Pada 1987, kumpulan rock BumiPutra Rockers (BPR) telah mengeluarkan album pertama mereka yang berjudul Selamat Pagi Malaysia. Salah satu lagu dalam album tersebut berjudul Juwie Juwie Juwie, hasil ciptaan kumpulan BPR sendiri, manakala senikatanya ditulis oleh penyanyi kumpulan itu, Joey.
Juwie mungkin satu-satunya penulis senikata Malaysia yang namanya diabadikan oleh penulis senikata lain sebagai subjek untuk sebuah lagu, dan ini berlaku seawal 1987. Walau bagaimanapun, senikata lagu Juwie Juwie Juwie bukanlah menceritakan tentang Juwie seorang penulis senikata, tetapi merujuk kepada Juwie (yang turut digelar "Mama") seorang wartawan hiburan yang sangat terkenal pada 1980-an.
Senikata lagu rock Juwie Juwie Juwie berbentuk santai & menunjukkan penghargaan penulisnya terhadap peranan wartawan hiburan bernama Juwie dalam memeriahkan dunia artis dan hiburan di Malaysia pada waktu itu. Dalam senikata itu, artis baru (termasuklah kumpulan BPR) digambarkan mendambakan perhatian Juwie bagi dipaparkan dalam ruangan kelolaannya yang sangat popular dalam majalah URTV dan akhbar Mingguan Malaysia.
Juwie menjadi ikon dalam bidang penulisan hiburan di Malaysia pada 1980-an. Di atas ialah logo untuk ruangan tetap "Auw!!" kelolaan Juwie yang diterbitkan secara mingguan dalam akhbar sisipan Pancaindera (Utusan Malaysia edisi Jumaat) pada 1987.
JUWIE JUWIE JUWIE
(pencipta lagu: BumiPutra Rockers / penulis senikata: Joey)
Majalah hiburan banyak di pasaran
Berbagai kisah di sana sini
Gosip para artis, cerita nan romantis
Di bawah kelolaan Juwie
Ramai artis Mama liputkan
Ramai muda-mudi yang turut serta
Mama paparkan penyanyi, Mama paparkan pelakon
Tapi kami yang Mama lupa
Juwie, Juwie, Juwie
Tulis nama ku di dalam ruangan mu
Juwie, Juwie, Juwie
Papar gambar ku di halaman majalah mu
Ku lihat Mama di URTV
Ku terbaca di Mingguan Malaysia
Poster warna-warni, fesyen menarik hati
Pasti akan ku beli
Pada 1989, sempena ulangtahun ke-50 akhbar Utusan Malaysia, wartawan hiburan senior, Bahyah Mahmud (BAM), telah menulis sebuah artikel khas bagi menghargai peranan besar Juwie dalam penulisan hiburan, khususnya zaman setelah Juwie berpindah kerja daripada Berita Harian kepada Utusan Malaysia.
BAM turut menceritakan serba sedikit kisah peribadi Juwie, yang nama sebenarnya ialah Abdul Jalil Salleh, dan merupakan seorang khunsa yang tidak berselindung mengenai status kejantinaannya. Menurut BAM, keadaan diri Juwie yang sebegitu menyebabkannya pernah mengalami tekanan jiwa yang kuat sehingga terpaksa mendapatkan khidmat pakar perubatan. Juwie dikatakan pernah cuba untuk menukar jantinanya di Singapura pada 1970 (zaman persekolahannya) tetapi membatalkan hasrat tersebut setelah mendapat nasihat oleh pakar jiwa dan ibu bapanya.
29 Mei 1989 |
Beberapa maklumat & petikan mengenai/oleh Juwie dalam artikel tersebut:
- Juwie lahir di Singapura pada 9 Julai (tahun tidak dinyatakan). Bapanya berasal dari Johor dan merupakan bekas anggota polis di Singapura. Ibunya berasal dari Melaka.
- Juwie mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sang Nila Utama, Singapura; Yayasan Anda Akademik, Kuala Lumpur (Sijil Tinggi Persekolahan); Institut Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor (kursus perhotelan selama 3 bulan).
- Juwie mula bekerja pada 1974 sebagai wartawan di akhbar Berita Harian dan berkhidmat di situ hampir 10 tahun sebelum berpindah ke akhbar Utusan Malaysia pada sekitar pertengahan 1980-an.
Kata BAM:
- "Dia menggunakan nama Juwie sebagai nama seorang mak nyah"
- "Pernah juga orang menelefon bertanya: Juwie tu lelaki ke perempuan? Suaranya lembut.. romantik!"
