31 January 2009

Ekspo Pertanian Pulau Pinang (1992)

Ekspo Pertanian diadakan setiap tahun di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang. Selain pameran yang berkaitan dengan pertanian dan pendidikan, diadakan juga pertunjukan pentas. Pada tahun 1992 masih ada banyak kumpulan rock yang aktif walaupun ketika itu telah ada sekatan terhadap konsert yang melibatkan artis rock berambut panjang. Ekspo ini diadakan sekitar bulan Mei/Jun '92. Band yang terlibat ialah Kris, XPDC, Wicitra, UG14, MAY, Mutiara dan lain-lain. Persembahan yang turut menjadi perhatian ialah daripada pelawak duo Pak Man Telo. Ketika itu Senario belum wujud. Pada November 1992, Tok Mat memotong rambut Amy & Awie dalam siaran langsung TV. Tamatlah era rockers berambut panjang. Siapa saja yang sempat menyaksikan zaman itu dan sebelumnya, pasti masih terasa kemeriahan suasananya.

30 January 2009

Vitagen (1988)

"Vitagen van akan datang pada 27 Jan 1988". Harga sebotol minuman ini cuma 45¢, istimewa untuk pelajar sekolah. Borang ini akan diedarkan lebih awal oleh cikgu. Isikan berapa yang anda mahu beli. Esok van Vitagen datang ke sekolah, bolehlah beli. Sudah tentu ada juga van Milo, tapi biasanya pada hari sukan.

29 January 2009

Keputusan peperiksaan SPM (1989)

9 April 1989, Sheila Rusly dapat Gred 2, Fauziah Latiff Gred 3 (Mingguan Malaysia). Komen Sheila: "Sheila tak sangka dapat keputusan gred dua. Sebab Sheila ingatkan entah pas ke tidak. Cikgu di sekolah Sheila pun tak sangka, sebab Sheila bukannya belajar sangat. Masa ambil periksa pun Sheila sibuk menjalani penggambaran siri drama Harimau Rimba (arahan Yusuf Haslam) pada hujung minggu". Komen Fauziah pula ringkas sekali: "Ala... tak berapa bestlah. Malulah nak beritahu", tapi setelah didesak, memberitahu dapat gred tiga. Kedua-dua mereka berusia 18 tahun dan begitu aktif berlakon dan menyanyi. Beberapa hari selepas berita ini disiarkan, Fauziah Latiff berada di Manila, Filipina untuk bertanding dalam Pesta Lagu Pop ASEAN dengan lagu Kau Merubah Segalanya ciptaan Manan Ngah.

28 January 2009

Sahara mahu kecilkan buah dada? (1989)

1 Oktober 1989, ruangan pojok Syhh... oleh BAM (Bahyah Mahmood) muncul dengan nukilan yang agak nakal ini pada suatu pagi Ahad 20 tahun yang lalu. BAM mengusik Sahara Yaakob tentang "buah dadanya yang besar dan membuak-buak tu". "Fullamak!" katanya lagi. Kata Sahara pula, "Kalau orang tengok benda tu berat, berat lagi penanggungan saya nak membawanya ke mana-mana". Sambungnya, "Saiz 42 tau!". Hah! Itulah BAM, seorang penulis pojok yang jujur lagi disegani, usikannya tidak pernah berselindung. Artis yang diusiknya mesti bernama, lengkap dengan gambar terbaik lagi!

27 January 2009

Figurine Panini (1986)

Figurine Panini "merupakan pengeluar kad-kad bergambar yang terbesar di dunia", diasaskan di Amerika oleh syarikat Panini U.S.A. Inc dan diedarkan di Malaysia oleh Marketlink Malaysia Sdn Bhd. Pada asasnya kad-kad bergambar yang dimaksudkan ialah dalam bentuk pelekat (sticker) di mana pengumpul kad perlu membeli buku khas yang diterbitkan untuk melekatkan gambar-gambar tersebut, contohnya di sini seperti buku Thundercats dan The Transformers. Kad yang ingin dikumpul dijual berasingan dan boleh dibeli minimum sekeping tetapi tidak boleh memilih jenis gambar kerana ia berbungkus. Sekiranya pembeli mendapat kad yang serupa, dia boleh bertukar-tukar dengan kawan-kawan yang turut memiliki hobi yang sama.

Buku Thundercats yang dikeluarkan di Malaysia telah diterjemah ke dalam Bahasa Melayu, ia menceritakan sejarah dan perjuangan pasukan Thundercats dalam menentang penjahat. Di sepanjang cerita, terdapat ruang-ruang kosong untuk melekatkan gambar supaya pembaca mendapat gambaran yang lebih jelas. Buku ini juga menyertakan sebuah poster Lion-O menghunus pedang saktinya.

Buku The Tranformers pula tidak diterjemah dan masih mengekalkan Bahasa Inggeris. Untuk melengkapkan gambaran setiap robot Transformers, pengumpul kad perlu rajin membeli dan bertukar-tukar kad sehingga lengkap kesemuanya. Setiap buku mempunyai lebih 200 ruang untuk melekatkan gambar.

