02 August 2012

Majalah Tele-skop (1990 & 1991)

Majalah Tele-skop mula diterbitkan pada Januari 1990. Slogan majalah ini ialah "Mingguan Hiburan Anda / Your Entertainment Weekly" dan pada mukasurat pertama keluaran awalnya terdapat tulisan berikut yang merupakan keterangan lengkap perihal majalah ini:

"TELE-SKOP ialah majalah mingguan terbitan Sistem Televisyen Malaysia Berhad. Majalah dwi-bahasa ini, selain daripada memberi pembaca dan penonton TV3 intisari rancangan sepenuhnya untuk seminggu bermula setiap Sabtu, juga mengandungi rencana-rencana mengenai artis-artis tempatan dan luar negara serta temuramah dengan pelakon drama kegemaran anda. Dapatkan senaskah Tele-skop setiap minggu"

Majalah Tele-skop bersaiz kecil tidak seperti majalah hiburan lain ketika itu. Dengan ketebalan hanya 32 mukasurat tidak termasuk kulit, ia dikira agak nipis dan dijual dengan harga $1.00 (Semenanjung) atau $1.50 (Sabah/Sarawak). Antara warga kerja majalah ini ialah Shamsul Khalid Ismail (penerbit); Aziz Hassan (pengarang); Francisca Voo, Yasmin Siddik, Lionel Morais (pemberita); Shahiman Sharip (jurugambar).

Isi kandungan lain Tele-skop yang tidak dinyatakan dalam keterangan di atas ialah seperti ruangan TopSpin (ulasan album/kaset), Pin-Up (poster kecil), Surat Pembaca, dan ruangan khas Personaliti TV3 yang memperkenalkan pengacara mahu pun warga kerja di belakang tabir stesen TV3.

Gambar muka hadapan Tele-skop biasanya memaparkan wajah artis tempatan atau artis luar negara yang sedang popular. Pada keluaran berkembar No. 14 & 15 (21 April 1990) sempena Hari Raya Aidilfitri, majalah ini memaparkan gambar 6 orang Personaliti TV3 pada muka hadapannya iaitu Wan Zaleha Radzi (pengacara Majalah 3), Abdul Razak & Nurfarahin Jamsari (pengacara Sekapur Sirih), Charmaine Augustin & Azwan Ali (pengacara Muzik-Muzik) dan Ezzah Aziz Fawzy (pengacara Nona). Untuk menggambarkan suasana Hari Raya di zaman itu, kad raya merupakan antara hiasan yang terpenting semasa bergambar. Di bahagian dalam majalah, di samping gambar para Personaliti TV3 sedang bermain bunga api, turut disiarkan biodata mereka:

Wan Nor Zaleha Wan Ahmad Radzi
Tarikh lahir: 25 Mac 1964
Tempat lahir: Kuala Lumpur

Abdul Razak Abdullah
Tarikh lahir: 30 Januari 1955
Tempat lahir: Kampung Gunung Senyum, Kuala Kurau, Pahang

Nurfarahin Jamsari
Tarikh lahir: 1 September 1962
Tempat lahir: Singapura

Charmaine Anne Augustin
Tarikh lahir: 1 Januari 1968
Tempat lahir: Kuala Lumpur

Mohamed Azwan Haji Ali
Tarikh lahir: 13 Februari 1966
Tempat lahir: Singapura

Ezzah Haji Abdul Aziz Fawzy
Tarikh lahir: 11 Ogos 1963
Tempat lahir: Kluang, Johor

Tidak dapat dipastikan dengan tepat bilakah majalah Tele-skop dihentikan penerbitannya. Keluaran terakhir Tele-skop dalam simpanan ANX ialah yang bertarikh Julai 1991, tetapi dapat dikesan bahawa majalah ini masih wujud pada pertengahan 1992 (dan mungkin tahun-tahun selepas itu) dengan menggunakan rekabentuk muka hadapan yang berbeza.

2 comments:

imagenta.kreatif said...

saya pembaca setia Tele-Skop .. sebabkan harga nya hanya RM1 masa tu saya mampu beli walaupun masa tu saya sekolah menengah.. tapi tiba2 majalah ini di naikkan harga pada kadar yg agak mahal.. saya tak ingat berapa tapi mungkin lebih dari RM2++ . Disebabkan kenaikan itu saya terus berhenti membeli. Saya rasa faktor kenaikan harga yg mendadak menyebabkan jualannya menurun dan akhirnya dihentikan

khys said...

terima kasih utk info.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...