Cetakan Pertama 1995
Penulis: Ibnu Yusof
Penerbit: Penerbitan Al-Kafilah Enterprise, Kelantan
Harga: RM25.00 (Malaysia Barat), RM29.00 (Malaysia Timur)
Selepas 'kejayaan' penerbitan buku Permata Yang Hilang (1992), penulisnya Ibnu Yusof telah menerbitkan beberapa buah lagi buku yang bertajuk: Permata Gemilang (diharamkan), Mutiara Taman Wangi (diharamkan), Tongkat Nakhoda dan Mengenal Lelaki (diharamkan). Begitu prolifik hanya dalam tempoh beberapa tahun. Buku Intan Istana Khalifah pula dikeluarkan buat pertama kali dalam tahun 1995. Buku bahasa Melayu setebal 226 mukasurat ini masih berlegar dalam topik yang bersangkutan dengan pengetahuan seksual. Seperti mana dengan buku Permata Yang Hilang, buku ini juga tidak ketinggalan menyelitkan pelbagai ilustrasi dan lukisan yang bersangkutan dengan setiap topik.
Tajuk sampingan buku Intan Istana Khalifah ini ialah Seni Asmara. Penulisnya menjelaskan bahawa "perkataan asmara itu yang bererti bercinta-cintaan, berkasih-kasihan dan bercumbu-cumbuan, atau jatuh cinta, atau cinta berahi adalah merupakan satu perkataan yang cukup bermakna bagi memaparkan hakikat bahawa ramai lelaki sebenarnya hanya mahu belajar cara jima' tetapi tidak memperdulikan mengenai seni asmara". Tambahnya lagi, "Dalam buku ini, penulis mencatatkan Seni Asmara yang mana secara asasnya meliputi Seni Mendekati, Seni Ransangan Awal, Seni Istimta', Seni Pembukaan Jima', Seni Kelakuan Jima', Seni Tarian Dayungan, dan Seni Puncak Asmara". Walaupun terlalu banyak perkataan seni digunakan tetapi kandungan buku ini secara ringkasnya bolehlah dikatakan sebagai cara-cara untuk menikmati hubungan seks secara halal dan erm... berseni!
Dalam bahagian penutup buku ini, penulisnya menasihatkan, "Sesungguhnya Seni Asmara hanya khusus untuk dipraktikkan di kalangan pasangan suami isteri yang sah. Ia bukan untuk tujuan berseronok mensia-siakan masa muda serta menjual maruah diri. Sekiranya Seni Asmara dipraktikkan untuk tujuan yang salah, maka ia akan mendatangkan malapetaka pada diri pengamalnya". Suatu nasihat yang amat berguna sekali, terutamanya untuk sebilangan besar muda mudi zaman kini, yang sudah tentunya tidak peduli untuk mengambil pengajaran daripada apa-apa bentuk pengetahuan seksual, tetapi lebih gemar untuk mempraktikkannya dahulu dan mendapat pengajarannya di usia tua kelak sekiranya sempat.
No comments:
Post a Comment