15 October 2010

Koleksi Abe (1995)

ISBN 983-050-001-2
Cetakan Pertama 1995

Kartun bersiri Abe yang mula disiarkan dalam Majalah Ujang keluaran pertama (1 Januari 1994) merupakan sebuah cerita hasil karya kartunis Ujang dan dilukis oleh seorang kartunis baru berbakat besar iaitu Aie. Kartun bersiri Abe yang bergenre drama komedi ini disiarkan sebanyak 33 siri dan berakhir dalam Majalah Ujang keluaran ke-37 (15 Ogos 1995). Tidak lama kemudian Kharisma Publications telah mengeluarkan buku koleksi kartun bersiri Abe, lantas membuktikan betapa popularnya kartun Abe ini ketika itu.

Buku koleksi Abe ini dimulakan dengan Kata Pengantar oleh kartunis Ujang, merangkap penulis cerita Abe. Tulisan satu muka surat kartunis Ujang itu mengalu-alukan kehadiran kartunis Aie dalam arena kartun tempatan. Kata kartunis Ujang, "aku dianugerahkan seorang insan yang amat istimewa pada pengamatanku. Seorang kartunis yang bakal mencipta nama sebaris dengan mereka yang telah ternama", "Lukisannya begitu matang dan meyakinkan", "kartunis muda yang bakal menyambung perjuanganku!", "BRAVO untuk kartunis Aie...!"

Cerita Abe ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak terencat akal, atau lebih sedap disebut insan istimewa, yang digelar Abe, yang mengalami liku-liku hidup suka dan duka semasa tinggal di sebuah kampung. Siri pertama Abe dimulakan dengan sebaris tulisan, "Berdasarkan daripada kisah benar yang telah ditokok tambah dan diolah sehingga menjadi karut. Sebuah cerita yang pasti akan mengganggu jiwa anda, yang pasti menyentuh naluri kemanusiaan anda"

Dalam beberapa siri awal Abe kita dapat melihat gaya lukisan kartunis Aie yang baru hendak mencipta identitinya. Lukisan Aie ketika itu masih kelihatan ringkas dan kurang 'hidup', tetapi lama kelamaan di sepanjang cerita Abe ini, dapat dilihat lukisan beliau semakin menunjukkan kematangan dan nampak lebih terperinci, contohnya seperti gambaran yang menampakkan banyak bayang-bayang, begitu juga dengan sudut gambaran dan pandangan yang lebih pelbagai tidak seperti dalam siri-siri awal Abe. Lukisan terakhir dalam buku koleksi Abe ini menunjukkan gambaran dari atas sebuah kampung dan pekan kecil.

Satu perbezaan di antara kartun bersiri Abe yang disiarkan dalam Majalah Ujang dengan buku koleksi Abe ini ialah di bahagian permulaan dan penutupnya. Sebelum siri pertama Abe dalam buku ini dimulakan, terdapat tulisan Prolog sebanyak 5 muka surat. Prolog itu memberi pengenalan kepada pembaca mengenai watak-watak dan lokasi cerita yang akan ditunjukkan dalam bentuk kartun nanti. Prolog itu juga memberi penjelasan tentang imej pertama Abe yang ditunjukkan sedang berjalan dan bersiul, yang mungkin tidak diketahui oleh pembaca tentang asal usulnya dari mana hendak ke mana. Manakala pada bahagian penutup selepas siri terakhir Abe juga terdapat tulisan sebanyak 3 muka surat yang menjelaskan beberapa lagi perkara bagi lebih mengukuhkan penutup kepada cerita Abe ini.

"Air matanya telah lama kering. Tuhan itu sesungguhnya maha adil"

6 comments:

~miSS iLa~ said...

mane nak dpt kan majalah ni skrg ar ? dah lame carik . . majalah kartun 1st yg buatkan air mata seorang gadis mengalir deras ! huahuahua . . sadis btol .

Unknown said...

mmg giler ngan majalah Ujang thn tu...pergh mmg menangkap..windu pada kartun ini

moshee said...

mesti sedih bile tingat kat Pak Cik Din. tak sangka dia mati. pastu kesian kat Abe.. dah la nenet dia meninggal. pastu Che Din dia pun meninggal.. sedih sgt. sbb tu aku baca ABE sekali je.. majuk ngan pengarang citer ni..

Anonymous said...

harap seseorang dapat publishkan balik buku ni

Unknown said...

Stuju...

Unknown said...

Saya ada simpan cerita Abe ni, gunting dan kumpul dari majalah Ujang, satu pun tak miss. Masih simpan elok sampai sekarang.....Bila baca, seronok ada, geram pun ada, sedih lagi la.....

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...