14 February 2009

Pembukaan Jambatan Pulau Pinang (1985)

Beberapa hari sebelum Jambatan Pulau Pinang dibuka kepada kenderaan awam melaluinya untuk pertama kali pada 1985, orang ramai telah diberi peluang untuk berjalan di atas jambatan sepanjang 13.5km itu. Ia satu peluang istimewa yang mungkin tidak akan berulang lagi, dan oleh kerana jambatan itu suatu binaan yang mengagumkan ketika itu, beribu-ribu orang mengambil peluang tersebut. Kini terdapat acara tahunan larian merentasi jambatan tersebut tetapi ia sudah tentu tidak sama dengan peristiwa 1985 itu. Apakah peluang yang sama akan diberikan apabila Jambatan Pulau Pinang yang ke-2 siap nanti?

13 February 2009

Kg. Pisang (2006)

Friday the 13th, berjaya dipopularkan oleh filem Hollywood bagi merujuk kepada kejadian-kejadian seram yang mungkin berlaku dalam zaman moden kini. Di Malaysia, kepercayaan terhadapnya tidaklah begitu kuat, namun nama sebuah kampung ini pastinya mengundang perasaan 'seram' yang juga terhasil daripada pengaruh filem popular, iaitu Kampung (Kg.) Pisang. Tempat dalam gambar ini mungkin satu daripada beberapa lagi tempat yang bernama Kg. Pisang yang wujud di Malaysia, ia terletak dalam kawasan Seberang Perai, Pulau Pinang. Tidak ramai yang mempedulikan kampung ini.

Pada 2005, sebuah filem berjudul Zombie Kg. Pisang memulakan penggambarannya di negeri Perak, dan ia ditayangkan dalam tahun 2007. Bagi kebanyakan penonton, nama Kg. Pisang itu seolah-olah satu rekaan semata-mata untuk filem seram-komedi tersebut. Namun ia sememangnya wujud, dan kini setiap Kg. Pisang di mana saja tempatnya akan selamanya dikaitkan dengan Zombie!

Foto: KHYS

12 February 2009

Poken (1990)

Sejenis minyak rambut yang tidaklah terkenal atau diiklankan secara meluas ketika itu (penghujung dekad 1980-an, awal dekad 1990-an). Namun jenama Poken ini yang berbentuk krim padat berwarna hijau mempunyai pengikutnya yang tersendiri walaupun terdapat juga yang tidak menggemarinya kerana bau wangiannya yang terlalu kuat sekiranya dipakai terlalu banyak. Didatangkan dalam bekas "besi" tidak seperti jenama-jenama lain yang lebih terkenal, ia banyak dijual di kedai runcit, pasar malam, mahu pun supermarket. Kini tidak ramai lagi yang menggayakan rambut mereka dengan "minyak" sebegini yang telah pun dianggap ketinggalan zaman.

11 February 2009

Suffercation Official Fanclub Book (1992)

Kumpulan death metal tempatan pertama yang berjaya mengeluarkan album, Suffercation, mencetuskan sedikit kontroversi pada 1992 apabila sebuah akhbar memberi publisiti buruk terhadap imej yang ditonjolkan mereka melalui album tersebut yang berjudul Day Of Darkness. Punca utama sudah tentu kerana paparan kulit album yang menunjukkan beberapa tengkorak hidup mengusung keranda, dan juga tajuk-tajuk lagu yang mencurigakan. Walau bagaimanapun kulit album tersebut tidak mengandungi sebarang lirik, mungkin penerbit album itu juga merasakan ia kurang sesuai untuk edaran umum atau mungkin juga tidak diluluskan untuk siaran.

Namun, pihak Valentine Sound Production (penerbit) bertindak mengedarkan secara percuma risalah ini yang berjudul "Official Fanclub Book" kepada para pembeli yang menghantar sampul surat berstem kepada mereka. Ia bukanlah "buku" sebenarnya, hanya sekeping kertas bersaiz A4 (dilipat tiga bahagian seperti pamplet) yang mengandungi biografi Suffercation dan lirik untuk semua lagu dalam album tersebut.

10 February 2009

Kalendar Zarina Zainuddin (1993)

Nama Zarina Zainuddin sememangnya menjadi topik besar dunia hiburan sepanjang 1992. Dalam tahun 1993 pula terdapat usaha mengharamkan semua hasil lakonan beliau daripada ditayangkan. Pada Januari '93, majalah Media Hiburan memulakan edisi tahun baru dengan menghadiahkan poster kalendar besar (4 x mukasurat majalah) ini kepada para pelanggan mereka.