Selain dua buah buku tersebut, Figurine Panini juga terkenal dengan buku WWF - Threatened Animals yang memperkenalkan spesis haiwan terancam, dan juga buku Barbie untuk kanak-kanak perempuan menghabiskan zaman 1980-an mereka.

26 January 2009

Pendedahan berani aktres Zarina Zainuddin (1992)

ISBN 983-9814-00-1
Cetakan Kedua, November 1992

Penulis: Seri Bayu
Penerbit: Boulevard Publishing

Biografi yang menceritakan kisah hidup pelakon Zarina Zainuddin ini diterbitkan tidak lama selepas tersebarnya gambar bogel beliau pada 1991. Buku bersaiz kecil ini mengandungi 91 mukasurat yang turut memuatkan gambar-gambar Zarina sebagai model, pelakon dan juga gambar-gambar bersama keluarga dan zaman kanak-kanak beliau. Matlamat penerbitan buku ini bertujuan menceritakan apa yang sebenarnya terjadi sehingga mencetuskan salah satu kontroversi terbesar dunia hiburan Malaysia ketika itu. Mungkin juga untuk membersihkan sedikit nama dan maruah Zarina yang telah tercemar dan memberitahu pada umum bahawa beliau sebenarnya menjadi mangsa khianat dan tipu daya pihak yang tidak bertanggung jawab. Seperti mana biografi lain, kisah bermula dengan kelahiran beliau pada 1970, zaman persekolahan era 1980-an, sehinggalah detik hitam pada satu sesi fotografi majalah, dan bagaimana mula tersebarnya gambar-gambar bogel tersebut setelah beliau tidak mampu membayar wang ugutan. Kisah ini semua ditulis semula oleh Seri Bayu, seorang penulis lirik lagu-lagu pop yang begitu terkenal pada era 1980-an.

25 January 2009

RTM haramkan lagu Paul Lekakis (1991)

31 Januari 1991, sebelum tarikh itu perkataan fuck mungkin tak begitu diketahui ramai. Malah lirik lagu-lagu yang mengandungi perkataan tersebut juga bebas disiarkan oleh sesetengah siaran radio yang kurang peka. Buktinya, lagu berjudul Boom Boom, Let's Go Back To My Room nyanyian penyanyi Amerika, Paul Lekakis yang menjadi begitu popular ketika itu, hinggakan Paul sendiri hadir mempromosi albumnya di Kuala Lumpur.

Lagu "Boom Boom" mengandungi lirik seperti "Everytime you fuck with me, The fuck is a boom boom, Can you see it's fucking me, and feel my desire", di siarkan tanpa tapisan oleh stesen radio RTM sehinggalah mendapat teguran daripada seorang pendengar. Menariknya lagi, pendengar tersebut menghantar faksimili kepada Utusan Malaysia lirik lagu tersebut berserta terjemahan Bahasa Melayu yang ditulisnya sendiri! Yang kemudiannya disiarkan tanpa tapisan oleh akhbar tersebut! Contoh terjemahan: "Kali kedua kau datang kepadaku, Persetubuhan itu sangat boom boom".

24 January 2009

Budaya punk di KL (1997)

8 Januari 1997, laporan khas oleh Utusan Malaysia di muka hadapan. Artikel ini menjadi publisiti percuma kepada pengikut dan peminat muzik punk. Pada permulaan laporan ini ia tidak menggambarkan 'budaya punk' sebagai sesuatu yang negatif, contohnya "remaja yang majoritinya terdiri daripada kalangan anak-anak orang berada", "tidak ada bukti mereka terlibat dalam kegiatan ganas". Laporan ini turut memperkenalkan "pogo" sebagai "tarian kasar di mana ahli kumpulan menarik baju satu sama lain hingga mereka rebah", "tarian ini merupakan cara untuk melepaskan tension, berseronok selain merapatkan hubungan antara satu sama lain".

Walau bagaimanapun, kita sedar ke mana haluan laporan ini apabila mula menyentuh kepada perlakuan seperti meludah, aksi tidak sopan dan sebagainya yang "boleh dikategorikan sebagai kurang ajar dan tidak wajar dengan adat resam masyarakat tempatan".

Laporan khas ini disiarkan selama beberapa hari dengan kemuncaknya ialah komen daripada Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir.

Pengenalan

Semasa melakukan pengumpulan maklumat untuk laman web kelolaan saya, terjumpa banyak bahan yang mungkin menarik untuk dikongsi bersama, tetapi tidak berkaitan atau tidak sesuai untuk dimasukkan ke dalam laman web tersebut. Kesemuanya saya kumpulkan di sini untuk tatapan anda.

Penafian:
Maklumat, gambar dan bahan yang dipaparkan di Arkib Negara X (ANX) ini adalah hak milik pihak penerbitan masing-masing dan disiarkan di sini sebagai rujukan semata-mata. Sebarang penyalahgunaan maklumat, gambar dan bahan daripada ANX adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang menyalahgunakannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...