amerika Syarikat pada 11 Julai 1983. Namun, dia tidak berjaya memenangi sebarang kategori.

02 April 2014

Kontroversi lagu Dendam Ku Kerana Maria (1972)

Lagu Dendam Ku Kerana Maria nyanyian penyanyi Singapura, Ismail Haron, dikeluarkan pada 1972. Lagu itu ialah saduran daripada lagu I Did What I Did For Maria (1971) nyanyian penyanyi Tony Christie dari England. Senikata lagu Dendam Ku Kerana Maria ditulis sendiri oleh Ismail Haron berdasarkan senikata lagu asalnya.

Radio Singapura ketika itu meluluskan penyiaran lagu Dendam Ku Kerana Maria yang menceritakan tentang pembunuhan dan balas dendam. Namun, kontroversi tercetus apabila seorang pendengar radio menulis kepada akhbar dan mempersoalkan senikata lagu itu yang sememangnya sangat luar biasa untuk sebuah lagu berbahasa Melayu.

Petikan akhbar Singapura (Jun 1972)

Lagu Dendam Ku Kerana Maria kemudian mendapat perhatian banyak pihak dan tidak mengejutkan apabila ada pihak yang mencadangkan supaya lagu itu diharamkan penyiarannya. Namun, ada juga pihak yang mampu menerima lagu itu sebagai sekadar fiksyen & hiburan, sama seperti pelbagai filem atau bahan bacaan yang mengisahkan perbuatan jenayah.

DENDAM KU KERANA MARIA
(pencipta lagu: Copyright Control / penulis senikata: Ismail Haron / penerbit: Kassim Masdor)

Dunia, selamat tinggal aku ucapkan
Hari ini ku terima hukuman
Hukuman yang berat 'kan ku terima
Ku membalas dendam kerna (untuk) Maria

Ke rumah musuh ku, ku pergi seorang
Pembunuh isteri ku, akan ku habiskan
Keris di tangan ku, akan ku darahkan
Untuk kau Maria, ku berkorban
Biar nyawa segan, ku gadaikan

Dengan hati geram, terus aku menerkam
Pembunuh isteri ku, tak dapat melawan
Nyawanya ku ambil, kerna Maria
Puas rasa hati, kerna Maria

Kini, sungguh pun aku akan dihukum
Tiada ku takut dan tiada gerun
Fikiran ku tenang, tiada apa
Menjadi pembunuh, kerna Maria

Tiada ku sangka, pembunuh isteri ku
Kawan ku yang lama, yang ku sangka jujur
Setelah kau noda, kau membunuh Maria
Mempersyaitan diri pada Maria
Ku membalas dendam kerna Maria

27 January 2014

ANX 5 tahun

Arkib Negara X (ANX) berusia 5 tahun pada 24 Januari 2014, dan seperti biasa, ini ialah entri tahunan untuk melihat kembali apa yang telah lepas dan apa-apa yang berkaitan.

Tentang 2013:
  • Twitter ANX dilancarkan pada 20 Januari 2013 tapi kurang aktif, sekadar berkongsi pautan entri-entri terbaru.
  • ANX mendapat ulasan pendek dan dipaparkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 17 Ogos 2013.

Tentang entri 2013:
  • Jumlah entri tahunan meningkat kembali iaitu sebanyak 66 entri pada 2013 berbanding cuma 22 entri pada 2012.
  • Sasaran untuk siarkan 10 entri bulanan gagal dan menyebabkan rekod 88 entri pada 2011 masih belum dapat diatasi.
  • Entri-entri 2013 disiarkan hampir pada setiap bulan, cuma bulan Mei tiada sebarang entri.
  • Penyiaran entri selama 11 bulan pada 2013 mengatasi rekod 2011 yang menyiarkan entri selama 9 bulan.
  • ANX berjaya menyiarkan entri yang ke-200 pada Mac 2013.

Tentang capaian 2013:
  • Pageviews bulanan tertinggi 2013 ialah pada Julai dengan lebih 60,000 capaian.
  • Pageviews bulanan terendah 2013 ialah pada Februari dengan lebih 30,000 capaian.
  • Pageviews harian tertinggi 2013 ialah pada hari kematian Noreen Noor (22 Oktober), melebihi 5,000 capaian.
  • Pageviews keseluruhan berjaya mencecah 1 juta capaian pada Mei 2013, iaitu selepas lebih 4 tahun ANX beroperasi.

Pageviews ANX menjadi tidak normal pada hari kematian Noreen Noor

Jumlah keseluruhan pageviews ANX pada 18 Mei 2013

Tentang kategori entri:
  • 1990-an kekal sebagai kategori Dekad yang paling banyak bahan (melebihi 100 entri), diikuti oleh 1980-an (melebihi 50 entri).
  • Kategori Tahun yang paling banyak entri ialah 1992 (melebihi 20 entri), manakala 1978 dan 2014 masing-masing belum ada entri.
  • Entri pertama 2010 akhirnya telah disiarkan pada Januari 2014.

Tentang beberapa entri:

Tentang carian yang membawa pengunjung ke ANX:
  • Kata carian nombor 1 paling popular sepanjang masa ialah "gambar bogel zarina zainuddin", iaitu sesuatu yang tiada dalam ANX.
  • Kata carian nombor 2 dan 3 paling popular sepanjang masa masing-masing ialah "zaiton sameon" dan "rozita che wan".
  • Kata carian "arkib negara x" berjaya menjadi antara yang paling popular sepanjang masa dengan menduduki tempat ke-7.
  • ANX akhirnya melonjak ke muka surat pertama Google untuk kata carian "arkib negara", hampir mengatasi laman web Arkib Negara Malaysia.

Carian "arkib negara" dalam Google pada 1 Oktober 2013

Tentang 2014:
  • Foto header terbaru telah ditukar pada 1 Januari 2014.
  • Sasaran 2014 ialah untuk mengatasi rekod 88 entri pada 2011. Perlukan sekurang-kurangnya di antara 7 hingga 8 entri sebulan.
  • Entri yang ke-300 dijangka dapat disiarkan dalam 2014. Entri hari ini ialah yang ke-247.
  • ANX akan cuba untuk menyiarkan entri selama 12 bulan sepanjang 2014 bagi mengatasi rekod 2013 (11 bulan).
  • Jumlah keseluruhan pageviews baru mencecah 1.3 juta capaian, masih terlalu jauh untuk mensasarkan 2 juta capaian, tapi tak mustahil ia boleh terjadi dalam 2014.

Sekian.

15 January 2014

Rozita Che Wan - Anugerah Stail EH! (2010)

Pada 2010, Anugerah Stail EH! anjuran majalah EH! yang berkaitan fesyen & gaya hidup telah memberi 3 anugerah kepada pelakon & model, Rozita Che Wan. Anugerah tersebut ialah hasil undian orang ramai. Rozita yang berusia 38 tahun dianugerahkan sebagai Selebriti Wanita Bentuk Badan Cantik, menewaskan calon-calon lain yang lebih muda iaitu Fouziah Gous, Maya Karin, Fasha Sandha & Kat Mentor. Rozita juga dianugerahkan sebagai Selebriti Wanita Paling Seksi, menewaskan Tiz Zaqyah, Jue Aziz, Alyah & Daphne Iking. Selain itu, anugerah utama iaitu Anugerah Stail EH! 2010 juga menjadi milik Rozita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...