25 February 2013

Lagu-lagu penyanyi Malaysia dalam internet (1996)

Pada 1996, buat julung kalinya lagu-lagu oleh penyanyi Malaysia telah dimuat naik ke dalam internet secara sah! Ketika itu penggunaan internet di Malaysia - terutama sekali oleh pemilik komputer peribadi di rumah - adalah sangat rendah, malah boleh dikatakan internet belum dikenali oleh kebanyakan golongan masyarakat, kecuali mereka yang berpeluang menggunakan internet di tempat kerja atau tempat belajar masing-masing.

Sejarah penyebaran lagu-lagu penyanyi Malaysia ke seluruh dunia melalui internet tercetus apabila syarikat rakaman antarabangsa cawangan Malaysia iaitu EMI telah menghasilkan sebuah laman web untuk mempromosikan artis-artis mereka. Namun begitu, pada 1996, istilah laman web (apatah lagi laman sesawang!) belum tercipta, jadi apa yang dihasilkan oleh EMI ketika itu umumnya dikenali sebagai "home page".

"Syarikat rakaman EMI Malaysia mengorak langkah sebagai syarikat rakaman pertama di negara ini yang mempunyai home page sendiri yang boleh mengeluarkan bunyi", lapor akhbar Utusan Malaysia pada 13 April 1996. Menurut laporan tersebut, kumpulan artis pertama yang lagu-lagu mereka dimuat naik ke dalam internet ialah Ella (lagu Demi), KRU (Oh La La), Krisya (Gemersik) & Eric Moo (lagu Cina). Artis-artis lain yang lagu-lagu mereka dicadang untuk dimuat naik selepas itu ialah Sharifah Aini, Rahmat & kumpulan Fotograf.

Pengguna internet pada masa kini mungkin terkejut apabila mengetahui bahawa setiap lagu tersebut disiarkan selama 15 saat sahaja! Maklumlah, selain sekadar untuk mempromosikan jualan kaset dan cakera padat, perlu difahami bahawa pada 1996 talian internet di rumah tidaklah sehebat seperti sekarang sekiranya ingin mendengar keseluruhan setiap lagu. Dengan mampu memuat turun lagu yang cuma bertempoh 15 saat serta mendengarnya melalui home page sahaja pun sudah dianggap sesuatu yang hebat pada ketika itu.

Selain talian internet yang umumnya masih lagi perlahan, pada 1996 juga perisian untuk mendengar lagu melalui internet masih sedang dibangunkan. Tidak dapat dipastikan format lagu yang dimuat naik ke dalam home page EMI pada ketika itu, tetapi yang pasti ia bukan berformat MP3 (hanya popular selepas 1997) yang terkenal dengan saiz fail lagu yang kecil serta berkualiti. Jadi, boleh dibayangkan walaupun sesebuah lagu itu cuma bertempoh 15 saat, tetapi saiz failnya boleh dikatakan besar untuk dimuat turun dengan modem "33 kbps" pada 1996.

1 comment:

Anonymous said...

kenangan lampau..mula berinternet 1998

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...