24 October 2013

Aleeza Kassim (1989)

Pada 1989, Aleeza Kassim yang kini dikenali sebagai pelakon telah ditampilkan dalam ruangan Poster Kelolaan Juwie dan ditemu bual oleh wartawan hiburan terkenal itu untuk ruangan Sehari Dalam Hidup. Ketika itu Aleeza baru berusia 19 tahun dan merupakan seorang peragawati yang sedang mencipta nama. Aleeza yang pernah memenangi pertandingan 'ratu cantik' Dewi Remaja 1988 semakin mendapat perhatian para peminat hiburan tempatan dalam tahun 1989 apabila dia muncul sebagai penyeri dalam video muzik lagu Janganlah Menghancurkan nyanyian Shidee (lihat video di bawah) yang disiarkan dalam rancangan popular Muzik-Muzik '89 terbitan TV3. Aleeza mengikut jejak seorang lagi peragawati, Julia Rais (rujuk entri akan datang), yang tiba-tiba dikenali ramai setelah muncul dalam video muzik lagu Isabella persembahan kumpulan Search beberapa bulan lebih awal pada tahun yang sama.

Lahir pada 26 April 1970 di Kuala Lumpur
Ruangan Sehari Dalam Hidup kelolaan Juwie menceritakan tentang aktiviti seharian para selebriti yang ditemu bual. Antara topik yang gemar diperbualkan oleh Juwie ialah mengenai pemakanan para selebriti. Aleeza Kassim dikatakan jarang bersarapan, tapi menu pilihannya ialah "roti dan air Horlicks". Makanan tengahari yang digemari Aleeza ialah Al-Turki Al-Bukhari ("campuran daging kerbau dengan lembu yang digulai sama rempah-rempah kari"). Waktu malam pula Aleeza jarang makan nasi, "cuma makan buah-buahan", dan dia suka "mengunyah buah asam" sebelum tidur. Selain itu, tidak banyak latar belakang Aleeza yang dikongsi oleh Juwie bersama para pembaca. Madah Juwie tentang Aleeza: "Senyumannya amat menggoda sehingga melemaskan jiwa lelaki di lautan asmara".

Gaya seksi yang lazim ketika itu,
kombinasi sut renang dengan kain pareo
Poster Kelolaan Juwie
Kanta lekap berwarna - terutamanya biru - menjadi trend artis ketika itu

18 October 2013

Anugerah Industri Muzik - AIM pertama (1993)

Majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) yang pertama telah diadakan pada 15 Disember 1993 (Rabu) di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Ia dianjurkan oleh MAPV (Persatuan Phonogram dan Videogram Malaysia) & Muzik TV. Majlis tersebut dimulakan dengan acara makan malam sebelum upacara penyampaian anugerah dijalankan, dan ia tidak disiarkan secara langsung dalam televisyen seperti yang diamalkan kini. AIM 1993 diacarakan oleh Seha (Muzik TV) & Norman KRU. Majlis turut diserikan dengan persembahan artis-artis yang tercalon seperti Nico, Feminin, Ning Baizura & Ziana Zain. Turut membuat persembahan ialah Rahim Maarof, Salleh Yaacob & Susan Lankester yang berduet dengan S.M. Salim. Berikut ialah senarai calon-calon akhir & para pemenang AIM 1993.

Para pemenang AIM 1993

ALBUM TERBAIK
Dekat Padamu (Ning Baizura) - Pemenang (Penerbit: J.P. Abdullah)
Bazooka Penaka (Wings)
Buatan L.A. (Nico)
Epilog Memori Gelita (Fauziah Latiff)
Nash 1993 (Nash)

LAGU TERBAIK
Satu (S.M. Salim & Zainal Abidin) - Pemenang (Pencipta: Roslan Aziz. Penulis lirik: Nizam & Zainal Abidin)
Gemuruh (Search & Wings)
Lagu Untukmu (Hasnol)
Ratnaku (Roy)
Teringin (Shima)

VOKAL TERBAIK - LELAKI
Jamal Abdillah (15 Tahun Memori) - Pemenang
Aan (Pulang)
Hasnol (Sudi Katakan Sudi)
Roy (Roy)
Saleem (Gabungan Dua Insan Seni)

VOKAL TERBAIK - WANITA
Shima (Shima Vol. 3) - Pemenang
Ning Baizura (Dekat Padamu)
Ramlah Ram (Di Ambang Pintu Kasih)
Yusni Hamid (Senandung Lagu Melayu)
Ziana Zain (Ziana Zain)

VOKAL TERBAIK - BERKUMPULAN
Iklim (Dunia Iklim) - Pemenang
Mega (Rentak Kaki Lima)
Search (Double Trouble)
Spring (Sampai Hati)
Wings (Bazooka Penaka)