- "Juwie yang terkenal dengan sifat peramah dan mudah mesra"
- "Dia mahu semua tulisannya adalah benar. Tidak ada penafian. Lantaran itu dia sentiasa berhati-hati pada setiap kisah yang dipaparkan"
- "Juwie tidak pernah menghampakan harapan seseorang artis. Apa yang diceritakan oleh artis, itulah yang ditulisnya tanpa tokok tambah. Apa lagi untuk menulis hal-hal yang tidak pernah dibualkan"
- "Pernah dulu dia membuat keputusan untuk berhenti kerja gara-gara dia diarahkan oleh boss nya menulis dengan tujuan jahat untuk memfitnahkan serta mendedahkan keaiban seorang artis ternama tanahair"
- "Juwie telah banyak menempuh kesengsaraan, tekanan jiwa untuk hidup dan menyesuaikan diri dalam masyarakat yang kurang memahami kehidupan insan-insan mak nyah"
- "Juwie mengaku jiwanya sering terseksa dengan cemuhan masyarakat"
- "Demikian pengakuan Juwie yang terus terang menyatakan dia adalah bekas pesakit jiwa yang selama 14 tahun menerima rawatan, masuk wad keluar wad iaitu di wad sakit jiwa di Singapura, Johor Baharu dan Kuala Lumpur"
- "Dia banyak mendapat bimbingan moral Islam dari Encik Anwar Ibrahim (Menteri Pendidikan) yang pada ketika itu (zaman persekolahan Juwie) menjadi Pengarah Yayasan Anda Akademik"
Kata Juwie:
- "Saya ni pondan! Memang sudah ditakdirkan saya dilahirkan sebagai khunsa! Ini bukan kehendak ku. Dan bukan juga doa ibu bapa ku"
- "Aku anggap penderitaan jiwa dalam diri ku ini sebagai dugaan Allah. Tentunya ada muslihat di sebalik derita dan keanehan insan seperti ku ini"
- "Aku yakin, Tuhan tidak lahirkan aku untuk derita di dunia ini. Aku juga yakin, bahawa penderitaan itu suatu rahmat Allah. Dengan menghayati penderitaan itu aku bertambah insaf. Aku rasa bertambah dekat padaNya"
- Maksud khunsa dalam Kamus Dewan: "orang yg mempunyai dua alat kelamin".
- Pada 1990, M. Nasir muncul dengan senikata lagu Midnight Blues (persembahan kumpulan Wings) yang seakan-akan merujuk kepada Juwie dalam rangkap pertama: "Si manis di belakang Kowloon rupanya sang khunsa. Ada jua wajah yang pernah ku lihat di akhbar, auw!". Rangkap lain senikata lagu itu turut menyentuh beberapa golongan "tersisih" yang disimpulkan sebagai "sampah masyarakat". Juwie melalui ruangannya dalam akhbar sisipan Pancaindera (Mingguan Malaysia, 18 Mac 1990) telah mengecam penulisan senikata oleh M. Nasir itu yang dianggapnya sebagai sangat kasar dan berunsur menghina. Kata Juwie, "Lirik itu ternyata menghina. Kita hidup tidak boleh menghina makhluk Allah. Siapalah diri kita hendak menghina orang lain?". Tambah Juwie, "Sepatutnya M. Nasir bersyukur atas nikmat Allah yang telah memberikan kemewahan padanya sebagai orang Singapura yang dapat menumpang mencari rezeki di Malaysia".
- Juwie pernah berlakon watak kecil dalam filem Tuan Badul (1979), tetapi ketika itu dia belum menggunakan nama Juwie, dan namanya dikreditkan sebagai "Jalil Salleh".
"Abang Din nak epal?" - antara dialog Jalil Salleh (Juwie) yang melakonkan watak Siti dalam filem Tuan Badul (1979) |
8 comments:
Oooooo...yang berlakon dgn S. Shamsuddin dalam filem Tuan Badul tu, Juwie rupanya. Ingatkan pelakon tambahan manalah yang dicekup.
P.S.: Saya, rakyat Malaysia zaman generasi X & Y, belum lahir lagi masa tu. Huhuhu.
best baca artikel blog ni, mcm tgok dokumentari kat tv, ape yg diceritakan semua betul dan sama dengan ingatan aku mase kecik2 dulu.keep it up.
Bestnya baca blog ni sbb sy membesar zaman tu
"bukanlah menceritakan tentang Juwie seorang penulis senikata, tetapi merujuk kepada Juwie (yang turut digelar "Mama") seorang wartawan hiburan"..
Sebenarnya..
Juwie = penulis senikata = wartawan hiburan
Allahyarham Abdul Jalil bin Salleh atau lebih dikenali sebagai Mama Juwie telah meninggal dunia pada 3 April 2015 akibat kanser prostat. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yg beriman yg mendapat lindungan Allah di padang Mahsyar kelak...amminn. Innalillah hiwa inna wa ilai hiraji'un.
Wow dibimbing anwar ibrahim menteri pendidikan masa tu....
Wow dibimbing anwar ibrahim menteri pendidikan masa tu....
kuşadası transfer
foça transfer
alaçatı transfer
didim transfer
karşıyaka transfer
XHSF
Post a Comment