09 February 2009

Siri Kartun Alihsuara (1987)

Senarai rancangan kartun (animasi) bersiri yang disiarkan oleh stesen televisyen RTM2 sekitar tahun 1987 pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 6.30 petang. Kebiasaannya setiap siri mengambil masa 30 minit (dengan sedikit iklan) dan kesemuanya telah dialihsuara (rakaman semula suara) ke dalam Bahasa Melayu. Malangnya para pelakon yang meminjamkan suara kepada watak pujaan kanak-kanak ketika itu tidak diberi kredit dan tidak diketahui siapakah mereka di belakang watak-watak terkenal kartun seperti Mospeada, Tosho Daimos, Space Cop Gaban, Miss Comet dan Macross.

08 February 2009

Buku Kord Gitar (1987, 1991 & 1994)

Buku sebegini mula popular ketika zaman kebangkitan muzik rock sekitar pertengahan dekad 1980-an. Bersaiz kecil dengan isi kandungan utamanya ialah lirik lagu yang disertakan sekali dengan kord-kord muzik untuk sesiapa yang berminat memainkan semula lagu-lagu tersebut sama ada menggunakan gitar atau organ. Selain itu ia dihiasi gambar-gambar penyanyi terkenal. Apa yang menariknya, ia tidak memilih lagu-lagu popular sahaja, tetapi memilih keseluruhan lagu dalam sesebuah album yang popular, kebiasaannya setiap album mengandungi 10 lagu.

Tidak hanya album-album rock sahaja yang menjadi pilihan, contohnya buku Nadairama Vol.1 (1987) berharga $2.50 dengan muka hadapan Amy Search, buku tersebut mengandungi kord untuk album Ibnor Riza, Sharifah Aini, Freedom, Pelangi, Headwind, Kopratasa, Search dan lain-lain. Buku Koleksi Rock 10 (1991) pula mengandungi kord album Aishah, Dinamik, XPDC, Etika, Anita Sarawak, Wann, SYJ dan lain-lain. Manakala buku Koleksi Rock 12 (1994) mengandungi kord album Visa, Nico, 4U2C, Teacher's Pet, Ella dan lain-lain. Siri buku kord Koleksi Rock tersebut dikendalikan oleh Azim Chan, seorang penyanyi yang pernah merakamkan album lagu-lagu komedi bersama Hang Mokhtar.

07 February 2009

Sup (2001)

Salah sebuah kumpulan muzik pop yang menggunakan nama yang paling mengelirukan dalam sejarah muzik tempatan. Sup, kumpulan muzik yang mungkin sekiranya hadir pada masa kini akan digelar sebagai 'indie', iaitu cara mudah melabelkan sesebuah band sekiranya anda (terutama wartawan) tidak tahu atau tidak peduli genre muzik yang mereka mainkan. Tapi, nama Sup memang tidak sesuai untuk apa-apa genre sekalipun. Jadi, kenapa Sup?

06 February 2009

Mokhtar Dahari vs. Maradona (1982)

14 Januari 1982, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Mungkin ramai yang tidak tahu, dua legenda bolasepak ini pernah bertemu dalam satu perlawanan. Di Malaysia! Malah, sebelum Maradona terkenal pada Piala Dunia '86. Peristiwa yang kini dianggap bersejarah ini adalah perlawanan persahabatan antara pasukan pilihan Selangor yang diketuai oleh Mokhtar Dahari dengan kelab terkenal Argentina, Boca Juniors, yang diketuai oleh Diego Maradona (21 tahun) ketika itu.

Boca Juniors menang 2-1.

05 February 2009

Bantah konsert Tina Turner (1988)

12 Februari 1988, Persatuan Mahasiswa UTM bantah Konsert Tina Turner di KL! (Pancaindera/Utusan Malaysia). Tidak menghairankan apabila sesebuah konsert ingin diadakan di Malaysia lalu terdapat bantahan oleh pihak-pihak tertentu. Ia telah berlaku sejak dahulu dan konsert Tina Turner adalah salah satu daripadanya. Boleh dikatakan setiap konsert yang akan diadakan (termasuk oleh segelintir artis tempatan) pasti terdapat bantahan. Sesetengah bantahan berjaya menghalang konsert terbabit, tetapi banyak juga bantahan yang tidak berjaya. Dalam kes Tina Turner, beliau berjaya mengadakan konsert di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 24 & 25 Februari 1988 tanpa sebarang insiden seperti yang di'harap'kan oleh para pembantah.