ARTIS BARU TERBAIK - SOLO
Ning Baizura - Pemenang
Aan
Imuda
Leina
Nana Nurgaya


Nota: Dalam AIM seterusnya, kategori "Artis Baru Terbaik - Solo" telah dipecahkan menjadi "Artis Baru Terbaik - Lelaki" dan "Artis Baru Terbaik - Wanita"

ARTIS BARU TERBAIK - BERKUMPULAN
Feminin - Pemenang
Nico
Panji
Samudera
Visa


KULIT ALBUM TERBAIK
Menggapai Pelangi (Illusi) - Pemenang (Perekabentuk: S. Amin Shahab)
Ana Permata Timur (Hattan)
Bazooka Penaka (Wings)
Sampai Hati (Spring)
Sentuhan Emas (Fauzi Marzuki)

VIDEO MUZIK TERBAIK
Sampai Hati (Spring) - Pemenang (Pengarah: Paul Wong)
Bukan Aku Tak Cinta (Saleem)
Curiga (Ning Baizura)
Inilah Nasibku (Nico)
Lagu Cenderawasih (Kris)

RAKAMAN ALBUM TERBAIK
Bazooka Penaka (Wings) - Pemenang (Jururakam: Stewart Day)
Asia Sedunia (Aishah)
Dunia Iklim (Iklim)
Nash 1993 (Nash)
Ziet Geist (MAY)

ANUGERAH SRI WIRAMA
Ahmad Nawab & Sudirman Haji Arshad

Kiri: Norman KRU & Seha, pengacara AIM 1993.
Kanan: Kakak kepada Sudirman (yang meninggal dunia pada 1992),
wakil penerima Anugerah Sri Wirama.
Ramalan AIM pertama - 9 Dis 1993

Beberapa lagi foto AIM 1993 di bawah:

11 October 2013

dR. Sam (1992)

Penyanyi terkenal era 1980-an, dR. Sam (biasanya disebut Doktor Sam), telah ditemu bual oleh wartawan hiburan terkenal, Juwie, pada 1992 untuk ruangan Sehari Dalam Hidup yang diterbitkan dalam akhbar sisipan Pancaindera (Mingguan Malaysia). Berikut ialah maklumat tentang dR. Sam yang terkandung dalam artikel hasil temu bual tersebut.
  • Nama sebenar dR. Sam ialah Salim Ibrahim.
  • Nama gelaran asalnya ialah "dR. Sam Rasputin", nama yang diberi oleh Ali Bakar (penganjur persembahan pentas) pada 1980. Nama gelaran itu kemudian dipendekkan menjadi dR. Sam.
  • dR. Sam lahir pada 23 Mei 1953 di Seremban, Negeri Sembilan.
  • Keluarga dR. Sam berasal dari Kampung Bayam, Kota Bharu, Kelantan.
  • Bapa dR. Sam bertugas sebagai anggota polis, maka keluarganya sering berpindah tempat tinggal.
    • dR. Sam mendapat pendidikan di Sekolah Rendah St. John, Kuala Lumpur (darjah 1 hingga 6); Sekolah Menengah St. John, Kuala Lumpur (tingkatan 1 hingga 3); Sabah College, Kota Kinabalu (tingkatan 4 hingga 5); Institut Pendidikan, Kota Bharu (tingkatan 6 pada 1971).
    • Ketika berusia 20 tahun (1973), dR. Sam merantau ke benua Eropah "untuk menimba berbagai pengalaman baru".
    • Selama 5 tahun (1973-1978), dR. Sam menimba pengalaman sebagai 'busker' (bermain gitar & menyanyi di jalanan) di London, Jerman & Scandinavia.
    • Setelah lama merantau, dR. Sam pulang ke Malaysia pada 1979 dan meneruskan kerjaya sebagai 'busker' di pasar-pasar malam sekitar Damansara, Petaling Jaya & Kuala Lumpur.
    • Ali Bakar memperkenalkan "dR. Sam Rasputin" sebagai penyanyi pentas pada 1980 dalam persembahan Pesta Budaya di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur. dR. Sam mula menjadi terkenal setelah wartawan hiburan menulis mengenai persembahannya yang dikatakan "lain dari orang lain". dR. Sam pun meneruskan kerjaya barunya sebagai penyanyi pentas dalam banyak persembahan anjuran Ali Bakar di merata tempat.
      • dR. Sam melangsungkan perkahwinan dengan Fauziah Yunus pada 8 Ogos 1981.
      • Syarikat rakaman PolyGram menawarkan kontrak sebagai penyanyi rakaman kepada dR. Sam dan beliau berjaya mengeluarkan album pertamanya, Abu Nawas (1983), diikuti oleh album Sayang Oh Sayang (1984).
      • dR. Sam bergabung dengan kumpulan Musafir dan mengeluarkan album Saya Anak Malaysia (1986) & Semarak Merdeka (1987), kedua-duanya juga terbitan syarikat rakaman PolyGram.
      • Syarikat rakaman EMI pula kemudian mengeluarkan album dR. Sam yang berjudul Sinar Harapan (1989).
      • Pada 1992, dR. Sam mengusahakan perniagaan khidmat penghantaran barangan di bawah nama dR. Express yang beroperasi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
        Lagu Saya Anak Malaysia nyanyian dR. Sam dengan diiringi oleh kumpulan Musafir menjadi sangat popular pada 1986. Lagu yang menceritakan serba sedikit riwayat hidup dR. Sam itu dicipta olehnya sendiri manakala senikata lagu itu ditulis oleh S. Amin Shahab dan diterbitkan oleh M. Nasir. Pada tahun yang sama, dR. Sam muncul sebagai pelakon dalam filem Kembara Seniman Jalanan (1986) yang menceritakan tentang liku-liku hidup seorang penyanyi yang bermula di jalanan sehinggalah berjaya menjadi penyanyi rakaman, suatu kisah yang ada sedikit persamaan dengan kehidupan dR. Sam.

        SAYA ANAK MALAYSIA
        (pencipta lagu: dR. Sam / penulis senikata: S. Amin Shahab)

        Sembilan belas lima puluh tiga, bulan lima aku dilahirkan
        Di sebuah negeri yang diberi nama, Negeri Sembilan
        Selepas itu aku dibesarkan, di negeri Kelantan
        Aku belajar di sekolah orang putih, dekat dengan Pasir Puteh

        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia
        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia

        Lepas sekolah aku merayau, negeri mat saleh aku merantau
        Tempat orang indah sekali, tapi Malaysia tetap di hati

        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia
        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia

        Sampai masa aku pun balik, makwe ku tengok dia pelik
        Dia kata "You nak jadi apa?", aku kata "Itu Tuhan punya kuasa"
        Lemah lembut sopan santun, sudah menjadi darah daging ku
        Walaupun aku nampaknya kutu, aku hormat orang tua ku

        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia
        Saya anak Malaysia, saya anak Malaysia


        Nota tambahan:
        • dR. Sam pernah diundang berlakon watak kecil dalam filem Mekanik (1983). Dialognya dalam filem itu memberitahu bahawa nama 'Sam' adalah akronim daripada 'Saya anak Malaysia' (tapi lagu Saya Anak Malaysia belum pun wujud ketika itu & hanya dikeluarkan 3 tahun kemudian).
        • dR. Sam juga pernah muncul sebagai pelakon undangan dalam filem Kepala Angin (1987) dengan membawakan watak sebagai doktor yang antara kepakarannya ialah merawat buah dada. Watak yang aneh dalam sebuah filem yang agak nakal.
        dR. Sam Rasputin berlakon dalam filem
        Mekanik (1983), Kembara Seniman Jalanan (1986) & Kepala Angin (1987)

        Nota tambahan 2 (21.11.2013):
        dR. Sam juga pernah berlakon dalam filem Matinya Seorang Patriot (1984) arahan Rahim Razali.

        02 October 2013

        Perkahwinan Hani Mohsin & Tiara Jacquelina (1993)

        Pelakon terkenal Hani Mohsin Hanafi (28 tahun), hero filem Nadia (1992), melangsungkan perkahwinan dengan Tiara Jacquelina Eu Abdullah (26 tahun) pada 11 September 1993 di kediaman keluarga Hani di Ipoh, Perak. Tiara juga ketika itu merupakan seorang pelakon yang semakin terkenal setelah muncul dalam filem Mat Som (1990), namun pastinya tidak ramai yang mengingati penglibatan awal Tiara sebagai finalis Miss Malaysia-World 1986 ketika usianya 19 tahun dan menggunakan nama Jacquie @ Jacqueline Eu. Jacquie telah diberi nama "Tiara Jacquelina" oleh seorang penerbit filem dari Indonesia semasa sedang berlakon dalam filem pertamanya, Irisan-Irisan Hati (1988). Apabila Jacquie memeluk agama Islam sebelum berkahwin dengan Hani pada 1993, nama "Tiara Jacquelina" dikekalkan sebagai nama barunya.


        Foto-foto majlis pernikahan Hani & Tiara ini dipetik dari majalah Perempuan keluaran November 1993 (20 tahun yang lalu!). Majlis persandingan mereka diadakan beberapa bulan selepas pernikahan. Penulis majalah tersebut mencatatkan bahawa Hani & Tiara "ditangkap berkhalwat oleh pegawai pencegah maksiat beberapa bulan lalu", dan penulis itu menyimpulkan bahawa "setiap sesuatu yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya".


        Beberapa lagi foto majlis pernikahan Hani & Tiara di bawah:
        Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...