28 March 2013

Persembahan Shah Rukh Khan di Malaysia (1998 & 1999)

Susulan populariti pelakon filem Hindi, Shah Rukh Khan, yang mencapai kemuncaknya dengan penayangan filem Kuch Kuch Hota Hai (1998), maka suatu konsert yang melibatkan pelakon itu telah diadakan di Malaysia pada 30 Oktober 1998. Konsert yang berlangsung  di Stadium Tertutup Malawati (Shah Alam, Selangor) itu menampilkan Shah Rukh Khan bersama pasangannya dalam filem Dil To Pagal Hai (1997), pelakon yang juga sedang popular iaitu Karisma Kapoor.

Selain tumpuan utama kepada 2 orang pelakon dari India tersebut, aturcara konsert itu tanpa dirancang telah melibatkan seorang pelakon terkenal tempatan, Lydiawati. Kehadiran Lydiawati di atas pentas konsert itu bukanlah kerana statusnya sebagai selebriti, tetapi ia berlaku secara kebetulan apabila diadakan segmen khas bersama penonton. Lydiawati - yang merupakan salah seorang penonton yang duduk di bahagian hadapan stadium - bernasib baik apabila terpilih untuk naik ke atas pentas bertemu dengan Shah Rukh Khan.


Selain dapat bertemu dan berbual dengan Shah Rukh Khan di atas pentas, Lydiawati juga berpeluang menunjukkan kebolehannya menyanyikan sedikit lagu Meri Mehbooba daripada filem Pardes (1997) yang dilakonkan oleh Shah Rukh Khan. Selepas itu, Shah Rukh Khan telah mengajak Lydiawati menari bersamanya. Di sepanjang segmen tarian itu, Shah Rukh Khan telah mendukung Lydiawati sebanyak 2 kali hingga mendapat sorakan kuat oleh para penonton. Lydiawati kemudiannya dihadiahkan poster besar Shah Rukh Khan. Sebelum berpisah, mereka berpelukan di atas pentas dan Lydiawati mengambil kesempatan mencium pipi Shah Rukh Khan. Sekali lagi para penonton bersorak dengan kuat.


Hampir setahun kemudian, pada 24 Oktober 1999, Shah Rukh Khan kembali lagi dalam sebuah konsert yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor. Konsert The Awesome Foursome yang dihadiri oleh ribuan penonton itu turut menampilkan persembahan oleh Salman Khan, Juhi Chawla dan Twinkle Khanna, kesemuanya pelakon filem Hindi yang sedang popular. Lydiawati sekali lagi hadir sebagai penonton, tetapi apabila diadakan segmen khas bersama penonton, bukanlah Lydiawati yang sekali lagi bernasib baik, tetapi seorang lagi pelakon wanita tempatan telah terpilih untuk bertemu Shah Rukh Khan di atas pentas. Pelakon tersebut ialah Syanie.


Tiada laporan mengenai aksi dukung mendukung di antara Shah Rukh Khan dengan Syanie dalam konsert pada 1999 itu di atas sebab-sebab yang cukup jelas serta berat untuk diceritakan.

Para penonton konsert The Awesome Foursome (1999)

Nota tambahan:
Pada Oktober 2008, Shah Rukh Khan telah diberi pingat Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk.

No comments:

Post a Comment