Adalah sesuatu yang menghairankan apabila bentuk-bentuk hiburan sementara (1 atau 2 hari) seperti konsert yang begitu terkawal amat merisaukan banyak pihak sedangkan bentuk-bentuk hiburan berterusan dan kekal malah tidak terkawal terdapat pada setiap hari dan setiap malam di serata negara.

04 February 2009

Jenaka Hang Setia (1988)

Disiarkan oleh RTM1 setiap Selasa jam 9.30 malam. Konsep sitkom (komedi situasi) yang dirakamkan dalam studio ini sebenarnya masih lagi digunakan oleh RTM (contohnya Salam Pantai Timur), namun pada 1988 mungkin penonton tidak banyak pilihan (selain daripada TV3 yang masih tidak menyeluruh siarannya di Malaysia) dan tentu ramai yang masih ingat pada siri Jenaka Hang Setia yang sangat membosankan ini. Tetapi untuk meneruskan konsep sebegini pada masa sekarang adalah sesuatu yang ketinggalan zaman.

Jenaka Hang Setia menceritakan tentang kehidupan di sebuah kampung pada zaman kesultanan Melayu dulu-dulu dengan watak-watak bernama Sang Samba, Sang Gopoh, Dang Damai, Hang Utama dan Hang Setia. Pelakon-pelakonnya semua dianggap pelawak terkenal ketika itu seperti Hamid Gurkha, R. Jaafar, Norlia Ghani, Rominah Sidek dan turut serta P. Param dan Tan Ting untuk menghidupkan suasana muhibbah ala RTM.

03 February 2009

Klinik Negara, Kuala Lumpur (2007)

Tidak dapat dipastikan tarikh kewujudan klinik ini, mungkin pada dekad 1980-an? Selain Klinik Negara ini, sudah tentu di Kuala Lumpur juga terletaknya Tugu Negara, Bank Negara, Masjid Negara, Muzium Negara, Istana Negara dan lain-lain lagi. Klinik Negara yang tidak terkenal ini terletak di Jalan Putra, tidak jauh daripada kompleks The Mall.

Foto: KHYS

02 February 2009

Ramziela dan kucing hitam (1990)

7 Oktober 1990, nampak macam Majalah Mangga kan? Tapi masa itu mana ada Mangga. Namun yang pasti orang kuat Mangga memang berasal daripada Pancaindera Mingguan Malaysia. Juwie, setiap minggu dalam ruangan Poster Kelolaan Juwie pasti akan menghidangkan foto-foto artis terkenal mengikut siapa yang sedang popular dan artis yang paling banyak permintaan daripada peminat. Dan pastinya artis yang 'berani mati' atau paling seksi ketika itu mendapat keutamaan. Contohnya Ramziela, diangkat sebagai artis paling seksi 1990! Walaupun prestasi nyanyiannya tidaklah membanggakan. Kini foto-foto sebegini telah tiada lagi di akhbar Pancaindera. Sebaliknya bercambah lebih banyak menerusi majalah Mangga.

Namun begitu, ruangan Poster Kelolaan Juwie tidak hanya diingati dengan aksi 'maut berani mati' sebegini, sebaliknya turut dingati dengan paparan poster Metallica, Testament, Over Kill, Bon Jovi, Yngwie Malmsteen, Bruce Dickinson dan banyak lagi artis/kumpulan rock/metal luar negara, dan pastinya ratusan kumpulan rock kapak tempatan pernah menghiasi ruangan Poster Kelolaan Juwie yang cukup terkenal itu. Kini semuanya sudah berakhir.

01 February 2009

"Rock is dead!" (1994)

Mungkin itu kata Tok Mat sambil tersengih manja setelah Amy Search memberi album solo pertamanya yang menampilkan imej kepala botak. Mungkin juga beliau cuma berkata "Ngeh ngeh ngeh, botak!". Siapa tahu.

Amy Search buat pertama kalinya muncul dengan album solo pada 1994. Pada Amy ia seperti kelahiran semula beliau dalam dunia muzik rock, dengan imej botak dan gambar kulit album yang seolah-olah berbogel bagai bayi baru lahir. Album pertama Amy walaupun masih mengandungi bunyian rock, tapi muziknya tidaklah sekeras seperti yang dibawa bersama kumpulan Search, yang pada ketika itu masih lagi kebuntuan mencari arah baru setelah dibebani dengan masalah sekatan yang dikenakan oleh siapa lagi kalau bukan angkara Tok Mat! 1994 seterusnya dihujani irama dangdut, dan terus menenggelamkan muzik rock buat beberapa tahun.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...