31 March 2013

Homoseks dan lesbian dalam lagu To'ki (1998)

To'ki pernah terkenal dengan lagu nyanyiannya, Biasan, pada sekitar awal 1990-an. Walaupun dengan suaranya yang mantap dan tersendiri, tetapi To'ki tidak berjaya untuk menjadi penyanyi yang bertahap popular. Situasi begitu, dari dulu hingga kini dianggap lumrah dalam arena hiburan tempatan yang lebih mengutamakan paras rupa berbanding bakat.

Dalam bulan Mac 1998, To'ki telah mengeluarkan album barunya yang berjudul Hujan Emas. Salah satu lagu yang terdapat dalam album tersebut berjudul Joget Menyanyi. Lagu berentak tradisional yang agak popular dan menarik didengar itu adalah ciptaan dan tulisan To'ki sendiri. Apa yang mungkin kurang disedari oleh para pendengar ialah mengenai kisah di dalam senikata lagu itu.

Senikata lagu Joget Menyanyi mengandungi pemerhatian dan mungkin juga komentar tersirat penulisnya terhadap isu homoseks dan lesbian di Malaysia pada 1990-an. To'ki telah mengesahkan mengenai kandungan senikata lagu itu apabila ditanya oleh wartawan hiburan, Nas Ahmad. Kata To'ki, "Ini cerita benar Nas. Ada satu tempat peranginan terkenal kat sini dah jadi macam sarang homo dan lesbian. Saya pergi kat sana untuk berehat sambil cari ilham tapi terperanjat tengok perkara ni berlaku depan mata saya sendiri".

Artikel bertajuk "Homoseks dan lesbian dalam lagu To'ki" ditulis oleh Nas Ahmad pada 8 Jun 1998 dan hanya disiarkan beberapa bulan kemudian dalam majalah hiburan URTV pada 15 September 1998.



JOGET MENYANYI
(pencipta lagu & penulis senikata: To'ki)

Di kampung ini
Di depan tangga pohon melambai
Hai angin tiup
Katanya sepoi bahasa

Gerimis turun
Tak sangka kilat guruh berdentum
Di kampung ini
Ku rasa damai sekali

Jalan pesisiran pantai
Ramai gadis berpegangan tangan
Si pemudanya pula
Jatuh cinta sesama

Mari menyanyi
Mari menyanyi
Mari menyanyi
Menyanyi

Nota tambahan:
  • Dalam bulan Mac 1998 juga terbitnya sebuah lagi lagu - persembahan oleh penyanyi wanita tempatan - yang senikatanya berkisarkan isu gay (rujuk entri akan datang)
  • Dalam artikel yang sama, Nas Ahmad juga mengulas mengenai kulit album To'ki yang berjudul Hujan Emas, di mana To'ki dikatakan seolah-olah meniru gaya Amy Search (dalam album solo pertama pada 1994) dengan tidak berpakaian dan berkepala botak.
  • Memandangkan salah satu lagu dalam album Hujan Emas oleh To'ki merujuk kepada suatu 'gejala' seks, terlintas di fikiran mengenai kemungkinan wujudnya konotasi berkaitan seks - iaitu 'golden shower' - dalam terjemahan bahasa Inggeris tajuk album itu?
  • Kulit album Hujan Emas menggambarkan To'ki sedang 'menikmati' hujan emas. Walau bagaimanapun, tiada lagu berjudul Hujan Emas dalam album tersebut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...