25 April 2013

Perkahwinan Wan Zaleha Radzi (1999)

Wan Zaleha Radzi ialah seorang personaliti televisyen yang terkenal sejak penghujung 1980-an. Dia pernah bertugas sebagai penyampai berita utama di TV3 dan pernah juga mengacarakan rancangan popular, Majalah 3. Boleh dikatakan Wan Zaleha begitu popular di kalangan penonton televisyen pada suatu ketika dulu, mungkin juga kerana kecantikan dan gayanya serta cara penyampaiannya yang sedap didengar menyebabkannya mudah menjadi perhatian ramai.

Wan Zaleha membuktikan bahawa personaliti televisyen juga boleh menjadi popular dan mempunyai peminat tanpa perlu terlibat dalam bidang hiburan. Walaupun begitu, majalah-majalah hiburan ketika itu tetap mengambil kesempatan terhadap populariti Wan Zaleha dengan menyiarkan poster serta rencana mengenainya seperti mana para selebriti hiburan yang lain. Sudah menjadi lumrah, setiap yang popular akan melalui zaman suram masing-masing, begitu juga dengan Wan Zaleha yang semakin dilupakan pada sekitar pertengahan 1990-an apabila munculnya para personaliti televisyen yang baru bagi menggantikan tempatnya.

Pada 8 Mac 1999, Wan Zaleha telah melangsungkan perkahwinan. Ketika itu dia berusia 35 tahun dan masih bertugas sebagai pengacara rancangan Dateline di ntv7. Berita perkahwinannya tidak dihebahkan kepada umum, namun dapat diketahui juga oleh para wartawan hiburan yang mungkin merasakan bahawa status selebriti Wan Zaleha masih kuat tarikannya dan pastinya ramai peminat ingin mengetahui kisah perkahwinannya yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.

Wan Zaleha berkahwin dengan seorang lelaki Australia bernama Peter Imran Abdullah yang berusia 50-an dan bertugas sebagai jurulatih sukan equestrian. Peter Imran turut menjadi jurulatih kepada Wan Zaleha yang sememangnya terlibat dalam sukan equestrian, dan mereka telah mula berkenalan sejak 1997. Majlis resepsi perkahwinan mereka dilangsungkan pada 4 April 1999 di sebuah hotel di Subang, Selangor. Dalam majlis itu, anak perempuan Peter Imran daripada perkahwinannya yang terdahulu, iaitu Alley, turut hadir dan menjadi pengapit kepada ibu tirinya, Wan Zaleha.


9 comments: