31 January 2011

Histeria di Konsert 4U2C (1993)

Kumpulan 7 orang penyanyi yang dinamakan 4U2C (For You To See) terdiri daripada Azam, A.C, Joe, Adik, Lanz, Yanz dan Rinz. Mereka membawakan lagu-lagu pop/rap dan berjaya mengeluarkan album pertama berjudul 4U2C pada Ogos 1992. Saingan kuat 4U2C ketika itu ialah kumpulan KRU yang juga baru muncul dengan album pertama berjudul Canggih. Ketika demam muzik rock telah sampai ke penghujungnya, pihak media cetak telah memberi publisiti yang meluas kepada 4U2C hinggakan mereka mendapat bilangan surat yang begitu banyak daripada peminat sebelum album pertama mereka dipasarkan lagi. Lagu Fiona menjadi popular dalam waktu yang singkat, dan album 4U2C berjaya terjual melebihi 70,000 unit sehingga awal 1993.

Dalam bulan Mac 1993, 4U2C telah mengeluarkan sebuah album mini berjudul ♥2CU (Love To See You) yang mengandungi 3 lagu lama yang diadun semula (remix) dan 3 lagu baru, termasuk sebuah lagu berjudul Syawal sempena Hari Raya yang bakal tiba. Tidak sampai setahun kewujudan 4U2C, mereka telah menjadi sebuah kumpulan penyanyi yang paling popular di kalangan remaja pelajar sekolah, terutamanya para gadis. Pada 10 April 1993, Konsert Aidilfitri 4U2C telah diadakan di Life Centre, Kuala Lumpur. Konsert solo pertama 4U2C itu bermula pada jam 8.30 malam dan telah berlangsung selama hampir 2 jam. Dilaporkan bahawa seramai 1,000 orang penonton hadir dan "melonjak, menari rap dan menjerit-jerit bagai diserang histeria". Sekurang-kurangnya mereka 'histeria' dengan sesuatu yang mereka minati.

Dalam konsert itu 4U2C mempersembahkan banyak lagu seperti Fiona, Pilihan Istimewa, ♥2CU, Syawal dan lain-lain. Walaupun jumlah penonton tidak seramai yang dijangka (tempat tersebut boleh menampung lebih 2 ribu penonton) tetapi konsert itu mendapat sambutan yang hebat, dengan akhbar melaporkan bahawa "ramai peminat menyerbu ke pentas untuk bersalam dan memeluk tujuh anggota 4U2C hingga sesak suasana pentas. Bila keadaan tidak terkawal lagi, pihak penganjur terpaksa menyuruh budak-budak 4U2C sembunyi di bilik belakang pentas"

Nota tambahan:
Sebelum kumpulan 4U2C menjadi terkenal, ungkapan '4U2C' sering dijadikan kata pendahuluan semasa menghantar surat, terutama sekali di kalangan remaja. Contohnya perkataan 'Kepada' atau 'To' yang biasa ditulis pada sampul surat akan digantikan dengan '4U2C'. Ungkapan tersebut juga sering digunakan dalam isi surat atau kad ucapan.

27 January 2011

Miss Malaysia - Cik Putih Naziauddin (1980)



Di atas ialah gambar Cik Putih Naziauddin pada 1980. Beliau pernah memenangi pertandingan Miss Malaysia-World pada 1976, dan merupakan wanita berbangsa Melayu ketiga menerima gelaran tersebut setelah Narimah Mohd Yusoff (1973) dan Fauziah Haron (1975). Cik Putih yang ketika itu merupakan pelajar tahun akhir jurusan perakaunan dari Politeknik Ungku Omar, telah dihadiahkan sebuah kereta berjenama Datsun dan terpilih untuk mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World 1976 di Royal Albert Hall, London.

Malangnya penyertaan Cik Putih dalam Miss World tidak sempat untuk dinilai sepenuhnya oleh para pengadil kerana kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk menyertai 8 lagi negara lain yang memboikot pertandingan itu kerana ia turut melibatkan penyertaan daripada negara Afrika Selatan yang mengamalkan dasar aparteid. Kerajaan Afrika Selatan ketika itu mendiskriminasi kewujudan orang berkulit hitam hinggakan dalam pertandingan Miss World itu negara tersebut membuat keputusan yang pelik dengan menghantar 2 orang peserta sekaligus, seorang berkulit hitam dan seorang lagi berkulit putih.

Hasil daripada gelaran Miss Malaysia itu juga telah membuka peluang kepada Cik Putih untuk berlakon dalam sebuah iklan. Walau bagaimanapun beliau kurang meminati bidang peragaan atau model lalu memilih untuk bekerja dalam sektor perbankan selaras dengan kelayakan pendidikannya.

26 January 2011

Soundtrack Panggilan Pulau (1994)

Pada tahun 1994, filem Panggilan Pulau (asalnya lakonan P. Ramlee dan Normadiah pada 1954) telah dibikin semula oleh pengarah dan pelakon Ahmad Fauzee. Pembikinan semula filem tersebut adalah atas dasar minat Ahmad Fauzee yang begitu mendalam kepada filem klasik terutamanya yang dilakonkan oleh P. Ramlee. Malah Ahmad Fauzee mendaftarkan nama syarikat penerbitan filemnya sebagai Studio Jalan Ampas Sdn Bhd!

Untuk melengkapkan filem Panggilan Pulau versi baru itu, sebuah album petikan lagu-lagu dari filem (soundtrack) telah diterbitkan oleh syarikat rakaman Musicland. Apabila album tersebut berada di pasaran, ia telah mengejutkan banyak pihak yang merasakan bahawa gambar kulit depan album tersebut agak erotik atau memberahikan. Gambar yang dimaksudkan itu menunjukkan Ahmad Fauzee hampir mencium leher Sharmaine Farouk yang kepalanya berkeadaan terlentok sambil matanya terpejam. Sememangnya ia suatu rekaan kulit album yang mampu menarik perhatian ramai, walaupun agak kurang jelas tentang apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh gambar tersebut mengenai isi kandungan album dan filem itu.

Kontroversi tersebut telah menyebabkan pihak syarikat rakaman menarik balik jualan album itu lalu menggantikan kulit album asal itu dengan kulit album rekaan terbaru yang memaparkan gambar-gambar pelakon filem versi lama dan baru. Selain itu, tempoh tayangan filem Panggilan Pulau versi baru itu yang bermula pada 29 September 1994 turut menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai, kerana tayangannya dihentikan secara tiba-tiba hanya selepas beberapa hari tayangan tanpa diberi sebarang penjelasan. Ada pihak menimbulkan spekulasi bahawa pembikinan semula filem itu tidak mendapat kebenaran daripada pemegang hakcipta asalnya iaitu syarikat Shaw Brothers Ltd hingga memaksa tayangannya dihentikan supaya tidak disaman. Walau bagaimanapun, spekulasi tersebut lenyap begitu sahaja tanpa jawapan yang pasti.

Pada awal 2000-an, syarikat Cipta Video Sdn Bhd telah menerbitkan VCD filem Panggilan Pulau versi 1994. Apa yang agak mengejutkan peminat filem tempatan ialah apabila kulit depan VCD tersebut menggunakan gambar asal kulit album soundtrack yang pernah mencetuskan kontroversi dahulu. Apa yang lebih menarik perhatian mengenai kulit VCD itu ialah bagaimana pereka bentuknya telah mengubahsuai gambar asal tersebut dengan menjauhkan jarak kedudukan kepala Ahmad Fauzee dengan leher Sharmaine Farouk, dan kemudiannya menambah efek seolah-olah gambar tersebut terkoyak. Kulit VCD itu tidak mencetuskan kontroversi. Sama ada masyarakat 2000-an sudah lebih berfikiran terbuka, atau pengubahsuaian gambar itu berjaya mengejek tindakan pengharamannya pada 1994.

Sesiapa yang belum menonton filem Panggilan Pulau versi 1994 mungkin tertanya-tanya benarkah terdapatnya adegan cium leher yang mencetuskan kontroversi itu? Jawapannya: tiada. Ahmad Fauzee tidak mencium leher Sharmaine Farouk, dia cuma mencium bibirnya sahaja!


Kulit album soundtrack rekaan baru (kiri) dan Kulit VCD (kanan)


Adegan daripada filem

25 January 2011

Poster Marion Caunter (2009)

Marion Caunter mula dikenali sebagai pengacara di saluran 8TV melalui rancangan bual bicara pendek berjudul Quickie. Pada 2009 Marion dipilih untuk menerima anugerah Hot Chick dalam program Shout! Awards yang pertama kali diadakan tahun itu. Apabila ditanya mengenai kemenangannya itu dia berkata, "Saya ingat Fazura yang akan menang pada malam itu. Malah kecantikan Daphne Iking juga tidak boleh dipertikaikan walaupun dia sudah bergelar ibu. Dia tetap hot mama di mata saya. Tetapi mungkin kerana tuah, saya terpilih sebagai pemenang". Apa yang pasti, Marion sememangnya mempunyai peminat yang ramai, kerana pemenang dipilih berdasarkan undian umum yang terbanyak. Dua lagi calon yang dikalahkan oleh Marion dalam kategori tersebut ialah Marsha (peserta Akademi Fantasia 2005) dan Andrea Fonseka (pemenang Miss Malaysia-Universe 2004). Selepas kemenangan tersebut, majalah Media Hiburan telah menerbitkan poster Marion Caunter yang bersaiz 3 muka surat ini.

Pada 16 Disember 2010, Marion yang berusia 30 tahun telah melangsungkan perkahwinan dengan SM Nasaruddin yang berusia 3 tahun lebih muda daripadanya. Marion mengekalkan nama penuh asalnya, Marion Rose Caunter.

Nota tambahan:
Filem pertama lakonan Marion Caunter pada 2009 yang berjudul Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki akhirnya akan ditayangkan dalam tahun 2011.

24 January 2011

ANX 2 tahun

Hari ini genaplah 2 tahun blog Arkib Negara X (ANX) bersiaran, walaupun sebenarnya dalam tempoh tersebut ia terpaksa direhatkan selama satu setengah tahun! Itulah sebabnya kini ANX baru sampai pada entri yang ke-79. Anda tidak perlu membaca seterusnya kerana entri kali ini sekadar ingin mengimbas kembali hasil pengumpulan bahan yang telah berjaya disiarkan setakat ini dan mungkin juga sedikit tip mengenai entri akan datang.

Melihat kembali tag atau kategori entri, nampaknya ANX telah berjaya menyiarkan bahan bagi setiap Dekad walaupun 1970-an masih terlalu kekurangan entri, manakala 1990-an pula sudah banyak entri berbanding Dekad lain. Bagi kategori Tahun pula, masih terlalu banyak Tahun yang belum mempunyai sebarang entri. Setakat ini 1988 dan 1992 merupakan Tahun yang mempunyai paling banyak entri. Jadi selepas ini saya akan memastikan supaya setiap Tahun mempunyai sekurang-kurangnya 2 entri, dan perhatian yang lebih akan diberikan kepada Dekad yang kekurangan entri. ANX juga nampaknya perlu menyiarkan lebih banyak entri untuk kategori Negara Lain walaupun bahan dari Malaysia masih tetap diutamakan.

Melihat kepada senarai 10 Entri Popular, setakat ini entri berkaitan selebriti hiburan tetap menjadi kegemaran ramai. Pastinya saya akan mencari lebih banyak bahan untuk Nama Popular seperti Zarina Zainuddin, Rozita Che Wan, Jacinta Lee, Ramziela dan Sahara Yaakob. Nama Popular lain seperti Mokhtar Dahari juga mendapat perhatian ramai, jadi ANX akan menyiarkan lebih banyak entri berkaitan selebriti sukan. Selain itu entri sulung ANX berkaitan punk masih mendapat perhatian ramai, mungkin juga saya perlu mencari bahan tambahan berkaitan topik tersebut untuk disiarkan. Entri Kisah Benar oleh Wahid Kasran dan Permata Yang Hilang juga terus mendapat perhatian ramai, tetapi tiada lagi bahan tambahan mengenai dua topik tersebut untuk disiarkan.

Sejak memulakan Musim ke-2 pada September 2010, ANX berjaya mencapai sasaran siaran sebanyak 3 entri seminggu. Cuma bermula pada Disember lalu banyak entri yang telah tertangguh kerana saya telah dijemput untuk menulis dalam sebuah majalah secara bulanan. Entri-entri yang tertangguh itu telah disiarkan dalam bulan ini. Bermula tahun 2011 ini saya mensasarkan pula untuk menyiarkan sekurang-kurangnya 15 entri sebulan, walaupun perlu meluangkan banyak masa juga untuk tugasan menulis dalam majalah. Bagi memudahkan urusan, sebentar tadi saya telah siap menyenaraikan 100 tajuk entri yang dirasakan menarik untuk disiarkan dalam tempoh 6 bulan akan datang.

Berkenaan kategori entri akan datang, ANX akan memperbanyakkan lagi senarai boyband, girl group dan kumpulan S. Gelaran seperti ratu cantik, Miss Malaysia dan Bintang RTM juga akan diberi perhatian. Semalam ANX baru menyenaraikan tag baru iaitu kahwin dan cerai, dan akan memperkenalkan pula tag mualaf tidak lama lagi. Dalam kategori Isu Sensasi pula, terdapat beberapa tag yang kekurangan entri seperti 18 tahun ke atas dan cross-dressing yang akan diberi perhatian. Secara peribadi saya berminat untuk menyiarkan lebih banyak entri berkaitan banned (pengharaman) dan censorship (penapisan). Beberapa hasil pengubahsuaian gambar (photoshop) dalam majalah memang menarik untuk ditelitikan.

Selain itu sudah tentulah terdapat beberapa lagi poster dan gambar selebriti perempuan zaman dulu seperti Ziela Jalil, Julia Rais, Sofia Jane, Maria Farida, Wann, Zila Bakarin dan lain-lain yang menunggu giliran untuk disiarkan. Selebriti lelaki tidak terkecuali. Selain topik hiburan, selebriti dan budaya popular, tidak dilupakan juga pelbagai bahan berita dan isu semasa yang serius seperti kisah tragedi dan jenayah, yang mungkin sudah dilupakan atau belum pernah anda ketahui akan disiarkan sepanjang tahun ini. Untuk pengetahuan anda, ANX tidak dapat menyiarkan lebih banyak entri dalam kategori Barang Koleksi kerana kesukaran untuk memastikan tahun keluaran setiap barangan dengan tepat, tetapi mungkin ia boleh disiarkan dalam beberapa entri khas sebagai gambar hiasan sahaja.

23 January 2011

Perkahwinan Sharifah Aini & Ali Bakar (1981)



Perkahwinan penyanyi terkenal Sharifah Aini dengan penganjur konsert Ali Bakar telah berlangsung dalam tahun 1981. Sebelum itu mereka telah menjalinkan hubungan cinta selama hampir 6 tahun iaitu ketika Sharifah Aini baru berusia awal 20-an. Sharifah Aini berkahwin pada usia beliau 28 tahun, dan perkahwinan pertama tersebut hanya bertahan selama 10 bulan! Sharifah Aini mengandungkan anak sulungnya Aliff sebulan selepas berkahwin. Tidak lama selepas Aliff dilahirkan, Sharifah Aini dan Ali Bakar telah bercerai. Dalam satu temubual pada 1999, Sharifah Aini memberitahu bahawa perceraian tersebut terjadi kerana "kita melanggar pilihan keluarga Ali. Jadi perkahwinan tak ada restu... bila perkahwinan tak ada restu... ia menimbulkan berbagai-bagai masalah". Beliau juga membayangkan satu lagi punca perceraian tersebut dengan berkata, "I takkan maafkan seseorang yang menyebabkan I bercerai dengan Ali. Dia harus bertanggungjawab di atas keruntuhan rumah tangga kami", dan "Sampai hari ini saya masih marah dengan seseorang yang menjadikan kami bercerai"

22 January 2011

Koleksi Bersama Selamanya Vol. 2 (2000)

Kartun bersiri Bersama Selamanya adalah sebuah karya oleh kartunis Gayour yang mula disiarkan dalam Majalah Ujang keluaran ke-5 pada 15 April 1994. Buku Koleksi Bersama Selamanya Vol. 1 yang mengandungi siri pertama hingga siri ke-34 telah dipasarkan pada hujung tahun 1996. Buku Vol. 1 tersebut diterbitkan di bawah label "Siri Produksi Ujang" oleh Kharisma Publications Sdn Bhd. Siri kartun Bersama Selamanya pernah disiarkan dalam Majalah Varia Lawak apabila Majalah Ujang dihentikan penerbitannya buat seketika di antara bulan Mac hingga Ogos 1997.

Selepas itu siri kartun Bersama Selamanya yang mempunyai jalan cerita yang begitu panjang ini telah disambung kembali siarannya dalam Majalah Ujang generasi baru. Dalam bulan Disember tahun 2000, buku Koleksi Bersama Selamanya Vol. 2 pula telah diterbitkan. Buku Vol. 2 ini diterbitkan oleh MOY Publications Sdn Bhd, dan ia dipakejkan sekali dengan sebuah album soundtrack (format kaset!) yang juga berjudul Bersama Selamanya. Kaset tersebut mengandungi 10 lagu baru nyanyian kartunis Taugeh termasuk lagu tema Bersama Selamanya ciptaan M. Nasir.

Buku Koleksi Bersama Selamanya Vol. 2 mengandungi siri ke-35 hingga siri ke-84 yang pernah disiarkan dalam Majalah Ujang di antara bulan September 1995 hingga April 1998. Semasa buku Vol. 2 ini dipasarkan, Majalah Ujang sedang menyiarkan kartun Bersama Selamanya siri ke-137! Mungkin ramai pembaca yang tidak sempat mengikuti siri Bersama Selamanya sehingga tamat, kerana selepas hampir 7 tahun berlalu, siri kartun tersebut masih belum mahu ditamatkan. Agak malang juga bagi pengikut siri Bersama Selamanya kerana buku Vol. 3 tidak diterbitkan, dan Gayour juga akhirnya telah berhenti berkarya untuk Majalah Ujang tidak lama kemudian.


21 January 2011

Anugerah Janda Hot (2011)



Majalah Media Hiburan keluaran bulan Januari 2011 telah menyiarkan senarai pencalonan awal untuk Anugerah PPMH (Pilihan Pembaca Media Hiburan) 2010/2011. Pelbagai kategori anugerah telah disediakan untuk para pembaca memilih siapakah selebriti Top 5 pilihan masing-masing bagi setiap kategori.

Salah satu kategori yang disediakan ialah Anugerah Janda Hot yang menyenaraikan selebriti wanita yang telah bercerai tetapi masih dianggap mempunyai daya tarikan tersendiri. Calon-calonnya ialah:

Abby Abadi, Norish Karman, Maya Karin, Watie Elite, Sarimah Ibrahim, Rozita Che Wan, Anne Ngasri, Wan Sharmila, Nurul Wahab, Raja Azura, Nora Danish, Natasha Hudson, Siti Nordiana, Ramlah Ram, Noraniza Idris, Fauziah Latiff, Azharina, Atilia, Dira, Azza Elite, Fiza Elite, Farah Asyikin, Wan Nor Azlin, Anne Abdullah, Emma Akma, Mas Idayu.

Anugerah Janda Hot mungkin sesuatu yang tidak terdapat dalam dunia hiburan di negara lain. Tetapi di Malaysia, terutamanya pada masa kini, status kejandaan seseorang selebriti wanita merupakan antara bahan gosip terlaris dalam media cetak dan elektronik. Situasi tersebut yang suatu masa dahulu mungkin kurang digembar-gemburkan malah dianggap tabu, tetapi kini siapa sangka gelaran Janda Hot sudah semakin hampir untuk menyaingi populariti gelaran Artis Seksi. Janda kini diiktiraf dengan anugerah dan populariti, malah Janda mampu dijadikan sebagai jenama produk. Dalam erti kata lain, Janda itu okey.

Kemaskini 29 Januari 2012:
Anugerah Janda Hot 2011 dimenangi oleh Nora Danish.

20 January 2011

Video cetak rompak (1993)

Sistem tayangan dan rakaman video di rumah atau nama rasminya Video Home System (VHS) mula diperkenalkan dalam tahun 1970-an. VHS mula popular pada 1980-an. Sistem tersebut menggunakan format pita video, dan ia secara ringkasnya dikenali umum di Malaysia sebagai video. Pemain atau perakam video pada ketika itu dianggap sebagai barangan mewah dan tidak semua pemilik TV mampu untuk memilikinya.

Kewujudan video memberi kesan yang agak besar kepada kehidupan masyarakat di Malaysia pada 1980-an. Filem tidak lagi hanya boleh ditonton di pawagam atau melalui siaran TV percuma, tetapi telah boleh ditonton dengan selesa di rumah pada bila-bila masa dan berulang-ulang kali. Kedai menyewa video wujud di setiap bandar kecil dan besar. Meminjam video menjadi lebih penting daripada meminjam buku di perpustakaan. Kedai makan atau restoran yang menyiarkan tayangan video akan mudah menjadi pilihan utama pelanggan, begitu juga dengan tayangan video di dalam bas ekspres yang boleh dianggap sebagai sesuatu yang hebat.

Perakam video digunakan dengan meluas untuk merakam rancangan TV bagi mengulang tonton. Ia juga berguna dalam memastikan rancangan TV yang bertembung waktu siaran tidak terlepas daripada ditonton, contohnya penonton boleh merakam rancangan di saluran TV1 sementara mereka menonton serentak rancangan lain di TV2. Hasil rakaman video peribadi sebegitulah yang kini dimuat naik dengan banyaknya dalam laman web perkongsian video seperti Youtube dan sebagainya, lantas mengiktiraf peranan besar video sebagai perakam zaman. Malah segelintir masyarakat ketika itu (1980-an) mengakui bahawa menonton video merupakan hobi mereka (berbanding kebanyakan masyarakat 1970-an yang mengakui mempunyai hobi mendengar radio)

Seperti mana bahan rakaman hiburan sebelumnya seperti piring hitam, katrij dan kaset, pita video tidak terkecuali daripada dicetak rompak dengan berleluasa. Pengguna hanya perlu menghubungkan dua unit perakam video menggunakan kabel yang disertakan bagi menyalin pita video yang dikehendaki. Sekiranya tidak faham, sila rujuk buku panduan (manual) operasi yang dibekalkan oleh pengeluar perakam video tersebut, ianya begitu mudah.

Budaya penontonan video pada 1980-an juga memberi pendedahan meluas kepada orang ramai terhadap bahan pornografi atau lucah yang pantas digelar sebagai video blue (kemungkinan kerana pita video tersebut selalunya akan dimulakan dengan visual skrin biru yang kosong - yang menandakan tiada signal video). Obsesi segolongan masyarakat terhadap video lucah juga telah mencetuskan keinginan mereka untuk menghasilkan rakaman lucah sendiri. Terdapat beberapa kes ketika itu mengenai penyebaran pita video lucah buatan tempatan. Cetak rompak dan video lucah terus menjadi gejala yang tidak lagi mampu dicegah apabila teknologi rakaman dan tayangan video menjadi semakin maju dalam era digital dan internet.

Di Malaysia, pita video terus popular dalam awal 1990-an walaupun cakera optikal seperti laser disc telah wujud dengan kualiti audio visual yang jauh lebih bagus. Laser disc sememangnya terlalu mahal dan kurang mesra pengguna serta tidak sesuai untuk mengganti fungsi perakam video peribadi. Pada 1993, filem terhebat tahun itu Jurassic Park telah dikesan menjadi mangsa cetak rompak dan ketika itu dapat dilihat bahawa pita video masih merupakan format pilihan yang utama berbanding laser disc.

Pada hujung 1990-an pita video mula menurun popularitinya apabila cakera padat video (VCD) filem-filem terbaru mula diedarkan dengan meluasnya di seluruh Malaysia. Walaupun VCD mempunyai banyak kelebihan misalnya dari segi kualiti audio visual (jauh lebih bagus daripada pita video) dan saiz yang lebih kecil berbanding laser disc dan pita video, malah 'kelebihan' dari segi terlalu mudah untuk dicetak rompak, tetapi dari segi fungsi rakaman video peribadi nampaknya VCD tidak mampu untuk mencapai apa yang telah dilakukan oleh pita video pada 1980/90-an. Kebanyakan rakaman video lama era 1990-an yang dimuat naik ke dalam internet masih merupakan hasil rakaman pita video. Terima kasih VHS!

Nota tambahan:
Kini kebanyakan rakaman video peribadi dihasilkan dan disimpan dalam format digital menggunakan pelbagai alat elektronik dan teknologi terkini, namun tanpa usaha untuk memindahkan rakaman tersebut ke dalam format fizikal, dikhuatiri pelbagai rakaman penting dan sejarah budaya popular pada masa kini akan mudah pupus apabila perubahan teknologi berlaku. Penyimpanan video dalam internet dan alat elektronik (seperti telefon bimbit dan kamera digital) akan menemui penamatnya apabila tiba masa yang tertentu (akaun dipadam, laman web tamat tempoh perkhidmatan, kerosakan atau kecurian gajet, dan sebagainya), dan ketika itulah kita akan mula mencari semula salinannya dalam bentuk fizikal sekiranya ada.

19 January 2011

Miss Malaysia-World (1973)



Narimah Mohd Yusoff adalah wanita berbangsa Melayu pertama yang memenangi pertandingan Miss Malaysia-World pada 1973. Narimah kemudiannya mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World 1973 yang diadakan di Royal Albert Hall, London.



Nota tambahan:
Miss Malaysia-World dan Miss Malaysia-Universe adalah dua pertandingan yang berbeza. Tiga orang wanita berbangsa Melayu pernah memenangi pertandingan Miss Malaysia-Universe dalam tahun 1960-an.

18 January 2011

Brick Game (1992)



Brick Game adalah nama sejenis permainan video mudah alih (menggunakan bateri) yang digemari ramai di Malaysia pada sekitar awal 1990-an. Permainan tersebut dengan nama asalnya Tetris telah lebih dulu popular kepada pengguna komputer di mana ia dimainkan melalui penggunaan cakera liut bersaiz 5.25 inci yang perlu dimasukkan ke dalam sistem komputer. Format permainan asal sebegitu mungkin hanya digemari oleh pengguna komputer yang mahir. Peminat permainan video di Malaysia pula lebih awal mengenali permainan Tetris pada hujung 1980-an melalui mesin permainan video bersaiz besar yang hanya terdapat di pusat permainan video, di mana setiap mesin perlu dimasukkan wang syiling 20 sen sebelum ia boleh digunakan. Apabila format permainan mudah alih Brick Game pula muncul di pasaran, ia berjaya mendapat perhatian ramai dalam waktu yang singkat. Peraturan permainannya yang sangat mudah untuk difahami dan dikawal menyebabkannya mendapat perhatian daripada semua golongan masyarakat, tidak kira orang tua atau muda. Permainan video mudah alih tersebut juga dijual dengan murah di merata tempat termasuk di pasar malam. Mendapat blok panjang yang mampu memadamkan 4 baris blok sekaligus merupakan suatu kepuasan ketika itu, apatah lagi apabila blok panjang muncul berturut-turut apabila anda begitu memerlukannya.


Foto: Tiga orang anggota kumpulan Search sedang asyik menaip mesej? Tidak! SMS belum wujud dan tiada telefon bimbit senipis itu pada 1992. Masa untuk Brick Game sementara menunggu konsert bermula.

Game over.

17 January 2011

Miss Perak (1970)

Pertandingan ratu cantik Miss Perak 1970 telah diadakan pada 5 April di bandar Ipoh, dan ia disertai oleh hanya 6 orang! Jumlah penyertaan yang terlalu sedikit itu berpunca daripada khabar angin yang mengatakan bahawa setiap peserta perlu memperagakan pakaian tanpa memakai baju dalam atau coli. Pemenang pertandingan tahun itu ialah Cik Josephine Lena Wong yang berusia 18 tahun. Josephine yang bekerja sebagai wakil penjual kereta dan mempunyai ukuran badan 36-24-36.5 itu berjaya layak untuk bertanding pula dalam pertandingan Miss Malaysia-Universe.

Nota tambahan: Miss Malaysia-Universe (1970)
Dalam pertandingan peringkat kebangsaan ini, Josephine yang mewakili negeri Perak sekali lagi mencipta kejayaan dengan memenangi gelaran Miss Malaysia-Universe 1970 dengan mengalahkan para peserta dari negeri-negeri lain. Josephine kemudiannya mewakili Malaysia dalam pertandingan peringkat antarabangsa, Miss Universe 1970 di Amerika Syarikat, di mana dia telah berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir yang merupakan pencapaian terbaik Malaysia ketika itu. Josephine juga terpilih dalam senarai 'Best In Swimsuit' di samping 9 peserta antarabangsa lain.


Pertandingan Miss Malaysia-Universe (kiri) dan Miss Universe (kanan)

06 January 2011

Ning Baizura dalam majalah FHM (2000)

Penyanyi dan pelakon Ning Baizura telah ditemubual untuk cerita muka depan majalah FHM edisi Malaysia keluaran ke-19 yang terbit pada Julai 2000. Kini setelah hampir 11 tahun berlalu, orang ramai dan wartawan hiburan masih sering mengaitkan temubualnya yang berterus terang dalam majalah berbahasa Inggeris itu apabila mereka ingin memperkatakan tentang Ning Baizura.

Walaupun realitinya imej Ning dalam majalah FHM itu digambarkan dengan begitu seksi, tetapi apa yang lebih mengejutkan beberapa pihak ialah pendedahan mengenai fantasi atau angan-angannya yang dianggap sebagai tidak bermoral.

"What's your biggest unfulfilled fantasy?"
"I know it'll never happen but it involves five guys and me, all at the same time"

Para pembaca biasa majalah FHM ketika itu nampaknya tidak begitu kisah dengan apa yang Ning perkatakan kerana mereka sudah biasa dengan isi kandungan sebegitu, malah memahami unsur nakal dan gurauan dalam setiap temubual yang pernah disiarkan. Di sebalik tanggapan umum bahawa Ning menampilkan imej seksi yang keterlaluan, majoriti pembaca FHM sebaliknya tidak pernah memilih Ning dalam undian 100 Sexiest Women In The World!

"I'd win the Best Butt award! Maybe my lips would win as well"

Isu sebenarnya hanya timbul beberapa minggu kemudian apabila seorang penulis ruangan pojok Usik-Usik dalam akhbar Mingguan Malaysia yang bernama Miss Ribut (kemungkinan besar seorang lelaki) telah menceritakan perihal kawannya yang menceritakan kepadanya mengenai temubual Ning tersebut. Peranan Miss Ribut dalam isu itu ialah memberitahu kepada para pembacanya dengan mengalih bahasa daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu beberapa petikan temubual yang terkandung dalam majalah FHM tersebut, terutamanya berkenaan dengan fantasi Ning yang dikatakan tidak bermoral.

Apa yang gagal diterjemahkan oleh Miss Ribut ialah ayat terakhir Ning dalam temubual tersebut iaitu:

"Afterall, fantasy's just a fantasy. Haha"

Fantasi hanyalah sekadar fantasi. Perkataan terakhir iaitu "Haha" amat penting untuk diterjemahkan supaya pembaca faham bahawa apa yang diperkatakan sebelum itu semuanya adalah gurauan semata-mata. Malangnya sasaran pembaca Usik-Usik bersama Miss Ribut khasnya dan pembaca Mingguan Malaysia umumnya (yang distereotaipkan sebagai mudah melatah atau sentap) tidak diberitahu mengenai penamat temubual tersebut dan gagal menerima nada gurauan itu sehingga mereka semua terpaksa mempercayai bahawa Ning benar-benar serius mengenai fantasinya itu. Tapi tidak mengapa, kerana Miss Ribut juga sebenarnya hanyalah watak rekaan atau fantasi, dan tulisan oleh watak yang tidak beridentiti sebegitulah yang majoriti masyarakat golongan pertengahan gemarkan sebagai bacaan hujung minggu mereka sambil menonton Mat Kay Po (satu lagi watak tidak beridentiti) dalam rancangan Melodi di TV3. Usik-Usik tersebut tepat ke sasaran.

"Being a young Malay singer means that the tabloid press is just waiting for you to make a mistake so that they can jump in and tear you to shreds"

Nota tambahan 1:
Pada masa yang sama, Julai 2000, sebuah lagi majalah berbahasa Inggeris tempatan iaitu Etc turut menimbulkan sedikit kegemparan tetapi tidak mendapat perhatian Miss Ribut. Muka depan majalah tersebut menampilkan 2 orang DJ radio lelaki Hitz FM iaitu Fly Guy dan Lil' Kev dalam solekan wanita dan berpakaian pramugari. Fotografi di muka surat dalam juga menampilkan mereka berdua dalam beberapa lagi pakaian wanita termasuk gaun hijau ala Jennifer Lopez dan sut renang merah ala Baywatch.

Nota tambahan 2:
Setahun kemudian Ning Baizura turut ditampilkan pada muka depan majalah Sentiasa Manja, juga dalam gaya yang hampir sama seksinya dengan majalah FHM, iaitu dengan mendedahkan bahagian dada dan perut, serta menampakkan pakaian dalam berwarna keemasan dan pusat yang bertindik. Seperti mana majalah hiburan berbahasa Melayu yang lain, terdapat beberapa tulisan (contohnya "Grrr...") yang melindungi bahagian strategik pada gambar utama sebagai satu bentuk penapisan.

Nota tambahan 3:
Beberapa tahun kemudian, majalah URTV (di bawah syarikat penerbitan yang sama dengan Mingguan Malaysia) yang berbahasa Melayu telah menyiarkan temubual bersama pelakon komedi Syanie yang menceritakan tentang fantasinya yang ingin berpakaian bikini apabila berjaya menguruskan badan. Tidak cukup dengan tulisan, majalah tersebut telah memvisualkan fantasi Syanie itu ke dalam bentuk lukisan!

05 January 2011

Konsert Michael Jackson (1996)

Konsert Michael Jackson HIStory World Tour '96 pada mulanya dijadualkan akan berlangsung pada hari Ahad 27 Oktober 1996 di Stadium Shah Alam, Selangor. Iklan mengenai penganjuran konsert serta penjualan tiket telah berjalan 3 minggu lebih awal. Walau bagaimanapun, lebih kurang 2 minggu sebelum konsert berlangsung, pihak kerajaan negeri Selangor telah bertindak membatalkan konsert tersebut dengan menarik balik permit persembahan. Dalam erti kata lain, Selangor mengharamkan konsert Michael Jackson.

Penganjuran konsert artis luar negara di Stadium Shah Alam bukanlah sesuatu yang asing kerana setahun sebelum itu kumpulan rock Bon Jovi pernah membuat persembahan di situ. Menteri Besar Selangor ketika itu, Muhammad Muhd Taib memberitahu Harian Metro bahawa konsert Michael Jackson "bertentangan dengan nilai masyarakat tempatan". Beliau juga berkata "hanya penyanyi atau artis yang menjadi role model yang baik dibenarkan mengadakan persembahan di Stadium Shah Alam", contohnya seperti "Sheila Majid". Tetapi hakikatnya konsert "role model yang baik" Sheila Majid juga sebenarnya pernah dibantah oleh para mahasiswa pada 1989. Sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan pembatalan atau pembantahan konsert di Malaysia akan serta merta mengerti bahawa tujuan utama tindakan sebegitu selalunya adalah semata-mata untuk mengangkat imej pertubuhan politik tertentu supaya dilihat sebagai pengawal moral yang baik kepada masyarakat umum.

Konsert Michael Jackson dianjurkan oleh Jojo Entertainment dan ditaja oleh Mutiara Telecom. Tiket dijual di antara harga RM65 hinggalah RM350, dan dijangkakan lebih 60,000 penonton akan hadir ke lokasi asal di Stadium Shah Alam. Oleh kerana lokasi asal tidak dapat digunakan dan tiket juga telah terjual serta persiapan telah dilakukan, maka pihak penganjur terpaksa memindahkan lokasi konsert ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang hanya mampu memuatkan seramai 40,000 penonton. Memandangkan jumlah jangkaan penonton yang pastinya akan melebihi kapasiti Stadium Merdeka, maka konsert Michael Jackson telah ditambah sehari lagi, iaitu pada 29 Oktober 1996, hari Selasa!

Berikut adalah beberapa perkara menarik mengenai kunjungan Raja Pop, Michael Jackson selama 5 hari ke Malaysia pada 26 Oktober hingga 30 Oktober 1996 mengikut kronologi:
  • Demonstrasi membantah kehadiran Michael telah diadakan pada hari Jumaat, 25 Oktober 1996 berhampiran Masjid Negara, Kuala Lumpur.
  • Michael tiba dari Singapura (selepas mengadakan konsert di sana) dengan jet peribadi yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz pada hari Sabtu, 26 Oktober 1996 jam 2.30 petang.
  • Lebih kurang 1,000 orang peminat menyambut ketibaan Michael di lapangan terbang tersebut (lihat gambar di hujung entri ini).
  • Pihak pengurusan lapangan terbang turut memeriahkan suasana dengan menayangkan video klip Michael melalui skrin-skrin televisyen.
  • Michael diberi sambutan tradisional yang lengkap dengan tepak sirih, kompang dan bunga manggar, manakala bunga orkid telah ditabur di sepanjang laluan beliau di lapangan terbang (Nota: bunga orkid juga digunakan dalam konsert beliau semasa persembahan lagu Earth Song).
  • Michael dijemput menaiki sebuah van bernombor plet BCN 2 milik Raja Muda Selangor lalu di bawa ke Hotel Concorde, Kuala Lumpur dengan diiringi oleh 2 buah motosikal polis trafik. Pihak polis menyangkal dakwaan bahawa Michael diberi layanan VIP sebaliknya iringan polis trafik tersebut adalah bagi mengelakkan kesesakan lalulintas yang mungkin terjadi akibat orang ramai yang ingin melihat Michael dari dekat.

  • Ketibaan Michael di Hotel Concorde disambut dengan paluan irama oleh alat muzik tradisional rebana ubi.
  • Michael dan rombongannya seramai 150 orang telah menyewa keseluruhan tingkat 17, 18, 19 dan 20 di hotel tersebut, termasuk bilik-bilik khas untuk membuat latihan tarian dan tempat simpanan barangan mainan.
  • Lebih kurang 500 orang peminat menunggu ketibaan Michael di perkarangan hotel, tetapi cuma 50 orang kanak-kanak dari Rumah Ozanam mendapat keistimewaan untuk masuk bertemu Michael di lobi hotel serta mendapatkan tandatangan beliau.
  • Orang awam tidak dibenarkan memasuki Hotel Concorde sehingga jam 7 malam pada hari ketibaan Michael. Hanya tetamu hotel yang berdaftar dan para jemputan khas dibenarkan masuk.
  • Michael hanya berehat seketika di hotel. Pada jam 6.15 petang hari yang sama, Michael dan para pengawalnya termasuk beberapa orang anggota polis telah pergi ke kompleks membeli belah 1 Utama di Bandar Utama. Para pengunjung 1 Utama seakan tidak percaya dan ramai peminat yang menjerit apabila melihat kelibat Michael yang kelihatan menuju ke kedai Toys R Us. Pengurus kedai barangan mainan terkenal itu yang terkejut dengan kehadiran Michael telah mengarahkan pintu kedai ditutup sementara Michael membeli barangan mainan seperti patung Superman & Batman, pistol air serta buku kanak-kanak. Setelah hampir 2 jam berada di situ, Michael dilaporkan membelanjakan sebanyak RM800.

  • Pada hari pertama (Ahad) konsert, peminat berkumpul di luar Stadium Merdeka seawal jam 3 petang (lihat gambar di hujung entri ini). Konsert bermula pada jam 9 malam.
  • Konsert malam pertama disaksikan oleh 40,000 penonton termasuk VIP seperti Raja Permaisuri Agong, kerabat Diraja, serta Menteri dan Datuk Bandar.
  • Dua buah lagu penutup konsert iaitu Earth Song dan Heal The World turut melibatkan penyertaan hampir 30 orang rakyat Malaysia yang terdiri daripada kanak-kanak hingga warga tua yang berperanan sebagai penyanyi koir.
  • Seorang lelaki warga tua yang memakai tanda nama Maryono turut kelihatan bertugas di Stadium Merdeka. Beliau yang dilihat memegang beg dan lampu minyak tanah dipercayai adalah seorang bomoh yang diupah oleh pihak penganjur bagi berdoa (atau mengamalkan lain-lain aktiviti perbomohan!) supaya hujan tidak turun di stadium yang tidak berbumbung itu (Nota: lokasi asal iaitu Stadium Shah Alam mempunyai bumbung yang boleh ditutup). Atas ketentuan Tuhan, hujan tidak turun semasa berlangsungnya konsert.

  • Pada hari ketiga (Isnin) Michael di Kuala Lumpur, pihak penganjur telah mengaturkan pertemuan beliau dengan 30 orang kanak-kanak (berumur 4 hingga 12 tahun) yang dipilih khas bagi berkenal mesra dengan Michael di Hotel Concorde. Kanak-kanak tersebut dijamu dengan pizza dan turut menerima barangan mainan yang dibeli sendiri oleh Michael sebelum itu di Toys R Us. Pertemuan selama 2 jam itu berakhir pada jam 10.30 malam dengan setiap seorang kanak-kanak mendapat tandatangan Michael. Salah seorang kanak-kanak bertuah itu, Mohamad Warith Zuhairi dari Subang Jaya telah menerima patung mainan Power Rangers dan tandatangan Michael pada lengan kirinya. Adik Warith yang berusia 6 tahun ketika itu berkata bahawa dia tidak akan membasuh atau membuang tandatangan Michael pada lengannya.
  • Semasa menginap di Hotel Concorde, Michael dilaporkan menikmati hidangan makan tengahari berupa ayam tandoori yang dimasak khas oleh chef peribadi beliau di dalam dapur bilik suite mewahnya.

  • Konsert hari kedua (Selasa) diakhiri dengan Michael menyebut berkali-kali "Saya cinta Kuala Lumpur".
  • Kenyataan tidak rasmi menyatakan bahawa kos penganjuran 2 buah konsert Michael di Malaysia menelan belanja melebihi RM3 juta.

  • Pada hari terakhir (Rabu) Michael di Kuala Lumpur, pihak pengurusan dan pekerja Hotel Concorde seramai 200 orang telah mengaturkan majlis perpisahan dengan Michael di bumbung tempat letak kereta di tingkat bawah hotel itu pada jam 10.30 pagi. Mereka turut disertai oleh 15 orang pemuzik Kebudayaan Seri Wilayah yang memainkan muzik tradisional Melayu. Pada jam 10.50 pagi Michael 'menghadiri' majlis tersebut dari kejauhan nun dari bilik suitenya di tingkat 18. Kemunculan Michael di jendela dengan wajah yang tersenyum cukup bermakna kepada orang ramai di bawah. Berpuluh-puluh belon berwarna-warni yang bertulis "We'll Miss You" lantas dilepaskan ke udara. Belon-belon tersebut membawa sepanduk yang bertulis "Heal The World! Jumpa Lagi!". Michael terus tersenyum lalu menghembuskan ciuman serta mengangkat topinya kepada orang ramai di bawah.

  • Acara terakhir yang sepatutnya disertai oleh Michael di Kuala Lumpur ialah pertemuan khas dengan 50 orang kanak-kanak daripada Tasputra Perkim, Spastic Home dan Rumah Ozanam. Acara tersebut yang melibatkan pemberian barangan mainan dan makan tengahari dijadualkan berlangsung selama 30 minit di Hard Rock Cafe bersebelahan dengan Hotel Concorde. Malangnya Michael cuma meluangkan masa 3 minit sahaja di situ kerana beliau dikatakan merasa kurang senang melihat ramai orang dewasa juga turut serta berada di situ bersama-sama dengan peminatnya yang paling utama iaitu kanak-kanak. Hard Rock Cafe yang ditutup kepada orang awam sempena acara tersebut telah dihias cantik dengan belon dan turut disediakan hidangan istimewa, tetapi kehadiran ramai ibu bapa kepada kanak-kanak yang tidak diundang telah menyebabkan Michael meninggalkan acara tersebut. Kanak-kanak dari Rumah Ozanam yang baru tiba dengan bas hanya sempat melihat Michael bergegas keluar. Namun begitu, semua kanak-kanak yang hadir tetap menerima barangan mainan yang ditinggalkan oleh Michael.

  • Sebaik sahaja meninggalkan Hard Rock Cafe, Michael diiringi ke lobi hotel sambil kelihatan tersenyum dan melambai tangan ke arah ratusan peminat yang memanggil namanya serta jeritan selamat jalan dan "Bye, Michael!". Kelibat Michael hilang setelah beliau masuk ke dalam van Toyota yang membawanya ke lapangan terbang untuk berlepas ke destinasi konsert yang seterusnya di Bombay, India.
  • Michael dan rombongannya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz lebih kurang jam 12 tengahari. Walau bagaimanapun, 2 buah jet peribadi (Boeing 707) milik Michael yang sepatutnya berlepas pada jam 1 petang telah terkandas apabila tidak mendapat pelepasan untuk mendarat di Madras, India. Hanya pada jam 2.30 petang (Rabu, 30 Oktober 1996) jet yang membawa Michael dibenarkan terbang meninggalkan Malaysia.

04 January 2011

Terjemahan tajuk filem (1990 & 1992)

Program Cintailah Bahasa Kita yang bermula pada 1987 tidak hanya meliputi penerbitan ilmiah atau urusan rasmi sahaja, tetapi turut melibatkan dunia hiburan tempatan. Seperti yang diketahui umum, majoriti kumpulan muzik rock yang muncul dengan banyaknya dalam tahun 1980-an didapati menggunakan nama Inggeris, contohnya Search, Bloodshed, Wings, Junction dan Crossfire. Selaras dengan program Cintailah Bahasa Kita, pihak berkuasa telah menyarankan supaya kumpulan muzik mula menggunakan nama dalam bahasa Melayu. Terdapat beberapa buah kumpulan rock yang mengikut saranan tersebut dengan menukar nama mereka, misalnya kumpulan Scarecrow menjadi Masa, D' Episodes (Halilintar), Mixed Blood (Satira), Blue Steel (Inspirasi), Wild Fingers (Zabarjad) dan sebagainya. Kesan positif daripada program tersebut menyebabkan banyak kumpulan rock yang muncul pada penghujung 1980-an dan awal 1990-an mula mengutamakan nama Melayu, contohnya seperti kumpulan Gersang, Putra, Iklim, Rajawali, Teras dan sebagainya.



Selain itu, industri filem juga tidak terkecuali daripada dilibatkan ke dalam program Cintailah Bahasa Kita apabila semua filem dari luar negara yang hendak ditayangkan perlu diterjemahkan tajuk masing-masing kepada bahasa Melayu, contohnya seperti filem Kindergarten Cop yang diterjemahkan sebagai Polis Tadika (1990), Child's Play 2 - Mainan Syaitan Bahagian Ke-2 (1990), The Last Of The Mohicans - Mohican-Mohican Terakhir (1992), dan Scent Of A Woman - Mengharungi Alam Dewasa (1992). Sesetengah terjemahan tajuk filem mungkin kelihatan agak lucu, sesetengah yang lain pula diterjemahkan secara lurus, namun ada juga tajuk filem yang diterjemahkan kepada maksud yang jauh berbeza tetapi tetap merujuk kepada isi kandungan filem tersebut.



Hingga kini tajuk filem dari luar negara tetap diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, tetapi tidak lagi diiklankan dengan begitu ketara seperti suatu ketika dahulu. Namun begitu timbul sedikit kemusykilan apabila filem tempatan sendiri yang berbahasa Melayu atau Cina didapati menggunakan tajuk bahasa Inggeris tanpa perlu diterjemahkan, seperti filem Driving School (1990), Queen Control (1992), Scoop (1996), Iman Alone (1998), No Problem (2001), I Know What You Did Last Raya (2004), The Beautiful Washing Machine (2004), Love Conquers All (2006), Rain Dogs (2006), I'm Not Single (2008) dan sebagainya.

Tidak salah apabila filem tempatan menggunakan bahasa Inggeris sebagai tajuk filem atas nama kreativiti atau strategi pemasaran, tetapi kenapa tiada terjemahan tajuk kepada bahasa Melayu seperti mana filem-filem luar negara yang lain? Bagaimana agaknya jika (Senario, Gerak Khas, Dunia Baru) The Movie diterjemahkan? "Sebuah Filem" mungkin? Biar janggal pada permulaan, sudah lama nanti pasti okey.

03 January 2011

Sabun Gayla (1974)

"Ini dia Gayla - sabun mandi dingin ais (Ice cool toilet soap - Gayla)"

Pada awal tahun 1970-an, syarikat Lever Brothers di Malaysia telah mengeluarkan sabun mandi berjenama Gayla! Dari mana asal usul perkataan gayla? Sudah tentu bukan daripada bahasa Melayu, malah bukan juga daripada bahasa Inggeris. Kemungkinan besar nama Gayla adalah hasil daripada gabungan perkataan bahasa Inggeris, Gay, dengan perkataan bahasa Melayu, La (sebutan ringkas untuk Lah)

Pada tahun 1970-an di Malaysia, perkataan gay tidak lebih daripada sekadar membawa maksud riang dan gembira seperti mana yang tergambar pada wajah model iklan sabun Gayla ini. Model perempuan tersebut juga digambarkan dalam keadaan berbogel, dan iklan ini disiarkan dalam majalah Wanita keluaran Januari 1974. Nombor siri kelulusan iklan ini pada penjuru kiri bawah tertulis "GAY/1/M"

Apabila membandingkan dengan situasi zaman sekarang, penerbitan iklan sebegini pastinya akan menjadi suatu isu hangat, malah pengeluar produk juga pastinya akan berfikir banyak kali sebelum menggunakan jenama dan paparan sebegini, bukan hanya kerana maksud gay kini secara umumnya merujuk kepada sifat homoseksual (yang berkonotasi negatif pada masyarakat umum, malah akan mengecilkan skop pasaran produk kepada golongan tertentu?), tetapi juga kerana paparan gambar bogel pada iklan dalam media cetak telah dilarang sama sekali. Walaupun kita tahu bahawa semua orang kini boleh melihat gambar bogel yang lebih hebat daripada dalam iklan ini dengan mudah melalui internet, tetapi pastinya tidak ramai daripada kita yang merasakan perlu untuk mengatakan bahawa perbuatan kita itu okey.

"Gayla - kesegaran dingin ais yang anda benar-benar nikmati"

Nota tambahan:
Nama Gayla telah didaftarkan sebagai tanda dagang oleh Lever Brothers di Amerika pada 1935. Cadangan mengenai penciptaan nama tersebut seperti di atas adalah imaginasi penulis sahaja.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...